Hudud dan kes isteri tersilap lakukan hubungan seks dengan kawan suami

Mat Zain Mat Isa
Thu | Oct 18, 07 | 6:33:24 am MYT

Akhbar-akhbar harian, 16 Oktober, menyiarkan berita seorang isteri yang mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki yang memasuki bilik tidurnya di awal pagi dengan sangkaan lelaki berkenaan adalah suaminya. Kes tersebut dilaporkan berlaku pada 12 Oktober lalu di Cukai, Terengganu.

Menurut kenyataan pihak polis yang menerima laporan mangsa di hari kejadian, ketika kejadian mangsa berusia 40 tahun mendakwa tinggal berdua dengan seorang buruh berusia 29 tahun yang juga rakan suaminya manakala suaminya berusia 34 tahun keluar bekerja. Lelaki berkenaan dikatakan telah menumpang tinggal di rumah pasangan tersebut sejak dua bulan lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah II Terengganu, Supritendan K. Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa mendakwa baru sahaja masuk ke bilik tidurnya kira-kira sejam setelah semalaman berjaga membuat persiapan hari raya sebelum dikejutkan dengan kelibat seorang lelaki yang disangka suaminya. Disebabkan salah sangka itu wanita berkenaan membiarkan lelaki tersebut mengadakan hubungan seks dengannya.

Pada jam 9.30 pagi, suami wanita berkenaan menafikan bahawa dia memasuki bilik berkenaan apabila isterinya bertanyakan tentang kelibat seorang lelaki di bilik tidur mereka. Berikutan kejadian itu suami mangsa membawa isterinya ke Balai Polis Cukai jam 5.30 petang bagi membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Polis telah menahan rakan suami mangsa pada jam 10.30 malam hari yang sama. Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa membuat laporan palsu bagi menutup hubungan sulitnya dengan suspek berkenaan yang akhirnya diketahui suaminya.

Ada beberapa pemerhatian yang boleh dibuat mengenai kes tersebut berdasarkan laporan akhbar-akhbar berkenaan.

Pertama, ia menggambarkan kehidupan yang semakin runtuh di kalangan rakyat negara ini ekoran pemahaman yang sangat cetek oleh individu terbabit tentang hukum dan batas-batas pergaulan di sisi agama. Bahawa soal tinggal serumah antara dua manusia berlainan jantina yang bukan mahram adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Disebabkan kejahilan mereka itu, ia mendorong kepada berlakunya perkara lebih buruk termasuk maksiat terhadap Allah.

Berdasarkan apa yang pernah dilaporkan media, kes seakan apa yang diperkatakan ini bukan yang pertama berlaku di Terengganu. Apa yang pernah dilaporkan akhbar sebelum ini malah lebih dahsyat.

Akhir Mac lalu, seorang lelaki di Kampung Geliga, juga di Kemaman, dilaporkan sanggup berkongsi isteri dengan kawan baiknya sehingga melahirkan anak luar nikah. Mereka dikatakan tinggal sebumbung sejak beberapa lama dan tidak langsung mengendahkan cemuhan penduduk setempat. Ertinya mereka secara terang-terangan telah melakukan zina. Setakat ini belum diumumkan apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setelah kes tersebut disiarkan.

Bicara di bawah syariah

Kedua, kes-kes melibatkan pertuduhan berkaitan zina seumpama dilaporkan itu adalah kes-kes yang sepatutnya dibicarakan di bawah undang-undang syariah. Ia tidak sepatutnya sekadar disiasat dan didakwa di bawah undang-undang sivil.

Kebetulan pula, negeri Terengganu telah memiliki undang-undang syariah yang lengkap berkaitan kesalahan tersebut. Sama ada perbicaraan kes itu melibatkan tuduhan zina, li'an (suami menuduh isteri berzina) atau pun qazaf (tuduhan zina yang tidak dapat dibuktikan dengan empat saksi), kesemua dakwaan itu tertakluk di bawah hukum-hukum hudud.

Pemerintahan singkat PAS di Terengganu pada penggal lalu telah memungkinkan parti itu meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M. Ia diluluskan Persidangan DUN Terengganu pada 8 Julai 2002 dengan kesemua 28 ADUN PAS menyokong, manakala tiga ADUN Barisan Nasional berkecuali dan seorang lagi tidak menghadirkan diri. Enakmen tersebut kemudiannya mendapat perkenan Ke Bawah Duli Tuanku al-Sultan Terengganu dan diwartakan sebagai kanun syariah negeri.

Pelaksanaannya bagaimana pun tidak sempat direalisasikan kerajaan PAS apabila ia tumbang pada pilihan raya umum 2004. BN yang mengambilalih pemerintahan negeri memilih untuk tidak meminda mahu pun memansuhkan kanun tersebut. Bagaimana pun, BN turut mengambil langkah tidak menguatkuasakannya.

Keenganan BN Terengganu menguatkuasakan kanun hudud dan qisas pernah dibangkitkan beberapa ADUN PAS menerusi Persidangan DUN. Jawaban diberikan para pemimpin kerajaan amat bersahaja. Mereka mendakwa belum ada kes melibatkan peruntukan di bawah kanun tersebut, menyebabkan pihaknya tidak dapat melaksanakannya (hudud dan qisas).

Misalnya, dalam kes membabitkan seorang pengikut ajaran Kerajaan Langit (Ayah Pin di Besut) yang telah beberapa kali mengisytiharkan secara terbuka keluar daripada agama Islam. Apabila ADUN PAS menuntut ia dibicarakan mengikut peruntukan irtidad atau riddah di bawah kanun hudud, pemimpin BN berdalih bahawa kes berkenaan belum lagi sampai ke tahap murtad. Kononnya keputusan mengenai kesahihan perisytiharan murtad itu masih belum dibuat.

Bagi penulis, dengan terdedahnya sekurang-kurangnya dua kes perzinaan (kes di Cukai dan Geliga) tadi, alasan kerajaan BN kononnya belum ada kes yang sesuai dibicarakan di bawah peruntukan hudud sudah tidak boleh diterimapakai. Masanya sudah sampai untuk kes-kes tersebut dibicarakan menurut hukum Islam.

Masyarakat umum perlu faham dan difahamkan mengapa kita terlalu beriya-iya mahu hukum hudud dilaksanakan. Sebagai orang Islam, kita meyakini kebenaran janji Allah menerusi sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Satu hukum hudud yang dilaksanakan di bumi dengan haknya lebih membersihkan daripada hujan rahmat selama empat puluh pagi."

Rahmat itulah yang dinanti-nantikan rakyat Terengganu, menerusi pelaksanaan hudud dan hukum Islam. Bagi kita, menolak pelaksanaan hukum Islam (termasuk hudud) bererti mengundang keburukan dan keruntuhan. Kerosakan itu telah sama-sama kita saksikan kini, terutama di Terengganu sejak lebih tiga tahun lalu.

Ahh...!! Ada pula yang akan menyangkal kenyataan ini dengan mengatakan kes-kes kerosakan masyarakat sebegitu bukan hanya berlaku di Terengganu. Ia tiada kaitan dengan pemerintahan BN di negeri itu. Lagi pun, Kelantan yang diperintah PAS dan ditadbir secara Islam itu pun turut berlaku jenayah, gejala seks dan masalah sosial.

Mendadak naik selepas BN perintah semula

Ya, memang di Kelantan juga berlaku kes-kes kerosakan akhlak dan moral sebegitu. Tidak dinafikan. Tetapi sejuah manakah keseriusannya dan kadar peningkatannya perlu diteliti. Apa yang nyata, berdasarkan perangkaan diberikan kerajaan Terengganu sendiri, peningkatan segala jenis jenayah, gejala sosial dan seksual di negeri itu amat mendadak dan membimbangkan sejak BN mengambilalih pemerintahan daripada PAS.

Rencana penulis bertajuk "2 wajah berbeza pemerintahan PAS, BN" di dalam Harakah (edisi cetak) 16-30 September lalu boleh dirujuk bagi meneliti perangkaan terperinci. Ia menunjukkan peningkatan ketara kadar jenayah dan kes sosial antara dua tahun pertama pemerintahan BN (2004-2005) berbanding dua tahun terakhir pemerintahan PAS (2002-2003). Peningkatan lebih tinggi berlaku antara 2005 dan 2006 lalu.

Ya, Kelantan di bawah PAS juga ada kes-kes jenayah dan sosial, sebagaimana sewaktu Terengganu di bawah PAS. Tetapi bayangkanlah bagaimana mendadak dan melonjaknya kadar kes-kes tersebut jika Kelantan jatuh ke tangan BN, sebagaimana telah berlaku terhadap Terengganu.

Ya Allah, peliharakanlah kerajaan Islam kami!

0 comments: