Pemimpin negara tidak sepakat hantar angkasawan

Intan Abdullah
Thu | Oct 18, 07 | 2:42:32 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Pemimpin tertinggi negara sebenarnya tidak sepakat dalam projek penghantaran angkasawan negara ke angkasa lepas.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Bahkan terdapat desas-desus yang menyatakan bahawa Dr Sheikh Muszaphar Shukor pergi ke sana hanyalah sebagai pelancong angkasa yang menjalankan beberapa ujikaji dan tidak diiktiraf oleh NASA sebagai salah seorang daripada angkasawan yang menyertai misi ke angkasa lepas.

Ketika ini, ujikaji terhadap dua jenis sel iaitu kanser dan leukimia sudah ditamatkan, manakala dua lagi membabitkan kesan radangan dan kajian tulang masih diteruskan. Sementara kajian pengkristalan protein juga masih berjalan sehingga ke saat akhir Dr Sheikh Muszaphar di ISS pada 21 Oktober nanti.

Tiga kajian sains hayat yang dijalankan di ISS dipilih daripada 50 cadangan. Tiga ujikaji yang dipilih berkenaan adalah berdasarkan keperluan, peralatan dan kepakaran diperlukan.

Dr A Rahman menjalankan kajian sel di angkasa membabitkan sel kanser hati dan sel leukimia; sel osteoblas dan sel endotelia; sementara Felo Kanan UMBI, Prof Dr Ramelah Mohamed menjalankan kajian ke atas mikrob atau bakteria jenis enterobacter cloacae dan acinetobacter baumanii, manakala Prof Dr Raja Noor Zaliha Raja Abd Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kajian ke atas penghabluran protein.

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam telah meluluskan pelan tindakan pembangunan angkasa dalam keadaan timbalannya, Dato' Seri Najib Razak mahu mengadakan post mortem terhadap projek penghantaran angkasawan tersebut ketika ditanya sama ada kerajaan akan meneruskannya pada masa akan datang.

"Ini menunjukkan bahawa pemimpin negara tidak mempunyai pemikiran yang jelas dalam membuat sesuatu keputusan untuk memastikan keberkesanan sesuatu projek yang dijalankan dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat," ujar Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

Ketika dihubungi Harakahdaily, beliau menyindir sikap pemimpin negara yang 'memang pakar' dalam membazirkan wang negara dalam projek yang tidak memberikan manafaat yang menyeluruh kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, sebuah akhbar Australia bukannya menyifatkan Malaysia sebagai "boleh" tetapi "bodoh" apabila membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya ke angkasa lepas.

Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman dalam tulisannya menyifatkan para pemimpin Malaysia sering berbangga dengan pencapaiannya tetapi apabila ditanya kepada orang luar Malaysia, di manakah Malaysia? mereka tidak akan tahu pun negara kecil itu.

"Thas not Malaysia "boleh", that's Malaysia "bodoh" (stupid)," tulis Backman mengakhiri tulisannya yang disiarkan 15 November 2006 lagi ketika Malaysia sedang mengwar-warkan akan menghantar rakyatnya ke angkasa lepas.

Ia disebarkan secara meluas dalam internet selepas Angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muzaffar Shukur dihantar ke ISS menggunakan kapal angkasa milik Rusia baru-baru ini.

Menurut Backman, pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) sering menunjuk-nunjuk dengan pencapaian yang diperolehi oleh Malaysia.

Antaranya, Malaysia menggunakan syarikat minyak miliknya, Petronas untuk membina Kuala Lumpur City Centre (KLCC), iaitu bangunan yang tertinggi ketika ia dibina.

Tentang angkasawan, Backman menulis, rakyat Malaysia itu hanya menumpang kapal angkasa milik orang lain dengan membayar kapal itu seumpama teksi sahaja.

"Apa yang Malaysia dapat dengan menggunakan program angkasa lepas milik orang lain sebagai teksi? Sah tiada manafaat teknologi yang diperolehi. Tetapi sudah tentu Malaysia sekali lagi akan berkata 'boleh". Masalahnya mereka tidak, ini bukan program angkasawan mereka," tulis Backman. - mns

0 comments: