Dakwa Kuan Yew campur tangan, FT mohon maaf

SINGAPURA 17 Okt. – Akhbar perniagaan London, Financial Times (FT) hari ini memohon maaf kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan bapanya, Lee Kuan Yew kerana menyiarkan artikel yang mendakwa Perdana Menteri mendapat jawatan itu dengan bantuan bapanya.

Dalam kenyataan memohon maaf yang disiarkan hari ini, FT menyatakan, sebuah artikelnya pada 29 September lalu membayangkan Kuan Yew memainkan peranan penting dalam memastikan anaknya dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kami mengakui dakwaan tersebut palsu dan tidak berasas sama sekali,” menurut akhbar itu.

FT yang dimiliki oleh penerbit Pearson menyatakan, pihaknya telah bersetuju untuk membayar ganti rugi kepada kedua-dua Lee dan isteri Hsien Loong, Ho Ching yang mengetuai dana pelaburan kerajaan, Temasek Holdings.

Jumlah ganti rugi tidak dinyatakan.

FT juga memohon maaf kerana membayangkan bahawa Hsien Loong “memainkan peranan penting” dalam memastikan pelantikan isterinya, Ho Ching sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Temasek.

Ho Ching pula didakwa oleh FT membantu pelantikan adik iparnya, Lee Hsien Yang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bank terbesar di Asia Tenggara, DBS Group.

– Reuters

0 comments: