Kempen cari paru-paru dapat reaksi positif

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Kempen Mencari Paru-Paru Untuk Siti Salmah Jasni, 18, hampir menunjukkan hasil apabila Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapat panggilan daripada waris keluarga untuk mendermakan organ ahli keluarganya yang mati otak tetapi malangnya mereka kemudiannya berubah fikiran.

Ketua Penyelaras NTRC HKL, Dr. Lela Yasmin Mansor berkata, panggilan itu diterima dari dua waris keluarga hari ini, namun mungkin disebabkan sesuatu perkara mereka tidak memberikan maklum balas selanjutnya kepada NTRC.

“Selain dua panggilan daripada waris keluarga, NTRC menerima 28 panggilan daripada orang ramai untuk mendermakan paru-paru, malangnya ia tidak boleh dilaksanakan kerana mereka masih hidup.

“Pemindahan organ hanya boleh dilaksanakan daripada penderma yang mati otak di mana alat bantuan pernafasan masih diberikan oleh pihak hospital untuk tujuan tersebut, selain dari itu, ia tidak boleh dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Utusan Malaysia bermula semalam melancarkan kempen mencari paru-paru untuk Siti Salmah yang mengidap penyakit Hipertensi Pulmonari serta perlu segera menjalani pembedahan pemindahan paru-paru untuk membolehkannya meneruskan kehidupan

Siti Salmah dijangka hanya boleh bertahan dua tahun lagi menggunakan tangki oksigen dan rawatan perubatan.

Lela Yasmin menasihatkan waris keluarga yang mempunyai ahli keluarga mati otak agar dapat mengadakan perbincangan atau mendapatkan nasihat dari doktor mengenai prosedur menderma organ.

“Pengalaman NTRC apabila waris keluarga diberi penerangan mengenai prosedur menerima organ, mereka terbuka hati untuk membenarkan organ-organ ahli keluarga yang mati otak untuk didermakan,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai yang ingin menderma organ agar dapat menghubungi talian bebas tol 1-800-88-9080 untuk mendapatkan penerangan mengenai prosedur pendermaan organ.

Katanya, orang ramai boleh menekan 1 untuk mendengar jawapan daripada soalan-soalan lazim yang ditanya, tekan 2 untuk bercakap dengan koordinator NTRC, tekan 3 untuk waris keluarga mendermakan organ ahli keluarga yang meninggal dunia atau mati otak dan tekan 4 untuk mendaftar bagi menjadi penderma organ.

0 comments: