Pakistan makin panas -- * Benazir pulang hari ini * Kesahihan jawatan Pervez terus dipertikai


PARA penyokong Benazir Bhutto yang tidak sabar menanti kepulangan beliau berarak sambil membawa poster dan slogan yang menganggapnya sebagai wira di Multan, Pakistan, semalam. – AP.

ISLAMABAD 17 Okt. – Situasi politik di Pakistan semakin panas hari ini menjelang kepulangan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto sementara Mahkamah Agung mula menimbangkan petisyen yang mencabar pemilihan semula Presiden Pervez Musharraf untuk penggal kedua.

Penentang Pervez mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung dengan mendakwa sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) itu tidak layak bertanding pada pemilihan pada 6 Oktober lalu.

Walaupun pegawai kerajaan mengatakan pengundian itu diadakan secara sah, Mahkamah Agung memutuskan kemenangan Pervez itu hanya boleh disahkan secara rasmi setelah keputusan dibuat mengenai petisyen berkenaan.

Panel 11 anggota di Mahkamah Agung sepatutnya mengambil masa beberapa hari untuk mendengar dua petisyen yang dikemukakan.

Bagaimanapun sidang ditangguhkan selepas beberapa jam hari ini ekoran permohonan supaya “kes sensitif” itu didengar oleh kesemua 18 hakim Mahkamah Agung.

Permohonan pembangkang itu akan diputuskan tidak lama lagi oleh Ketua Hakim, Iftikhar Muhammad Chaudhry.

Petisyen tersebut dan kes-kes politik lain yang dibawa ke Mahkamah Agung telah menjadikan situasi politik Pakistan yang selalu bergolak semakin gawat, ditambah pula dengan kepulangan Benazir, esok

Bekas Perdana Menteri untuk dua penggal itu berkata, beliau akan kembali ke tanah air untuk mengetuai partinya pada pilihan raya umum yang dijadual awal Januari nanti.

“Masa depan Pakistan kini tergugat dan saya akan pulang dengan misi untuk membawa peralihan secara aman kepada demokrasi selain membawa sinar harapan kepada rakyat yang tertindas di negara saya,” kata beliau kepada wartawan di Dubai.

Beribu-ribu penyokong Benazir mula memasuki bandar Karachi hari ini bagi menyambut kepulangan beliau yang dijadual esok setelah tinggal dalam buangan di Britain sejak lapan tahun lalu.

Dalam pada itu pihak berkuasa turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup jalan dan bersiap sedia dengan skuad pemusnah bom bagi menghadapi kemungkinan cubaan membunuh beliau oleh puak militan.

Kepulangan Benazir ini adalah sebahagian perancangan politik beliau untuk bertanding sebagai Perdana Menteri bagi penggal ketiga Januari ini.

Perbincangan dengan Pervez sebelum ini menyaksikan kemungkinan mereka akan bekerjasama setelah mendapat pengampunan daripada tuduhan rasuah yang dihadapinya sejak 1999.

Parti yang ditunjangi beliau, Parti Rakyat Pakistan (PPP) berharap, satu juta penyokong akan berkumpul bagi menyambut kepulangan beliau manakala jalan raya menuju ke lapangan terbang dipenuhi dengan poster menggambarkan beliau sebagai wira negara.

Dijangkakan seramai 100,000 penyokong akan menyambut kepulangan beliau esok termasuk mereka dari wilayah selatan Sindh yang merupakan kubu kuat Benazir.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Sindh merayu agar Benazir tidak melakukan perarakan sejauh 16 kilometer ke Karachi kerana ia boleh mendedahkan beliau kepada bahaya serangan Taliban atau Al-Qaeda.

– AP

0 comments: