Dr Faiz mahu berlatih pandu Soyuz

DALAM tempoh beberapa tahun akan datang, jurutera penerbangan kapal angkasa Soyuz bakal dikendalikan angkasawan Malaysia apabila usaha ke arah itu sudah dirangka, kata angkasawan kedua negara, Dr Faiz Khaleed.

Beliau yang komited dan bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran sebagai angkasawan kedua menjalankan misi di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas ini, yakin anak Malaysia mampu menyahut cabaran itu seiring dengan keyakinan yang sudah ditunjukkan negara peneroka angkasa lain terhadap kemampuan angkasawan Malaysia.

Dalam satu pertemuan di sini, beliau berkata, meskipun tugas sebagai jurutera penerbangan atau 'pemandu' kapal angkasa memerlukan pengalaman antara lapan hingga 10 tahun berdasarkan rekod jurutera sedia ada, keadaan mungkin berubah dengan kesungguhan dan komitmen seseorang angkasawan.


"Saya sedia untuk melakukannya bagi mencapai tahap yang diperlukan untuk menggalas cabaran itu. Sekarang pun, mereka (angkasawan berpengalaman) sudah mendedahkan saya kepada tugas itu selepas yakin dengan minat dan kesungguhan yang saya tunjukkan untuk memainkan peranan itu," katanya.

Dr Faiz berkata, aspek latihan juga akan menjadi semakin mencabar terutama dengan sasaran untuk membolehkan angkasawan Malaysia akan datang membuat 'space walk'.

Katanya, tugas itu memerlukan kekuatan mental dan fizikal kerana angkasawan akan dibebani tanggungjawab untuk keluar dari ISS dan terampai-ampai di kawasan mikrograviti bagi melakukan kerja membaik pulih atau membina komponen tambahan di stesen angkasa itu.

Katanya, kerajaan Malaysia mengambil langkah bijak apabila memutuskan untuk meneruskan Program Angkasawan Negara dengan misi kedua pada 2008 atau 2009.

"Negara lain yang sudah meneroka angkasa termasuk pemain utama seperti Amerika Syarikat, Russia, Jepun dan Eropah turut kagum dan sering meyakinkan kita untuk terus terbabit dalam bidang ini," katanya.

0 comments: