Tee rindu ke sekolah

KUALA LUMPUR: Pesakit jantung Tee Hui Yee yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merindui alam persekolahan yang ditinggalkannya sejak beberapa tahun lalu berikutan masalah jantung yang dihadapinya sebelum ini.

Tee, 14, yang kelihatan ceria ketika ditemui pemberita di IJN semalam berkata, beliau juga merindui rakannya dan ada menghubungi mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Kalau boleh saya mahu cepat keluar dan pergi ke semua tempat," katanya dengan nada ceria.


Beliau yang meminati meminati bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) dari Sabah, Lotter dan Siti Nurhaliza, turut mempunyai blog dalam laman web Friendster.com untuk beliau mengetahui perkembangan terkini rakannya.

Ibunya, Dina Bato Sambua, 46, pula berkata, Tee mungkin terpaksa memasuki Tahun Lima apabila memulakan alam persekolahan kelak kerana terpaksa menangguhkan pelajaran sebelum ini ketika berada dalam Tahun Empat akibat masalah jantung.

Sementara itu, Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr Mohamed Ezani Md Taib, berkata Tee akan terus dirawat di ICU selama seminggu lagi.

"Beliau mungkin dibenarkan pulang dalam tiga hingga empat minggu lagi berdasarkan kepada perkembangan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, Tee yang sudah boleh makan turut diberi makanan tambahan bagi memastikan beratnya bertambah sehingga 50 kilogram sesuai dengan usianya.

0 comments: