Karachi pesta sambut Benazir



BANTAHAN: Penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif mengadakan bantahan antikerajaan di depan Mahkamah Agung di Islamabad, semalam yang mendengar kes mencabar kesahihan jawatan Presiden Pervez Musharraf.

Polis kerah skuad pemusnah bom bimbang militan cuba bunuh bekas Perdana Menteri

KARACHI: Beribu-ribu penyokong Benazir Bhutto menuju ke Karachi menjelang kepulangan bekas Perdana Menteri dalam buangan itu semalam sementara polis menutup jalan raya dan bersedia dengan skuad pemusnah bom berikutan kebimbangan militan Islam cuba membunuh beliau.

Benazir dijadual tiba di bandaraya dengan sejumlah 15 juta penduduk itu hari ini, menamatkan hidup dalam buangan selama lapan tahun dan melancarkan kempen yang diharapkan beliau mampu menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri bagi penggal ketiganya selepas pilihan raya Januari depan.

Sementara itu, di Dubai, bekas Perdana Menteri Pakistan itu semalam mengesahkan beliau akan pulang hari ini selepas lapan tahun hidup dalam buangan walaupun tekanan dari kerajaan supaya beliau menangguhkan kepulangannya.


"Ya saya akan pulang," katanya kepada pemberita di Dubai ketika ditanya jika beliau akan terbang ke bandar pelabuhan di selatan Karachi, hari ini seperti yang dirancang.

"Saya bersedia untuk pulang dan berdoa kepada Tuhan mengembalikan demokrasi kepada negara saya dan memenuhi aspirasi rakyat negara saya," katanya.

Seorang pembantu Benazir sebelum itu memberitahu AFP bahawa beliau tidak akan menangguhkan kepulangannya walau apa juga keadaan.

"Dia bukan pengecut. Dia bersedia untuk berhadapan sebarang situasi. Dia anak perempuan Zulfikar Ali Bhutto yang mati syahid," kata Mohammad Akram Farooqui, presiden parti Benazir, Parti Rakyat Pakistan di Emiriah Arab Bersatu.

Rundingan dengan Presiden Pervez Musharraf memberikan pengampunan membabitkan kes rasuah menyebabkan beliau meninggalkan Pakistan pada 1999.

Parti Benazir, Parti Rakyat Pakistan (PPP) berharap satu juta penyokongnya akan menyambut beliau di Karachi. Papan iklan yang mengumumkan Perdana Menteri dua kali dipasang di sepanjang jalan dari lapangan terbang.

Ketika parti terbabit bersedia untuk melakukan perarakan dan konvoi penyokong yang dijangka tiba dari seluruh kubu kuat Benazir di wilayah selatan Sindh lewat kelmarin, pemantau percaya lebih 100,000 orang akan terbabit dalam perarakan berkenaan.

Beribu-ribu penduduk sudah tiba dari Multan, wilayah berjiran Punjab dan dari Kashmir, kata Waqar Mehdi, jurucakap parti. � AP

0 comments: