Peguam Negara tak mahu komen siasatan kes Nurin

Peguam Negara tak mahu komen siasatan kes Nurin


KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara mengambil sikap berdiam diri berhubung kemelut siasatan kes pembunuhan kejam kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mendapat tumpuan umum ketika ini.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, ketika dihubungi semalam enggan memberi sebarang maklum balas mengenai perkara itu atas alasan tidak mahu �mengeruhkan keadaan�, lebih-lebih lagi selepas beliau mengkritik cara pengendalian siasatan kes itu sebelum ini.

Malah, beliau juga enggan memberi kenyataan ketika ditanya sama ada pertemuan akan diadakan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung perkembangan siasatan kes itu.


"Laporan (media) hari ini seolah-olah mahu melagakan kami (merujuk kepada dirinya dan Tan Sri Musa Hassan). Dalam hari baik... bulan baik ini, saya tidak mahu komen apa-apa. Cukuplah... jangan keruhkan lagi keadaan," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Musa pada sidang medianya di Bukit Aman, mempertahankan tindakan polis menahan, melepaskan dan kemudian memanggil semula suspek dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu, yang dipercayai turut mengalami penderaan seksual sebelum ditemui mati.

Sambil menegaskan langkah berkenaan adalah prosedur biasa, beliau berkata, polis mempunyai cara tersendiri untuk mengendalikan siasatan kes pembunuhan yang mendapat liputan meluas media sejak sebulan yang lalu.

Ia sebagai maklum balas terhadap kenyataan Abdul Gani, Jumaat lalu, yang mahu polis lebih teliti mengendalikan siasatan kes berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai, yang dikhuatiri boleh menjejaskan imej pasukan dan sistem perundangan negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tiada tangkapan terbaru sehingga semalam bagi membantu siasatan kes penderaan seksual dan pembunuhan kejam kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Berita Harian, gerakan mengesan dua suspek utama kes itu, masing-masing lelaki dan wanita yang gambar mereka terdapat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi beg berisi mayat Nurin Jazlin sudah pun diperhebatkan.

Katanya, identiti kedua-dua suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka dijalankan secara bersepadu membabitkan kerjasama Bukit Aman, Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Selangor dan IPK Kuala Lumpur.

0 comments: