Penerima paru-paru gembira bernafas sendiri

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Penerima paru-paru baru, Lang Kong Anak Akon, 39, gembira kerana sudah mampu bernafas sendiri tanpa menggunakan tangki oksigen.

Menurutnya, selepas menjalani pembedahan pemindahan paru-paru pada 3 Oktober lalu, kesihatannya bertambah baik dan dia kini sudah boleh melakukan aktiviti fisioterapi.

‘‘Saya sangat bersyukur kerana sudah boleh bernafas sendiri dan kini bersemangat untuk hidup seperti orang lain.

‘‘Dahulu saya susah untuk bernafas serta selalu rasa mahu pengsan, tetapi kini saya lebih selesa,’’ katanya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Lelaki Sarawak berketurunan Iban itu telah menunggu hampir setahun untuk mendapatkan paru-paru setelah disahkan menghidap penyakit idiopathic pulmonary fibrosis yang menyebabkan paru-parunya mengeras sehingga mengganggu sistem pernafasannya.

Lang Kong menerima paru-paru kiri dan kanan daripada seorang remaja Melayu lelaki dari Setiawan, Perak yang mati otak selepas kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Pengarah Program Transplan Jantung dan Paru-Paru, Mohammad Dr. Mohammad Ezani Md Taib berkata, Lang Kong kini menjalani senaman pemulihan kardiotasi paru-paru untuk menguatkan pernafasan serta otot- ototnya.

‘‘Ini merupakan satu kejayaan besar kerana dia kini sudah boleh bernafas tanpa bantuan mesin,’’ jelasnya.

0 comments: