Outcome bukan output, budaya bukan sijil
Dr Zaini Ujang

ELBERT Einstein (1879-1955) pernah menyebut pendidikan ialah apa yang masih ‘terbaki’ selepas seseorang lupa apa yang dipelajari di sekolah. Bagi beliau, nilai pendidikan bukanlah ‘output’ tetapi ‘outcome’ daripada satu proses panjang membabitkan pelbagai dimensi dan institusi. Beliau tidak keseorangan mendefinisikan makna pendidikan sedemikian, iaitu tanpa terikat kepada proses formal, hasil secara jangka pendek atau proses persijilan semata-mata.

Malah, ramai sarjana Barat setanding Einstein mentakrifkan pendidikan dari segi natijah atau dampak proses dan budaya ilmu. Dalam banyak situasi, makna output setara dengan petunjuk pencapaian utama (KPI) bersifat jangka pendek dan sederhana.

Dari segi pengajian tinggi misalnya, KPI dinilai dari segi tahap pengijazahan seperti bilangan pelajar peringkat lepas ijazah; kemantapan akademik seperti bilangan staf berkelayakan PhD; hasil aktiviti akademik seperti jumlah harta intelek, jumlah dana penyelidikan dan pembangunan (R&D), senarai kertas akademik dalam jurnal antarabangsa; dan hasil proses pengajian seperti jumlah graduan bekerja.

Semua ini diukur dalam tempoh satu semester atau satu tahun akademik. Memang petunjuk jangka pendek dan sederhana penting sebagai barometer pelaksanaan pelbagai dasar dan penambahbaikan segera dan strategik. Namun demikian, kita jangan pula melupakan hakikat bahawa outcome lebih penting daripada output dalam bidang pendidikan.

Sekadar menggunakan output sebagai petunjuk untuk menilai sesuatu proses dan mengukur pencapaian sesebuah institusi bermakna kita mengehadkan ruang sekali gus tidak menggunakan perspektif menyeluruh, holistik dan dampak budaya.

Pada hemat saya inilah antara inti pati penting ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 28 April lalu. Secara khusus Najib menyebut bahawa penjawat awam perlu melakukan anjakan modenisasi paradigma dan struktural, antara lain, beralih daripada budaya ‘output’ atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek ‘outcome’ atau dampak keberhasilan secara holisitik.

Dengan kata lain, pencapaian KPI yang bersifat jangka pendek dan sederhana seperti keupayaan membelanjakan dana, pembinaan infrastruktur fizikal dan jumlah graduan dalam tempoh tertentu - jika dilihat dalam konteks pengajian tinggi, masih belum cukup untuk memastikan bidang pendidikan mencapai dampak menyeluruh dan cemerlang.

Hal ini lebih ketara kerana ‘outcome’ dalam konteks pengajian tinggi perlu dinilai dari segi pencapaian pendidikan secara keseluruhan, iaitu selepas seseorang pelajar mengikuti pengajian dari peringkat rendah, menengah dan tinggi. Pengajian tinggi adalah peringkat terakhir pendidikan formal seseorang pelajar.

Maka ‘outcome’ perlu dilihat secara jangka panjang, tidak terhad kepada ukuran dan statistik jangka pendek tanggungjawab sesebuah kementerian saja. ‘Outcome’ itu perlu dijalinkan dalam konteks Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Makna ‘insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani’ sukar diukur dengan sesuatu petunjuk ‘outcome’, apatah lagi ‘output’ atau prestasi tahunan atau jangka pendek. Bagaimanapun, ramai sarjana menggariskan ‘outcome’ pendidikan dinilai dari segi keinsanan yang tidak semestinya sama dengan ‘outcome’ organisasi seperti sekolah, universiti atau kementerian.

Oleh itu pencapaian pendidikan secara holisitik dan bersepadu juga sebagaimana terungkap dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dinilai secara sepadu membabitkan pelbagai agensi, kementerian dan organisasi lain, sekiranya mahu dilihat dari perspektif ‘outcome’. Jika tidak, pencapaian itu dikhuatiri terhad kepada ‘output’ organisasi saja, sekali gus tidak menyerlahkan aspek keinsanan, sebaliknya lebih kepada penilaian instrumen seperti kecekapan dan kemantapan organisasi.

Dari segi intelek, menurut Malcom S. Forbes (1919-1990), tujuan pendidikan ialah menggantikan minda yang kosong dengan minda terbuka. Tun Abdullah Ahmad Badawi pula meletakkan minda kelas pertama sebagai matlamat dalam konteks Malaysia. Hal ini perlu dijadikan satu ‘outcome’ utama proses pendidikan kita. Selain itu, kita juga masih belum berjaya menyemarakkan budaya ilmu.

‘Outcome’ dari segi kualiti insan ialah kemantapan fikiran, keupayaan berhujah, kesantaian berkomunikasi mengikut pelbagai dimensi dan perspektif, pencinta ilmu dan pemburu kebenaran, warga budiman, minda lestari, berbudaya tinggi, berperwatakan mulia dan mahir dalam pencarian ilmu. Dengan kualiti ini maka graduan mampu mengharungi pelbagai situasi dan memasuki pasaran kerja dengan lebih selesa dan berdaya saing.

Perlu difahami dari aspek organisasi bahawa ketika ini peranan universiti, termasuk di kebanyakan negara maju, sama ada disengajakan, disedari atau terpaksa pasrah kepada realiti semasa - telah mengecil kepada proses pengijazahan dan penyelidikan saja. Universiti juga nampaknya semakin tersudut dalam konteks pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu yang tulus.

Hal ini berlaku kerana banyak universiti terlalu terikat kepada aspek ‘output’ jangka pendek semata-mata, seperti perkembangan program akademik relevan situasi semasa, terutama berkaitan permintaan pasaran kerja.

Kadangkala, dapat dirasakan betapa menjadi pensyarah atau ahli akademik tidak lagi memerlukan kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme akademia. Yang diperlukan ialah kecekapan mengurus, kebijaksanaan mengelola, sikap positif terhadap kerjaya di samping pengetahuan khusus pada peringkat ijazah PhD.

Aspek menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, ‘kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran mesra intelektualisme tidak lagi menjadi keasyikan, trend dan aset penting. Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus, malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa.

Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah mengenai isu pokok membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi. Kalaupun ada, jarang sekali dianjurkan dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu sehingga menyebabkan apa saja yang dianjurkan atas nama semarak ilmu dan budaya ilmu dilihat daripada perspektif ‘output’ jangka pendek, umpamanya keperluan kredit dan memenuhi waktu CPD.

Persoalan ini penting untuk kita wacana segera kerana ‘outcome’ dan kemajuan ilmu dan kualiti pengajian tinggi bersifat budaya dan citra karisma, dan tidak mampu diukur dengan perbandingan angka semata-mata. Kemajuan ilmu yang sebenar dalam konteks sesebuah komuniti intelektual tersurat menerusi kualiti jiwa, minda, aspirasi, cara hidup dan kemahiran yang dibangunkan dalam diri setiap warga kampus.

Barangkali gurindam Raja Ali Haji, tokoh pemikir Johor-Riau abad ke-19 masihi mungkin relevan untuk dijadikan petunjuk prestasi ‘outcome’ pendidikan:

Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa,

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.




Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penulis buku Memperkasa Budaya Ilmu (UTM Press, 2009)
Banteras mat rempit
UNTUK kesekian kalinya, isu mat rempit kembali menjadi perhatian banyakpihak. Meskipun hangat diperdebatkan saban tahun, gelagat mat rempityang merajai jalan raya dengan aksi berbahaya terus menghantui orangramai.

Penyakit ancam keselamatan
Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan suatu ancaman virus H1N1 ataudikenali sebagai penyakit Selesema Babi (Swine Flu) yang dikesan bolehmembawa maut dan jangkitannya adalah sangat mudah iaitu melalui udara.

Ajar peragut, mat rempit dengan hukuman berat
SUNGGUH sedih dan malang menimpa dua buah keluarga masing-masing diJohor dan Kelantan apabila dua wanita yang mengandung maut di tanganperagut. Begitu juga nasib warga emas di Pulau Pinang yang menjadikorban peragut.

BISIK-BISIK
KISAH duka kes ragut terus menghantui kita. Dua lagi nyawa melayangakibat jenayah terbabit semalam, di Kota Bharu dan di Tasek Gelugor,Pulau Pinang.

Menghayati gagasan Satu Malaysia
UNTUKmeningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap gagasan Satu Malaysia,Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya dan Kerajaan NegeriTerengganu akan mengadakan satu seminar sehari pada 7 Jun hadapanbertempat di Hotel Primula, Kuala Terengganu.

Implikasi 'campur tangan' kes syariah
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkanmedia bahawa Jemaah Menteri telah memutuskan pada 22 April 2009 lalubahawa seorang anak bawah umur itu kekal menganut agama asal ibubapanya, walaupun salah seorang daripadanya (ibu atau bapa anak itu)kemudian telah memeluk agama lain (misalnya agama Islam) dan selepasitu mengislamkan anak itu.

Sidang DUN Perak dijangka 'panas'
SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang bermula hari ini dijangkaakan berlangsung dalam suasana 'panas' dan penuh kontroversi.

Sokong GLC ternak ayam
CADANGANSetiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. MaamorOsman, agar kerajaan mengambil alih teraju monopoli industri ternakanayam di negara ini melalui penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)adalah amat bertepatan dan dialu-alukan.

Jangan jaja nama rakyat, demokrasi
SEMENJAK berlakunya apa yang didakwa sebagai krisis perlembagaan diPerak awal Februari lepas, pakatan parti pembangkang tidak henti-hentimerayu dan meminta supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.






Minda Pengarang: Imbasan ibu jari mampu tingkat piawaian undian
CADANGANSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan sistem biometrik atauimbasan ibu jari pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti perlu diberiperhatian serius semua pihak kerana ia memberi impak besar kepadasistem pilihan raya negara.

Pengundi kena bijak pilih YB berkhidmat
PERUBAHANarus dalam senario politik negara turut membuatkan gelanggang politikbagai dilanda tsunami pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu dengan partipembangkang meraih manfaat besar - ramai muka baru dengan kewibawaantidak teruji - menang dan buat pertama kali Barisan Nasional (BN)dinafikan mandat dua pertiga untuk memerintah dengan selesa.

Konsep 1Malaysia bukan slogan kosong
SEJAKmengambil alih kepimpinan negara pada 3 April lalu, Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan beberapa konsep dan pendekatanbaru yang beliau mahu jadikan falsafah dan garis bertindakpentadbirannya.
Banteras mat rempit

Oleh NORILA DAUD
rencana@utusan.com.my


UNTUK kesekian kalinya, isu mat rempit kembali menjadi perhatian banyak pihak. Meskipun hangat diperdebatkan saban tahun, gelagat mat rempit yang merajai jalan raya dengan aksi berbahaya terus menghantui orang ramai.

Timbul kebimbangan apakah negara sudah berdepan dengan jalan mati dalam mengatasi gejala mat rempit ini?

Adakah ia sudah menjadi satu wabak penyakit yang sukar dihapuskan sebagaimana sukarnya untuk pihak berkuasa menangani gejala penagihan dadah?

Andaian itu tidak boleh dipandang mudah kerana selepas pelbagai usaha dilakukan, gejala mat rempit tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

Sebaliknya, ia semakin menjadi-jadi dan berleluasa sehingga terjebak dengan jenayah yang lebih berat terutamanya kes ragut, rogol, samun berkumpulan malah sehingga pembunuhan.

Justeru, ia menjadi ancaman yang serius kepada keselamatan awam sekali gus memerlukan pendekatan yang kolektif dan berkesan untuk menanganinya.

Kerana itu juga, rakyat sangat berharap perhatian khusus yang diberikan kerajaan menerusi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelain Mersat mampu membuahkan kejayaan.

Jelain antara lain dipertanggungjawabkan mencari punca dan mencadangkan kaedah terbaik untuk mengatasi gejala mat rempit tersebut.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri menyokong supaya Akta Pengangkutan Jalan dipinda bagi memberikan kuasa kepada Jabatan Pengangkutan Jalan menahan mat rempit.

Adalah wajar untuk pindaan itu dibuat dengan segera bagi membolehkan hukuman yang lebih tegas dikenakan. Sementelah, golongan itu juga berani memperlekehkan undang-undang dan mencabar pihak berkuasa termasuk cubaan merempuh sekatan jalan raya.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu melipatgandakan usaha dan menambah kekuatan anggota dalam membanteras gejala ini. Operasi besar-besaran seperti sekatan jalan raya seharusnya dilakukan secara konsisten dan bukannya satu langkah pencegahan yang bermusim.

Kesungguhan pihak berkuasa itu sekurang-kurangnya menimbulkan rasa gerun di kalangan mat rempit untuk menguasai jalan raya atau berhimpun dalam satu kumpulan yang besar.

Lebih jauh seperti yang dicadangkan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah, gejala itu ditangani menerusi sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk oleh kerajaan.

Jawatankuasa itu tambah beliau, dianggotai oleh wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Gejala mat rempit boleh diatasi jika semua pihak bekerjasama untuk merancang program bercorak pendidikan dan melaksanakannya dengan sistematik, tersusun dan bersepadu," tegasnya.

Bagaimanapun, dalam menyambut baik langkah penguatkuasaan dari sudut undang-undang itu, kerajaan juga diharapkan tidak mengabaikan pendekatan berbentuk kemanusiaan.

Sering dikaitkan, golongan mat rempit merupakan mereka yang mengalami masalah jiwa dan mental yang tidak sihat sepenuhnya. Pandangan ini dikongsi oleh Pakar Psikologi Klinikal, Choo Leong Hoey Mei yang berpendapat, individu merempit tidak bahagia dengan kehidupan dalam keluarga, tidak berduit dan pernah dibuli.

Justeru, aktiviti merempit dijadikan jalan keluar untuk mereka melarikan diri daripada kekecewaan dan kebosanan hidup. Ia juga tambahnya, dijadikan sandaran sementara mereka mendapat sesuatu yang boleh memberi kebahagiaan dan kepuasan dalam hidup mereka.

Apa yang lebih membimbangkan, mat rempit juga mempunyai hubungan yang sangat akrab dalam kelompok mereka. Dalam satu kumpulan yang besar, mat rempit boleh melakukan apa sahaja tanpa perlu berasa bimbang dengan keselamatan diri kerana sedar mereka sentiasa dilindungi oleh rakan yang lain.

''Kerana itu juga mereka mudah terdorong untuk berkelakuan samseng apabila berada dalam satu kumpulan," ujar beliau.

Selain kecelaruan dalam pembawaan diri, gejala merempit juga banyak didorong oleh sikap ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak.

Ibu bapa seolah-olah lepas tangan dalam soal mengawal dan mendidik anak-anak apabila membiarkan mereka berpeleseran sehingga awal pagi. Seperti yang dijelaskan oleh pakar perunding psikologi, Khairol Anuar Masuan, kerana sikap memberi muka itu juga, anak-anak menjadi semakin berani dalam tingkah laku dan pergaulan mereka.

Beliau menambah, anak-anak berkenaan akan merasakan diri mereka 'hebat' dan angkuh, sekali gus tidak boleh ditegur oleh ibu bapa walaupun menjadi mat rempit.

''Jika dahulu ibu bapa menghalang anak- anak yang memberontak jiwa mereka untuk menghormati orang tua dan ibu bapa serta bekerja di ladang-ladang, perkara seperti itu tidak lagi wujud hari ini apabila anak-anak dibiarkan lepas bebas," katanya.

Kerana itu juga, ada dicadangkan supaya ibu bapa mat rempit turut dikenakan denda di bawah peruntukan undang-undang tertentu. Antaranya kerana membenarkan anak- anak mereka memiliki dan menaiki motosikal tanpa mempunyai lesen.

Walaupun cadangan itu mendapat bantahan banyak pihak, namun ia dilihat sangat praktikal sekiranya semua pihak benar-benar mahu menghapuskan gejala mat rempit.

Begitu juga dengan cadangan supaya had umur untuk mendapatkan lesen motosikal dilanjutkan daripada 16 tahun seperti ketika ini kepada 21 tahun.

Memandangkan majoriti mat rempit terdiri daripada remaja belasan tahun, pelaksanaannya dilihat mampu mengekang gejala mat rempit dari satu sudut yang berbeza.
Penyakit ancam keselamatan

Oleh MOHD NA'EIM AJIS


Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan suatu ancaman virus H1N1 atau dikenali sebagai penyakit Selesema Babi (Swine Flu) yang dikesan boleh membawa maut dan jangkitannya adalah sangat mudah iaitu melalui udara.

Akibat daripada wabak ini banyak negara termasuk Amerika Syarikat telah mengisytiharkan ia sebagai suatu ancaman keselamatan negara dan tumpuan kepada aspek kesihatan telah dijadikan agenda utama ketika banyak negara sedang bergelut dengan krisis ekonomi.

Persoalannya adakah penyakit ini boleh mengancam keselamatan negara atau ia sebagai isu sosial? Mungkin sebelum ini masyarakat dunia hanya melihat penyakit sebagai ancaman sosial yang lebih berbentuk individu dan tidak sampai mengancam keselamatan negara.

Dalam konteks keselamatan pada hari ini, ia sebenarnya tidak hanya menumpukan kepada ancaman peperangan semata-mata, tetapi ancaman-ancaman yang bukan berbentuk ketenteraan atau dikenali sebagai bukan tradisional seperti penyakit, pendatang tanpa izin, pengedaran dadah, keganasan, penyeludupan dan perdagangan manusia adalah dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Dalam masalah penyakit berjangkit, dunia sebelum ini telah dikejutkan dengan serangan pelbagai penyakit yang berjangkit dan membawa maut seperti AIDS, Ebola, Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS), kolera, malaria, penyakit tangan-kaki-mulut (HFMD) dan lain-lain lagi sehingga setiap negara yang mengalaminya akan menanggung kesengsaraan sama ada dari segi sosial, ekonomi dan politik.

Kesan-kesan inilah akan ditanggung oleh pihak kerajaan, masyarakat atau individu sehingga ia menjadi beban dalam mengawal dan menguruskannya.

Globalisasi, alam sekitar, perubatan moden, urbanisasi dan perubahan aktiviti sosial dilihat antara punca kepada penyebaran penyakit-penyakit berjangkit. Faktor-faktor ini dilihat sukar dielakkan terutama ketika dunia sedang menuju ke arah kemodenan dan dunia tanpa sempadan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menganggarkan sebanyak 26 peratus daripada kes kematian di Asia Tenggara adalah berpunca daripada jangkitan penyakit berjangkit. Kebanyakan kes jangkitan penyakit ini adalah disebabkan penyakit seperti Malaria, Tuberculosis (TB), SARS dan AIDS yang banyak menyumbang kepada kematian terutama di negara-negara membangun dan miskin.

Menurut pertubuhan tersebut sejumlah 3.3 bilion masyarakat dunia iaitu separuh daripada jumlah populasi dunia berisiko untuk terkena jangkitan malaria. Setiap tahun sebanyak 250 juta kes malaria dilaporkan dan hampir satu juta berakhir dengan kematian.

Dalam isu AIDS pula, dianggarkan lebih 42 juta masyarakat dunia menghidapi HIV\AIDS dan kematian yang dicatatkan adalah sebanyak 3.2 juta orang. Antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini ialah perubahan sosial dan tingkah laku masyarakat dunia yang terikut-ikut arus kemodenan dan ditambah dengan kurang keprihatinan kepada penyakit ini.

Akibat daripada penyakit ini, ia bukan hanya mengancam nyawa manusia tetapi boleh mengganggu institusi keluarga dan keharmonian masyarakat. Seseorang yang mengidap AIDS akan sentiasa didiskriminasi sama ada dalam konteks hubungan masyarakat atau persekitaran kerja.

Di samping itu, institusi kekeluargaan juga boleh terancam jika penyakit ini berjangkit kepada ahli keluarga dan akan mengalami trauma yang sangat buruk.

Dari sudut ekonomi, penyakit juga boleh dilihat sebagai suatu ancaman keselamatan bukan tradisional. Ini kerana kesan daripada sesuatu wabak penyakit telah menyebabkan peningkatan bukan sahaja kepada kos rawatan, tetapi ia juga melibatkan kos pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran kepada masyarakat.

Di Malaysia, kerajaan pernah mencadangkan kondom dan jarum suntikan diberikan secara percuma kepada penagih tegar supaya penularan wabak HIV/AIDS dapat dikawal daripada terus menjadi parah.

Walaupun, ia dipandang sinis oleh sesetengah masyarakat, namun pada hakikatnya ia dianggap langkah yang berkesan kerana penyalahgunaan dadah merupakan penyakit sosial yang tradisional dan sukar untuk dibanteras dengan cepat dan menyeluruh.

Oleh itu, suatu langkah yang lebih realistik dan praktikal perlu dilakukan supaya wabak ini tidak menjadi barah kepada masyarakat. Di samping itu, kerajaan juga telah membelanjakan RM1.6 juta untuk memberikan dadah metadone kepada penagih dadah untuk menggantikan heroin di kalangan penagih tegar terbabit.

Pada tahun 1997, wabak selesema burung yang membawa virus H5N1 telah menyerang beberapa negara seperti Hong Kong, Taiwan, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang dikesan berpunca daripada bahagian selatan negara China telah menyebabkan banyak aktiviti dan sumber ekonomi terjejas.

Bank Pembangunan Asia (ADB) melaporkan bahawa krisis SARS telah menyebabkan negara-negara di Asia Tenggara kerugian sebanyak $50 bilion sehingga tahun 2003 dan negara Hong Kong telah kerugian sehingga $11 bilion ketika wabak tersebut melanda negara tersebut. Sementara itu di Singapura, saham Singapore Airlines dikatakan jatuh sebanyak 4.4 peratus apabila ramai di kalangan penumpang telah membatalkan penerbangan mereka pada saat-saat akhir kerana kebimbangan terhadap wabak SARS yang telah menular dengan teruk di negara terbabit.

Baru-baru ini Pengarah Pelaburan di Steven Investment Management iaitu Justin Urquhat Stewart menggangap kejatuhan saham-saham di dunia ketika ini adalah akibat pasaran diselubungi dengan ancaman selesema babi dan ia juga telah berjaya mengingatkan kembali pemegang saham kepada isu SARS.

Ancaman penyakit juga boleh menjejaskan kestabilan politik di sesebuah negara dan akibatnya ia akan mewujudkan konflik dalaman atau luaran. Selalunya apabila sesuatu ancaman penyakit berlaku pihak kerajaan dilihat akan menjadi sasaran utama masyarakat jika penularan penyakit itu tidak berjaya dikawal.

Di samping itu, ancaman daripada negara luar yang memberi tekanan juga akan menyebabkan hubungan diplomatik akan terjejas dan seterusnya ia memberi kesan kepada negara penyumber penyakit terbabit dari segi politik dan ekonomi antarabangsa.

Semasa krisis SARS di China, kerajaan negara tersebut telah gagal mengesan lebih awal mengenai virus tersebut dan tindakan segera tidak diambil untuk mengawal virus SARS daripada merebak.

Oleh itu, banyak pihak dari negara-negara luar telah menggangap bahawa punca utama penularan virus tersebut adalah kegagalan Beijing untuk mengambil tindakan awalan dan mengenal pasti punca penyakit daripada terus merebak.

Akhbar China Business Times mendakwa, pihak berkuasa tempatan negara tersebut telah memalsukan laporan kesihatan dan memberikan maklumat yang tidak lengkap mengenai wabak tersebut supaya mereka tidak dipersalahkan oleh masyarakat awam.

Akibatnya ramai pemimpin-pemimpin dunia telah mengkritik kerajaan China dan mereka mendesak supaya kerajaan pada masa itu dibubarkan dan diganti dengan sebuah kerajaan yang lebih efisien dan telus.

Kesimpulannya, ancaman penyakit berjangkit ini adalah sangat berbahaya bukan sahaja dari sudut kesihatan atau aspek sosial. Tetapi ia juga akan memberi ancaman kepada keselamatan negara dan menjejaskan keharmonian masyarakat dunia seluruh.

Ancaman ini bukan hanya memberi kesan kepada individu atau kumpulan tertentu, bahkan ia juga akan 'menyerang' kepentingan-kepentingan negara sama ada dari sudut kestabilan politik, keharmonian sosial dan keutuhan ekonomi.

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia
Ajar peragut, mat rempit dengan hukuman berat

SUNGGUH sedih dan malang menimpa dua buah keluarga masing-masing di Johor dan Kelantan apabila dua wanita yang mengandung maut di tangan peragut. Begitu juga nasib warga emas di Pulau Pinang yang menjadi korban peragut.

Masyarakat juga cukup bimbang dengan kecenderungan kumpulan mat rempit yang kini berani bertindak ganas membelasah hingga mati seperti yang menimpa seorang mekanik di Kuantan baru-baru ini.

Mungkin itu takdir mereka yang ditentukan oleh Tuhan. Tetapi insiden itu boleh dielakkan jika kita mengambil langkah-langkah pencegahan jenayah lebih awal.

Cabaran kepada semua anggota masyarakat sekarang, sampai bila kita harus membiarkan peragut dan penjenayah mat rempit bermaharajalela di atas jalan raya negara ini?

Dalam hal ini, pihak berkuasa yang menjaga keselamatan dan ketenteraman rakyat perlu bertindak segera.

Jadi, tindakan segera yang perlu diambil oleh Kementerian Dalam Negeri bukan setakat mengkaji dan mencari punca penularan gejala lumba haram motosikal atau rempit tetapi juga kegiatan jenayah ragut yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

Untuk itu juga kerajaan kena mengambil pendekatan di luar daripada kebiasaan. Kita tidak mahu lagi mendengar apabila berlakunya kes-kes baru yang didedahkan oleh media massa, maka kita dibentangkan dengan pelbagai kaedah penyelesaian untuk menangani isu berkenaan.

Sebenarnya isu ragut hingga membawa maut dan gejala mat rempit sudah lama diperkatakan. Ia bagaikan sekejap panas, sekejap sejuk.

Sehingga kini, kita masih belum berjaya menangani kedua-dua masalah ini.

Ke mana semua cadangan tentang penyediaan pendidikan agama, pusat-pusat didikan dan kaunseling dan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat yang heboh dibincangkan suatu masa dulu apabila masalah ini timbul.

Adakah kita mudah melupakan masalah ragut dan mat rempit apabila ia mula kelihatan tidak lagi mengancam hidup kita?

Kerajaan, badan bukan kerajaan, parti politik dan orang awam perlu memberikan idea untuk menyelesaikan isu ini.

Carilah kaedah agar kegiatan rempit dan ragut dapat dikurangkan dan akhirnya dibanteras secara menyeluruh.

Untuk menangani masalah ini dalam jangka pendek, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu diteruskan dalam mengatasi masalah rempit dan jenayah ragut di negara kita.

Operasi besar-besaran yang diadakan serentak di Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor berjaya memberkas ratusan pesalah trafik yang kebanyakannya adalah remaja bawah umur. Operasi-operasi seperti ini perlu diadakan secara berterusan bagi memberi peringatan kepada golongan berkenaan.

Untuk pelan jangka panjang, kerajaan perlu memikirkan undang-undang lebih ketat sebagai langkah-langkah untuk membendung punca yang membawa kepada masalah ragut dan lumba haram.

Jika kita percaya pada undang-undang ketat dan berat daripada pendekatan biasa dapat mendidik dan menangani masalah ragut dan lumba haram, maka lakukan.

Kita menggesa kerajaan bertegas dan pastikan undang-undang yang ingin digubal atau dipinda meletakkan nilai denda atau hukumannya amat menggerunkan penjenayah atau pesalah.
BISIK-BISIK

KISAH duka kes ragut terus menghantui kita. Dua lagi nyawa melayang akibat jenayah terbabit semalam, di Kota Bharu dan di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Sekali lagi wanita berbadan dua menemui ajal setelah terjatuh daripada motosikal selepas diragut. Ahad lepas wanita mengandung diragut di Batu Pahat. Dia yang bertarung nyawa akhirnya meninggal dunia kelmarin.

Bagi kes di Kota Bharu, selepas terjatuh daripada motosikal, dia dilanggar oleh sebuah kenderaan.

Di Tasek Gelugor, seorang wanita warga emas berusia 86 tahun maut setelah terjatuh akibat diserang penjenayah yang cuba meragut rantai anaknya.

Tiga insiden terbaru itu menghuraikan betapa persekitran kita diceroboh. Rasa kemanusiaan pula dihakis. Bagi peragut, nyawa manusia boleh menjadi galang ganti kepada barangan yang hendak dirampas.

Bagi Awang, penderitaan mangsa ragut tidak berakhir setakat kematian mangsa. Mereka yang ditinggalkan pasti amat menderita. Apa lagi apabila lima anak mangsa di Kota Bharu itu masih kecil yang amat memerlukan kasih sayang ibu. Namun, semua itu dirampas daripada mereka.

Awang - Turut terkilan.
Menghayati gagasan Satu Malaysia

UNTUK meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap gagasan Satu Malaysia, Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya dan Kerajaan Negeri Terengganu akan mengadakan satu seminar sehari pada 7 Jun hadapan bertempat di Hotel Primula, Kuala Terengganu.

Selain daripada satu usaha merintis kerjasama antara pimpinan politik/pentadbiran negeri Terengganu dengan satu institusi akademik (APM, Universiti Malaya), Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah menyebut beberapa sebab kenapa seminar itu perlu diadakan.

Pertama, katanya, untuk menjelaskan maksud sebenar gagasan "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Keperluan untuk menjelaskan konsep itu seperti yang disebut oleh Ahmad Said selari dengan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Seperti dilaporkan oleh RTM hari Selasa lalu, Jamil sendiri berpendapat "sehingga kini rakyat belum memahami dengan mendalam konsep Satu Malaysia itu." Malah seorang wartawan terkenal yang berpengalaman luas, Datuk A. Kadir Jasin dalam ruangan blognya, 17 April juga mengaku dan menulis ayat berikut: "saya kurang yakin yang saya memahami sepenuhnya gagasan ini."

Dan ahli akademik terkenal, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, sewaktu dihubungi melalui telefon berkata: "Saya tidak pasti adakah gagasan itu satu 'ideologi politik' (political ideology) atau satu 'strategi tadbir urus' (governance strategy)." Ertinya, Profesor Shamsul sendiri juga belum pasti apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Satu Malaysia.

Jadi benarlah seperti yang dikatakan oleh Datuk Jamil bahawa ramai yang belum faham sepenuhnya mengenai konsep atau gagasan Satu Malaysia.

Sebab kedua kenapa seminar di Kuala Terengganu itu perlu diadakan, menurut Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Profesor Datuk Zainal Borhan adalah untuk menangkis atau mengelakkan kecenderungan pihak-pihak tertentu daripada memberikan takrif yang "keliru dan bercelaru" terhadap gagasan itu.

Memang ada terdengar suara-suara sumbang yang hendak menyamakan gagasan Satu Malaysia itu dengan konsep Malaysian Malaysia peninggalan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang hendak dilanjutkan oleh Lim Kit Siang dan DAP.

Sebab atau tujuan ketiga seminar itu adalah untuk memberi peluang kepada cendekiawan, pemimpin-pemimpin politik dan birokrat bertukar-tukar fikiran mengenai pelaksanaan dan strategi mencapai matlamat gagasan Satu Malaysia itu.

Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim telah mengumumkan beberapa langkah yang sedang dan hendak dilaksanakan oleh kementeriannya untuk memasyarakatkan (dan mengoperasikan) gagasan Satu Malaysia.

Seminar anjuran bersama APM sebagai satu badan akademik dengan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai badan politik dan pentadbiran yang hendak diadakan di Hotel Primula itu boleh dianggap sebagai lanjutan daripada usaha-usaha kementerian di bawah pimpinan Dr. Rais.

Sejajar dengan tiga sebab atau tiga tujuan yang dinukilkan tersebut, sesi seminar dibahagikan kepada tiga subtema seperti berikut: (i) Pemahaman dan Pentakrifan, (ii) Pengisian dan Pemasyarakatan, dan (iii) Pelaksanaan dan Strategi.

Dua perkara yang perlu sentiasa diingat dalam memberi takrif dan tafsiran gagasan Satu Malaysia. Pertama ialah konsep "acuan kita sendiri" dalam membentuk negara bangsa seperti terkandung dalam Wawasan 2020. Kedua, petikan titah ucapan Sultan Azlan Shah semasa menerima gelaran Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979 (sewaktu itu baginda dirujuk sebagai Raja Tan Sri Azlan Shah).

Baginda bertitah 30 tahun yang lalu: "Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang adat dan berbilang resam. Tetapi bagaimanapun kita perlu beringat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah di peringatkan bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mesti ada satu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita."

Saya cadangkan supaya teks ucapan Baginda 30 tahun lalu diedarkan kembali dalam seminar 7 Jun di Hotel Primula itu.

SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Implikasi 'campur tangan' kes syariah

Oleh SALLEH BUANG


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan media bahawa Jemaah Menteri telah memutuskan pada 22 April 2009 lalu bahawa seorang anak bawah umur itu kekal menganut agama asal ibu bapanya, walaupun salah seorang daripadanya (ibu atau bapa anak itu) kemudian telah memeluk agama lain (misalnya agama Islam) dan selepas itu mengislamkan anak itu.

Nazri berkata Jemaah Menteri telah juga memutuskan bahawa sekiranya suatu perkahwinan itu dilakukan di bawah undang-undang sivil, perkahwinan itu hanya boleh dibubarkan oleh mahkamah sivil, bukan mahkamah syariah.

Nazri juga menegaskan bahawa pertukaran agama (maksudnya memeluk agama Islam) tidak boleh dijadikan alasan suatu perkahwinan itu bubar secara automatik, atau asas bagi seorang bapa atau ibu mendapatkan hak jagaan anak.

Menteri itu tidak mahu agama digunakan sebagai alat untuk melarikan diri daripada tanggungjawab sebagai seorang bapa atau ibu kepada anak-anak.

Untuk memastikan keputusan Jemaah Menteri itu akan dilaksanakan seterusnya secara berkesan, Nazri menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara akan diarahkan mengkaji segala undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, kecuali undang-undang Islam yang terletak di bawah kuasa Sultan atau Raja-raja Melayu.

Nazri menjelaskan kepada media bahawa keputusan Jemaah Menteri itu merupakan salah satu penyelesaian jangka panjang memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd. Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi dijangka muncul pada masa depan.

Mohd Ridzuan sebenarnya seorang saudara baru (mualaf). Nama asalnya K. Patmanathan, manakala agama asalnya ialah Hindu. Setelah memeluk agama Islam, dia telah mengislamkan tiga orang anaknya, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun).

Selanjutnya dia telah memohon hadanah (perintah jagaan anak) dari sebuah Mahkamah Syariah di Ipoh, Perak. Kes permohonan hadanah ini masih lagi berjalan. Mahkamah yang mendengar kes ini masih lagi belum membuat keputusannya.

Isteri Ridzuan (ibu ketiga-tiga anak itu), Indra Ghandhi,35, yang masih kekal menganut agama asalnya (Hindu) kemudian mendapatkan pertolongan Hindu Sangam di Ipoh. Dia mendakwa Mohd. Ridzuan telah mengislamkan ketiga-tiga anaknya tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Kalau anda rajin melayari Internet, anda akan melihat betapa kes Indra Ghandhi ini mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk parti politik pembangkang di negara ini.

Menyedari bahawa keputusan Jemaah Menteri akan pasti menyentuh kes mahkamah yang sedang berjalan dan belum lagi diputuskan, Nazri turut menyatakan bahawa dia telah meminta Senator Datuk Jamil Khir Baharom (Menteri yang bertanggungjawab atas hal-hal agama di Jabatan Perdana Menteri) untuk menemui Mohd. Ridzuan dan menasihatinya.

Kenyataan mengejut Nazri ini telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak di negara ini.

Apa yang hendak ditekankan di sini, kes Mohd. Ridzuan ini adalah suatu kes mahkamah yang sedang berjalan dan masih belum diputuskan. Sementara itu, perlu ditekankan juga bahawa Mahkamah Syariah di negara ini adalah suatu mahkamah yang sah, berwibawa dan mempunyai kedudukannya yang diiktiraf dan dijamin oleh undang-undang negara.

Putrajaya pastinya tahu bahawa apabila suatu kes itu (sama ada mal atau jenayah) telah difailkan di mahkamah dan masih lagi belum diputuskan, apa jua tindakan oleh mana-mana pihak (termasuklah oleh badan eksekutif) yang disifatkan mengandungi unsur campur tangan dalam hal pentadbiran keadilan adalah sesuatu penghinaan mahkamah (contempt of court).

Sementara penulis terus meneliti perkembangan selanjutnya mengenai hal ini dalam media cetak dan elektronik arus perdana atau blog dan laman web, belum ternampak atau terdengar apa-apa usaha atau tindakan telah diambil oleh Mahkamah Syariah berkenaan, walaupun jelas sekali kewibawaannya telah dipersoal dan kemuliaannya tercalar dengan kenyataan yang dibuat oleh Nazri minggu lalu.

Tidak hairanlah mengapa seorang Ahli Parlimen, yang juga seorang peguam, telah menyatakan dalam blognya bahawa tindakan menteri berkenaan secara jelas melambangkan niat untuk meletakkan Mahkamah Syariah ke satu tempat yang amat rendah sekali.

Penulis teringin melihat dan mendengar apa yang akan dilakukan oleh Sultan atau Raja atau Majlis Raja-Raja dalam hal ini.

SALLEH BUANG ialah Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia, Johor
Sidang DUN Perak dijangka 'panas'

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI


SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang bermula hari ini dijangka akan berlangsung dalam suasana 'panas' dan penuh kontroversi.

'Panas' bukan sahaja di dalam dewan tetapi juga di luar dewan apabila dijangkakan ribuan penyokong parti politik pembangkang akan berkumpul.

Apa pun, tindakan pantas pihak polis yang berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang perhimpunan haram yang mungkin diadakan, sedikit sebanyak mengurangkan 'bahang politik' di negeri ini.

Amaran pihak polis bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan yang berdegil, seharusnya diambil perhatian supaya tidak dijadikan alasan kemudian.

Ramai juga yang mengandaikan bahawa sidang DUN ini akan mengundang kontroversi berikutan kedudukan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar masih dalam perbicaraan mahkamah.

Tindak-tanduk Speaker DUN, V. Sivakumar yang seolah-olah 'lebih berkuasa' daripada undang-undang dijangka akan mewarnai perjalanan sidang DUN kali ini.

Usaha Barisan Nasional (BN) membentangkan usul untuk menyingkirkan Sivakumar dilihat bukan satu perkara yang mudah.

Sebagai Speaker, Sivakumar tentunya akan berkeras dalam mempertahankan kedudukannya itu. Maka, sidang DUN tentunya akan gamat dengan pertikaman lidah daripada wakil rakyat BN dan pakatan pembangkang.

Walaupun hakikatnya, setiap usul perlu melalui proses pengundian, yang akan memihak kepada BN kerana mempunyai sokongan 31 kerusi, namun ramai melihat laluan itu tidak semudah yang disangka.

Selain persoalan mengenai kuasa Speaker untuk menolak sidang DUN, satu lagi isu yang dijangka menghangatkan sidang DUN ialah mengenai kedudukan Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri.

Ini kerana Setiausaha DUN Perak itu sudah dua kali 'digantung tugas' oleh Sivakumar sebelum ini yang didakwa tidak sah kerana jawatan tersebut adalah diluluskan pihak berkuasa negeri melalui waran perjawatan ditandatangani Menteri Besar Perak.

Kehadiran Timbalan Speaker DUN yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Hee Yit Foong yang sekian lama menyepikan diri turut menarik perhatian.

Selain Yit Foong, difahamkan dua lagi ADUN Bebas yang menyokong BN iaitu Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) juga akan turut hadir.

Tentunya, tuduhan-tuduhan liar akan dilemparkan kepada mereka kerana dikatakan sanggup berpaling tadah daripada perjuangan asal.

Paling menarik, jumlah wartawan yang membuat liputan DUN kali ini iaitu sebanyak 101 orang dikatakan teramai setakat ini. Nampaknya 'kecelaruan politik' Perak berjaya mempopularkan Malaysia di mata dunia.

Ketika banyak pihak mula bercakap tentang pelbagai kemungkinan, Zambry menjelaskan beliau masih menaruh harapan semuanya akan berjalan lancar.

Katanya, semua pihak harus menghormati prinsip-prinsip demokrasi dengan meletakkan soal keamanan dan ketenteraman awam paling utama.

Justeru kata Zambry, beliau tidak kisah jika Speaker baru yang dilantik adalah daripada parti pembangkang asalkan orang itu dapat menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan mesra dan adil.
Sokong GLC ternak ayam

Oleh SAMSUDIN ISMAIL


CADANGAN Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman, agar kerajaan mengambil alih teraju monopoli industri ternakan ayam di negara ini melalui penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah amat bertepatan dan dialu-alukan.

Ini kerana sudah sampai masanya industri teras makanan negara ini dikawal semula oleh kerajaan demi kepentingan rakyat.

Selain dapat memastikan bekalan mencukupi dan harga yang terkawal sepanjang masa, mutu daripada segi kebersihan dan kesihatan produk tersebut mudah dipantau. Di samping itu langkah ini bagi mengawasi negara daripada gejala wabak pandemik yang amat ditakuti sejak kebelakangan ini.

Apatah lagi, pengusaha industri ayam di negara ini yang berkuasa menentukan bekalan dan harga, acap kali mencetuskan kontroversi dan kebimbangan masyarakat Islam berkaitan status halal dengan tersiarnya laporan yang bekalan tidak dikendalikan mengikut syarak.

Isu ini telah banyak kali timbul dan masyarakat islam di negara ini sudah mula bosan dengan tindak-tanduk pengusaha ayam yang tidak bertanggungjawab.

Bekalan asas makanan untuk rakyat khususnya masyarakat Islam adalah perkara yang amat penting diutamakan oleh pihak kerajaan.

Faktor harga, kebersihan, kesihatan dan keselamatan bekalan makanan adalah tanggungjawab sepenuhnya kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Dengan membiarkan dan melepaskan kuasa pasaran memainkan peranan yang mutlak terhadap industri makanan di negara ini, ia adalah pendekatan yang merbahaya dan dikhuatiri tindakan sabotaj, pulau atau protes oleh pengusaha industri, mampu melumpuhkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Sudah tiba masanya kerajaan memikirkan cadangan ini kerana semakin hari pengusaha industri makanan ini sudah semakin berani menekan kerajaan dan semakin kuat untuk tidak menurut arahan kerajaan.

Kita tidak mahu dilihat sebagai mempunyai kerajaan yang lemah di mata rakyat dan masyarakat luar negara. Selagi tindakan kerajaan demi kepentingan rakyat dan industri, selagi itulah usaha kerajaan akan mendapat sokongan padu rakyat.

Ini bertepatan dengan slogan kepimpinan baru negara pada hari ini iaitu "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan".
Jangan jaja nama rakyat, demokrasi

SEMENJAK berlakunya apa yang didakwa sebagai krisis perlembagaan di Perak awal Februari lepas, pakatan parti pembangkang tidak henti-henti merayu dan meminta supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Pakatan pembangkang berhujah bahawa hak hendaklah dikembalikan kepada rakyat supaya rakyat sendiri yang menentukan siapakah yang rakyat mahu pilih untuk membentuk kerajaan negeri - pakatan DAP, PKR dan Pas atau Barisan Nasional (BN).

Keadaan kini tambah meruncing dan menjejaskan pakatan pembangkang apabila Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Besar Perak bertegas akan meneruskan dengan sidang dewan buat pertama kalinya pada 7 Mei (hari ini) selepas berlaku peralihan kuasa daripada kerajaan campuran pembangkang kepada BN.

Gesaan terbaru dibuat oleh Mohamad Sabu selaku Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi Pas Pusat pada 4 Mei kelmarin, supaya pembubaran dibuat demi membolehkan rakyat membuat pilihan mereka sendiri dan bersesuaian dengan demokrasi.

'Lagu' demokrasi dan hak rakyat inilah yang terus didendangkan oleh para pemimpin pakatan pembangkang bagaikan rekod lapuk dan retorik lusuh untuk mewajarkan tuntutan mereka sendiri dan penyokong mereka sahaja.

Rakyat dan demokrasi jugalah yang terus dijaja ke sana sini untuk membarakan kemarahan rakyat menentang establishment yang ada.

Walau sebesar atau seluas mana pun hak rakyat atas nama demokrasi, hak seumpamanya tetap terbatas oleh undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Justeru, janganlah sampai nama rakyat dijaja secara borong seolah-olah rakyatlah penentu kepada segala-galanya, seakan-akan tiada lagi undang-undang dan peraturan yang boleh membatas dan mengehadkan hak dan kuasa rakyat.

Di atas teras yang sama, janganlah nama rakyat turut dijaja secara borong seolah-olah segenap lapisan rakyat mahukan pembubaran DUN untuk menentukan siapakah yang layak untuk membentuk kerajaan negeri, sedangkan tidak kesemua rakyat berpendirian serupa.

Hakikatnya, banyak kemusykilan yang boleh dibangkitkan untuk mempersoal dan menyanggah tindakan pakatan pembangkang menjaja nama rakyat dan demokrasi. Apakah hak pakatan pembangkang untuk menjaja nama rakyat Perak yang menyokong dan bersimpati dengan BN menuntut pembubaran DUN?

Sudahkah pakatan pembangkang mendapat mandat keseluruhan rakyat Perak untuk menuntut supaya pembubaran dibuat dan hak rakyat dikembalikan untuk memilih ahli-ahli DUN baru? Apakah kayu ukur yang digunakan untuk mewajarkan pembubaran DUN supaya rakyat boleh membuat pemilihan baru?

Atas nama rakyat dan demokrasi, tunjuk perasaan di jalanan telah dijustifikasikan sebagai kaedah menyuarakan pendapat. Maka timbullah pertanyaan: adakah suara penunjuk perasaan di Kuala Kangsar tidak lama dahulu mewakili suara sebenar dan keseluruhan rakyat Perak? Tidak lain dan tidak bukan, para penunjuk perasaan tersebut hanya mewakili diri mereka sendiri dan penyokong-penyokong pakatan pembangkang sahaja.

Sesuatu yang harus dihayati oleh para pemimpin pakatan pembangkang ialah titah Sultan Azlan Shah semasa sambutan ulang tahun keputeraan baginda pada 19 April lepas. Menurut titah baginda, Malaysia adalah sebuah negara raja berperlembagaan dan bukannya republik.

Tambah Tuanku lagi, seorang raja pemerintah tetap kekal sebagai raja pemerintah yang jauh berbeza kedudukannya dari seorang presiden.

Justeru, hakikat yang harus diakui dan difahami oleh pemimpin pakatan pembangkang ialah Malaysia sebuah negara demokrasi dengan raja berperlembagaan. Sistem raja berperlembagaan inilah yang tidak memutlakkan hak rakyat dan demokrasi.

Dalam keadaan Malaysia yang mengamalkan demokrasi dengan raja berperlembagaan, para pemimpin pakatan pembangkang sewajarnya belajar menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ada.

Pada masa yang sama, para pemimpin pakatan pembangkang sebaik-baiknya mendidik pula rakyat khususnya penyokong mereka mengenai perkara yang sama. Namun demikian pakatan pembangkang berbuat sebaliknya.

Mahkamah telah dijadikan medan untuk mempertikaikan Perlembagaan negeri serta hak dan budi bicara raja. Atas nama hak serta kebebasan bersuara oleh rakyat, media baru telah digunakan untuk memburuk-burukkan institusi raja dan kerajaan.

Tidak semua keputusan oleh rakyat sesuai dan baik untuk segenap dan keseluruhan rakyat. Ada kalanya, kalaupun tidak selalu, rakyat perlu dinasihat dan dipimpin dalam memilih serta membuat keputusan. Di sinilah letaknya peranan raja, menasihati serta memimpin rakyat dan kepemimpinan rakyat.

Jangan sekali-kali dijaja nama rakyat dan demokrasi untuk kepentingan diri sendiri.

ZULKIFLI ZABIDIN

Naib Yang Dipertua Kesatuan Angkatan Muda Islam Perak (KAMI)
Minda Pengarang: Imbasan ibu jari mampu tingkat piawaian undian


CADANGAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan sistem biometrik atau imbasan ibu jari pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti perlu diberi perhatian serius semua pihak kerana ia memberi impak besar kepada sistem pilihan raya negara. Selepas membatalkan penggunaan dakwat khas, kita merasakan cadangan terbaru ini baik kerana ia boleh mempercepatkan proses pengesanan pengundi dan mengelakkan pengundi hantu, namun ia perlu kajian secara menyeluruh selain ujian di lapangan bagi menilai keberkesanannya. Sejarah pembatalan penggunaan dakwat khas dari India bagi menanda kuku dan jari pengundi pada saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu, perlu dijadikan iktibar SPR dan juga kerajaan. Kita tidak mahu SPR terburu-buru dalam melaksanakan kaedah baru itu kerana ia boleh mengundang masalah, terutama bantahan masyarakat dan parti politik. Rakyat tidak mahu SPR terus menjadi sasaran kecaman dan kemarahan pihak yang tidak berpuas hati jika sistem berkenaan gagal, sebaliknya sebagai penegak proses demokrasi di negara, badan itu wajar dihormati. Penggunaan teknologi tinggi, termasuk sistem biometrik sudah berjaya dilaksanakan terutama di Jabatan Pendaftaran Negara bagi pengeluaran Mykad dan Jabatan Imigresen yang mengeluarkan pasport antarabangsa Malaysia bermutu tinggi. Namun, bagi menggunakan kaedah berkenaan untuk proses pengundian, ia boleh mengundang pelbagai masalah termasuk kos yang tinggi kerana terpaksa menggunakan banyak mesin pengimbas, komputer dan set jana kuasa untuk kawasan terpencil.

Masalah perundangan dan kaedah pelaksanaannya turut menyebabkan banyak pihak sangsi dengan cadangan berkenaan. Proses pengundian dalam pilihan raya yang dilakukan dalam sehari boleh menjadi kecoh sekiranya kaedah yang digunakan gagal berfungsi baik. Dijangkakan hampir 12 juta pengundi akan menunaikan hak mereka pada pilihan raya umum akan datang atau kira-kira empat tahun lagi yang membabitkan 222 kawasan Parlimen dan 576 kawasan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara. Dengan hampir 8,000 pusat pengundian, tentunya penggunaan imbasan ibu jari boleh menimbulkan masalah, terutama bagi proses pengundian di kawasan terpencil seperti di Pensiangan, Sabah atau di Ba'Kelalan, Sarawak, yang tidak mempunyai bekalan elektrik. Kita percaya SPR mempunyai pandangan tersendiri dalam memantapkan sistem, proses pemilihan dan pengundian yang dijalankan selaras dengan perkembangan semasa. Kaedah yang kita gunakan sekarang tidak pernah berubah sejak sekian lama, malah menimbulkan kritikan setiap kali pilihan raya berlangsung. SPR cuba melontarkan idea penggunaan sistem biometrik ini kepada masyarakat bagi mendapatkan maklum balas pro dan kontra, sebagai panduan untuk mencari kaedah terbaik. Mungkin SPR boleh melihat keberkesanan proses pengundian dalam pilihan raya yang diadakan di United Kingdom, Australia atau Amerika Syarikat serta melakukan pengubahsuaian bagi diperkenalkan di negara ini. Apapun, sekiranya SPR ingin melaksanakan kaedah baru pada pilihan raya umum akan datang, badan itu masih mempunyai banyak masa untuk membuat kajian. Rakyat, termasuk parti politik tidak akan membantah jika sistem yang digunakan SPR telus dan mampu meningkatkan tahap piawaian sistem pengundian bagi pilihan raya di negara ini.
Pengundi kena bijak pilih YB berkhidmat
Oleh Jamhariah Jaafar
bhnews@bharian.com.my

PERUBAHAN arus dalam senario politik negara turut membuatkan gelanggang politik bagai dilanda tsunami pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu dengan parti pembangkang meraih manfaat besar - ramai muka baru dengan kewibawaan tidak teruji - menang dan buat pertama kali Barisan Nasional (BN) dinafikan mandat dua pertiga untuk memerintah dengan selesa.

Kini, 14 bulan berlalu dan kita mula menerima kesan kerana memilih calon tidak berwibawa. Semakin ramai wakil rakyat mula merasai hangatnya bahang politik, di samping menyedari betapa mereka tidak mampu melaksanakan tugas diamanahkan apabila sentiasa berdepan pelbagai permintaan, desakan, isu dan polemik yang silih berganti.

Dalam tempoh sesingkat ini, negara sudah melalui lima pilihan raya kecil dan beberapa lagi dijangka menyusul dalam tempoh terdekat. Ketika dunia mengalami krisis ekonomi yang serius, kita pula sibuk menghabiskan jutaan ringgit untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Ramai calon, terutama dari parti pembangkang dipilih berdasarkan tangkap muat. Mereka yang menawarkan diri sebagai calon ini bukan di kalangan ahli politik sebenar, sebaliknya ada yang hanya pemandu teksi, tahanan ISA, perakam video kes berprofil tinggi dan mekanik.

Menjelang pilihan raya umum lalu, gelanggang politik ibarat arena sarkas. Ada di kalangan calon yang bertanding sekadar 'suka-suka' tanpa mengira tanggungjawab mereka kepada rakyat dan apabila menang mereka jadi gelabah serta tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

"Saya tidak menyangka tanggungjawab sebagai wakil rakyat ini begitu perit dan kini membebankan saya serta keluarga. Saya bukan saja terpaksa berhenti kerja selepas menang, malah wang gaji dan elaun saya sebagai Ahli Parlimen terpaksa diguna untuk diagihkan bagi membantu pengundi di kawasan, selain menyara hidup keluarga.

"Tanpa peruntukan khas, saya sendiri rasa malu untuk bertemu pengundi kerana tidak mampu membantu mereka. Saya bernasib baik kerana menang di kawasan bandar dan pengundi di sini tidak banyak kerenah. Saya tidak dapat bayangkan jika saya menang di luar bandar," kata seorang Ahli Parlimen pembangkang ketika ditanya caranya mendapat peruntukan untuk membantu rakyat di kawasannya.

Berikutan pelbagai tekanan dan masalah yang dihadapi, termasuk tidak tahan dengan cabaran, desakan, politiking dan paling perit tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing, ada di kalangan wakil rakyat ini mengambil jalan mudah dengan meletak jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Ini tidak termasuk wakil rakyat yang terperangkap dengan gejala salah laku seperti rasuah dan salah guna kuasa, selain munculnya pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dan cuba mengambil kesempatan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan negara.

Akibatnya, enam pilihan raya kecil dalam tempoh setahun - kerusi Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang, selain Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Batang Air selain satu lagi pada akhir bulan ini, iaitu DUN Penanti - satu rekod baru Malaysia kerana pilihan raya kecil paling banyak diadakan dalam tempoh setahun ialah lima, iaitu pada 1999.

Malah, satu lagi pilihan raya kecil mungkin terpaksa diadakan iaitu bagi DUN Kota Alam Shah jika wakil rakyatnya, M Manoharan yang kini dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengosongkan kerusinya.

Apapun, rakyat yang mendesak mahukan perubahan 'mengajar' BN pada Pilihan Raya Umum lalu. Pemimpin BN, terutama Umno mengaku kesilapan dan kini bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan diri. Kepemimpinan baru di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berikrar untuk memastikan setiap tugas yang dilaksanakan mengambil kira seluruh rakyat Malaysia.

Dengan menjunjung Perlembagaan, Najib berjanji tidak akan mengabaikan seluruh rakyat pelbagai bangsa Malaysia melalui dasar 1Malaysia.

Menepis kontroversi yang menyelubungi konsep 1Malaysia ini, Najib menegaskan konsep 1Malaysia bertujuan menyediakan garis permulaan yang adil bagi rakyat mendapat bantuan kerajaan tanpa mengira mereka dari bandar, luar bandar dan kumpulan etnik sekiranya mereka mempunyai potensi.

Persoalan yang harus dijawab sendiri oleh rakyat Malaysia adakah kita ingin kembali kepada kehidupan yang aman, damai, makmur, yang menyulami semangat setia kawan yang terjalin sejak krisis perkauman terburuk pada 13 Mei 1969 atau adakah kita ingin terus memporak-perandakan negara dengan permainan politik segelintir manusia yang tidak puas hati selagi tidak berada di puncak kekuasaan.

Pilihan raya umum 2008 lama berlalu. Walaupun tidak mendapat majoriti kukuh, BN menang dan rakyat perlu membantu kerajaan untuk melaksanakan tugasnya. Cukuplah dengan polemik pilihan raya kecil yang dicipta untuk menguji kekuatan parti politik masing-masing. Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengkaji cadangan supaya tidak perlu diadakan pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum.

Cadangan seperti menghukum wakil rakyat yang sewenang-wenangnya meletak jawatan tanpa memikir rakyat yang mengundi mereka atau memilih calon yang menerima undi kedua terbanyak menggantikan wakil rakyat yang meninggal dunia - perlu diberi pertimbangan sewajarnya. Kita boleh gunakan wang yang dibelanjakan untuk pilihan raya kecil bagi projek pembangunan dan program yang lebih memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan.

Cukuplah kita berasa gelombang politik yang melanda dalam tempoh 14 bulan lalu. Sudah tiba masanya, seluruh rakyat Malaysia kembali bersatu dan berusaha untuk berdepan dengan banyak lagi krisis dunia yang turut memberi kesan kepada kehidupan kita di sini.

Wakil rakyat dan ahli politik pembangkang yang memang tidak ada kerja selain daripada mencetuskan kegelisahan dan kebimbangan di hati rakyat perlu sedar mereka sebenarnya tidak ada beza daripada parti atau pemimpin politik BN yang terus menerus dikutuk.

Lihatlah pergelutan dan polemik di dalam parti sendiri. Selesaikan masalah dalaman yang jauh lebih parah daripada parti pemerintah yang teruk difitnah - seolah-olah mereka tidak pernah melakukan sebarang dosa. Akhirnya, biarlah rakyat membuat penilaian terhadap kemampuan mana-mana parti politik yang dianggap layak menjadi kerajaan apabila Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan nanti.
Konsep 1Malaysia bukan slogan kosong

Oleh Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com


NAJIB melambai kepada orang ramai ketika membuat lawatan mengejut
di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, bulan lalu. Perdana Menteri dalam
memperkenalkan konsep terbarunya mengarahkan soal protokol dikurangkan
dalam setiap majlis rasmi.


Najib perlu diberi peluang bukti dasar kesinambungan kepemimpinan BN formula paling berkesan

SEJAK mengambil alih kepimpinan negara pada 3 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan beberapa konsep dan pendekatan baru yang beliau mahu jadikan falsafah dan garis bertindak pentadbirannya.

Beliau juga berhasrat menjadikan konsep dan pendekatan itu sebagai prinsip perjuangan Umno dan Barisan Nasional yang dipimpinnya. Antara konsep dan pendekatan yang dimaksudkan ialah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; pemupukan budaya jitu; urusan di luar kebiasaan serta konsep al-waad dan al-baiah sebagai ikatan perhubungan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan penjawat awam.

Di samping itu, Najib juga membuat beberapa pembaharuan dalam urusan harian kerajaan untuk menjimatkan waktu dan perbelanjaan. Untuk itu, beliau mengarahkan soal protokol dikurangkan dalam upacara. Sebagai contoh, beliau mahukan sebutan nama atau gelaran orang kenamaan di awal ucapan dikurangkan sementara majlis rasmi perlu ditamatkan selewat-lewatnya jam 10.30 malam.

Adalah dipercayai bahawa lebih banyak pembaharuan akan diketengahkan dalam minggu-minggu akan datang atau dari semasa ke semasa selaras dengan hasrat beliau untuk mengajak rakyat sama-sama melaksanakan 'satu transformasi besar untuk negara' seperti yang beliau janjikan dalam ucapan sulungnya tatkala mengambil alih jawatan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu.

Bagaimanapun, oleh kerana konsep dan pendekatan yang cuba diterapkan itu dilihat sebagai baru dan diperkenalkan pada kadar yang agak pantas satu demi satu, penerimaan orang ramai nampaknya agak perlahan walaupun pada keseluruhannya positif.

Ada pihak yang teruja, tetapi tidak kurang juga yang menganggap segala-galanya sebagai slogan kosong yang akan hanya tinggal sebagai slogan seperti yang pernah dialami pada masa-masa lalu.

Di kalangan pemimpin pembangkang pula, mereka pantas memomokkan dan memutarbelitkan perkara itu untuk memberikan gambaran bahawa kerajaan berhasrat untuk mengabaikan tanggungjawabnya terhadap sebahagian daripada rakyat yang semestinya masih memerlukan bantuan.

Sebagai contoh, konsep 1Malaysia sengaja dimomokkan sebagai 'Malaysian Malaysia' yang cuba ditonjolkan DAP satu ketika dulu. Ini menyebabkan sebahagian orang Melayu, terutama yang tinggal di luar bandar dan mungkin kurang pendedahan terhadap media, agak risau.

Sebenarnya, tiada siapa yang perlu bimbang dengan konsep itu. Satu hakikat yang perlu disedari ialah tiada kerajaan di mana-mana juga yang sengaja memperkenalkan sesuatu dasar untuk menyusahkan atau menganiaya rakyat.

Seperti yang Najib sendiri pernah jelaskan, 1Malaysia adalah gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang menjadi amalan setiap rakyat. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar kerajaan BN sebelum ini. Sebaliknya, ia adalah pelengkap kepada pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan untuk mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara.

Perpaduan yang digambarkan menerusi gagasan 1Malaysia amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain apabila identiti kaum dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Ia juga berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia yang menekankan kesamarataan dan penghapusan keistimewaan orang Melayu dan hak Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti setiap kaum dan menganggapnya sebagai satu aset. Dalam hubungan ini, setiap kaum perlu menerima dan bukan hanya sekadar bertolak ansur perbezaan antara satu dengan lain.

Asas utama konsep ini ialah keadilan untuk semua kaum dalam erti kata bahawa nasib semua kaum akan dibela tanpa mana-mana pihak dipinggirkan. Mereka yang perlu pembelaan akan dibela tanpa mengira kaum. Semua kaum juga perlu berkongsi aspirasi yang sama dan kesetiaan yang serupa terhadap negara.

Budaya jitu pula bertujuan mendorong rakyat agar mengamalkan prinsip ketepatan dalam melakukan sesuatu sama ada dari segi pengukuran, pengurusan masa, jadual penyampaian, kualiti produk dan seumpamanya. Ini bermakna budaya cukup makan atau sikap sambil lewa atau ala kadar dalam melakukan sesuatu perlu dikikis.

Ini juga bukan perkara baru dalam sesetengah kegiatan rakyat. Misalnya dalam bidang perniagaan, lazimnya ahli perniagaan akan berlumba-lumba untuk mendapatkan keuntungan maksimum mungkin melalui kegiatan mereka. Dalam pendidikan juga, pelajar berlumba-lumba untuk mendapat markah A dalam setiap mata pelajaran yang mereka ambil dalam peperiksaan awam.

Kalau ini dapat dijadikan amalan, lama kelamaan budaya yang mementingkan prinsip ketepatan ini akan membolehkan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mengutamakan kualiti dan kecemerlangan.

Begitu juga dengan konsep lain yang cuba dipopularkan Perdana Menteri. Ia bukanlah baru dalam erti kata terlalu asing dalam kehidupan harian rakyat. Apa yang beliau lakukan ialah mempromosikan semula konsep itu sebagai satu pakej secara lebih khusus dan fokus.

Semua pihak harus menerima hakikat bahawa kejayaan sesuatu usaha atau keberkesanan satu-satu konsep itu tidak akan dapat dicapai atau dinilai dalam sekelip mata. Ia memerlukan proses evolusi yang mungkin memakan masa. Yang penting ialah Perdana Menteri memulakan langkah pertama dengan mempraktikkan apa yang beliau sarankan.

Setiap pegawai yang rapat dengan beliau tahu betapa seriusnya beliau dalam usaha ini. Oleh itu, tentulah tidak adil untuk mana-mana pihak menghukum beliau setelah hanya lebih sedikit sebulan selepas beliau mengambil alih jawatan.

Apa yang lebih penting ialah untuk semua pihak daripada anggota Jemaah Menteri sehingga kepada penjawat awam dan rakyat biasa memberikan sokongan padu dan cuba menyusuri rentak yang sudah pun dipalu.

Pilihan lain yang ada ialah untuk tidak berbuat apa-apa dan membiarkan negara terus ketinggalan dalam arus perlumbaan global yang setiap saat menjadi lebih kompetitif dan mencabar.

Kalau ini berlaku, tiada siapa yang pasti bahawa rakyat yang selama ini biasa hidup dengan selesa sanggup mengetepikan kemewahan yang pernah mereka rasai.

Datuk Rahman Sulaiman adalah bekas Ketua Pengarang Bernama
'Makhluk perosak' dalam Pas
HAKIKATNYA, kewujudan golongan profesional dalam Pas bukanlah sesuatuyang aneh, malah sejarah sudah membuktikan bahawa golongan berkenaanturut sama-sama menyumbang ke arah perkembangan parti tersebut.

Polemik tukar agama anak
Polemikyang melanda antara agama Islam dan agama lain bukan satu perkara baru.Setiap kali isu tersebut timbul, semua pihak dilihat mengambil langkahdrastik dalam menyelesaikan pertikaian dan pergeseran yang berlaku demimenjamin kerukunan dan kelangsungan keharmonian bersama.

Kukuhkan ikatan setia anggota sektor awam demi rakyat
BERIperkhidmatan terbaik kepada rakyat. Itu amanat pertama Datuk Seri NajibTun Razak kepada penjawat awam selepas dilantik menjadi PerdanaMenteri.

BISIK-BISIK
SEMALAM,seorang lagi wanita mangsa ragut meninggal dunia setelah koma sejakAhad lepas. Akibat beg tangannya direntap, wanita yang sedangmengandung itu terjatuh, kepalanya tercedera lalu koma.

Image
Ahmad tuntut hak jawatan Anak Raja Bergelar
SETAKATyang terakam oleh sejarah, kesultanan Melayu Perak bermula pada abadke-15 iaitu apabila Sultan Muzaffar Shah I dimasyhurkan sebagai SultanPerak yang pertama pada 1528.

Pendekatan agama tangani mat rempit
MEMBACA tentang gejala mat rempit yang semakin berleluasa di negara kita bukanlah sesuatu untuk dibanggakan.

MBM patut bantu masalah anak muda
SEKALI lagi Dataran Merdeka terus mendapat perhatian. Perhatian padakali ini bukan kerana acara kebudayaan, majlis rasmi kerajaan tetapisebaliknya operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalulintas di Dataran Merdeka. Lebih 500 mat rempit diperiksa. Ini adalahsatu fenomena yang biasa dilihat di hujung minggu.

Cari punca asas masalah mat rempit
PELBAGAI pihak telah menyuarakan kebimbangan dan kerisauan merekamengenai isu mat rempit, peragut, perompak dan pelbagai aktivitijenayah yang melibatkan remaja termasuk yang terjerumus ke dalam kancahperlumbaan haram.

Persengketaan kuasa di Perak, jangkitan H1N1
LAPORANnanyang.com pada 5 Mei 2009 yang bertajuk Persengketaan KuasaPemerintahan Negeri Perak menyiarkan berita Speaker Dewan UndanganNegeri (DUN) Perak, V. Sivakumar mempersembahkan surat kepada SultanPerak untuk merayu ditangguhkan Sidang DUN yang dijadual pada 7 Mei2009.





Usah sampai Bumiputera jadi mangsa liberalisasi
EKONOMInegara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor pembuatanberorientasikan eksport. Justeru, untuk cabaran jangka panjang,kerajaan mula melakukan transformasi ke arah pembangunan ekonomiberteraskan kreativiti dan inovasi. Di bawah model baru ekonomi ini,kerajaan akan membangunkan sektor perkhidmatan menjadi penerajupertumbuhan dan pembentukan kekayaan baru masa depan negara. Pada masasama, kerajaan akan terus menggalakkan sektor pembuatan bergerak kerantaian nilai lebih tinggi.

Minda Pengarang: Penangguhan kata putus PPSMI untuk kebaikan bersama
KABINETyang kurang berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja BulatDasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam BahasaInggeris (PPSMI), sekali gus menolak cadangan yang dikemukakanKementerian Pelajaran baru-baru ini seperti diumumkan MenteriPelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, tentu mengundang persoalanbaru berkaitan masa depan dasar berkenaan. Isu PPSMI mendapat perhatianbanyak pihak, bukan saja ibu bapa dan ahli akademik, malah pelbagaipertubuhan bukan kerajaan (NGO), sama ada mereka yang menyokong ataumembantah pelaksanaan dasar itu. Mereka menunggu dengan penuh minatkerana ingin mengetahui apakah langkah bakal diputuskan KementerianPelajaran selepas Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri,mengambil alih portfolio itu, yang sebelum ini diterajui Datuk SeriHishammuddin Hussein. Harapan mereka untuk melihat satu keputusanmuktamad mengenainya dibuat dalam waktu terdekat masih belum menjadikenyataan. Kita bersetuju dengan pandangan Muhyiddin yang tidak mahutergesa-gesa membuat keputusan berhubung pelaksanaan dasar itu keranaapa juga keputusan yang dibuat harus mengambil kira semua sudut keranaia bakal menentukan masa depan pelajar serta modal insan yang akandilahirkan. Bagaimanapun, keputusan Muhyiddin yang membawa kepadapenangguhan dasar PPSMI, kita harap tidak akan membuka ruang kepadapihak tertentu meneruskan polemik mengenainya sehingga mencetuskan satulagi episod hitam dalam pendidikan dengan mengheret isu itu kedemonstrasi jalanan. Ada yang melihat pengumuman Muhyiddin agakbertentangan dengan janji serta jaminan Hishammuddin sebelum ini,bahawa sebarang keputusan mengenainya bergantung kepada input yangdiperoleh daripada persidangan meja bulat membabitkan wakil pelbagaipihak, termasuk ahli akademik tempatan, yang pernah menjalankan kajianmengenai kesan pelaksanaan dasar PPSMI.

Analisis: Adun Perak perlu hormati sidang DUN, jangan emosi
AKHIRNYASidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ditetapkan esok dan dijangkaberlangsung selama lima hari sehingga 13 Mei ini, selepas tercetuspelbagai kontroversi politik berikutan peralihan kuasa yang berlakuawal Februari lalu
'Makhluk perosak' dalam Pas

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


HAKIKATNYA, kewujudan golongan profesional dalam Pas bukanlah sesuatu yang aneh, malah sejarah sudah membuktikan bahawa golongan berkenaan turut sama-sama menyumbang ke arah perkembangan parti tersebut.

Dalam beberapa pilihan raya umum, biarpun tonggak kepimpinan Pas adalah ulama, namun golongan profesional tetap diberi tempat untuk bertanding.

Sebelum tahun 2004 kehadiran kumpulan itu dianggap bukan ancaman bagi Pas. Biarpun mereka bertanding dalam pemilihan parti namun kejayaan kumpulan itu tidak mampu menangani keupayaan golongan ulama.

Justeru Pas terus bergerak dengan kepimpinan ulama menjadi tunjang utama. Pelbagai susah dan senang ditempuh terutama dalam pilihan raya, tetapi kedamaian Pas berikutan kewujudan golongan profesional mula tergugat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Kejayaan yang dianggap cemerlang oleh Pas telah menjelmakan watak sebenar golongan profesional terutama sejak Pas berkawan rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Berikutan itu wujudlah istilah puak Erdogan yang ditujukan kepada sesetengah golongan profesional yang dianggap penyokong kuat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Puak ini mula menunjukkan belang mereka di dalam Pas dan pemilihan parti pada Jun nanti dilihat gelanggang terbaik untuk mereka melakukan 'rampasan kuasa' secara tertib bagi menguasai Pas sepenuhnya.

Tugas Anwar menjadi semakin mudah apabila ada di kalangan pemimpin yang selama ini sudah berpuluh tahun di dalam Pas dan ada suatu ketika dahulu turut mengecam Anwar ketika beliau berada dalam kerajaan, kini bersedia bekerjasama melaksanakan agenda politik beliau.

Lebih malang lagi bagi Pas, apabila ada di kalangan pemimpin berkenaan adalah bekas ahli UMNO yang ketika berada dalam parti itu dulu sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Selepas berjaya merosakkan UMNO dan akibat taksub kepada Anwar, mereka 'berhijrah' ke Pas, bukan dengan tujuan baik tetapi demi memastikan agenda politik mereka untuk berkuasa dapat diteruskan.

Mereka memahami, walaupun menjadi penyokong Anwar, mereka tidak boleh bergantung harap kepada PKR kerana parti itu bukannya salah sebuah parti yang menjadi pilihan utama orang Melayu. Bagi orang Melayu mereka hanya akan memilih UMNO atau Pas.

Perkara ini juga disedari oleh Anwar. Oleh itu gerakan tersusun dilakukan bagi memastikan kepimpinan Pas berada dalam genggaman puak Erdogan.

Mereka begitu percaya kepada teori politik Anwar bahawa pembangkang akan merampas tampuk pemerintahan negara biarpun impian 16 September sudah berkubur.

Apa yang menarik, ada di kalangan pemimpin 'Pas Erdogan' ini dijanjikan pelbagai jawatan dalam Kabinet termasuklah sebagai menteri kanan seperti Menteri Kewangan, Menteri Pelajaran dan Menteri Pertahanan.

Apabila Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mendedahkan bahawa bapanya Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan penubuhan kerajaan perpaduan asalkan dua jawatan itu diserahkan kepada Pas, Nik Abdul Aziz bukannya bercakap kosong, sebaliknya Mursyidul Am Pas itu mungkin sudah dimaklumkan oleh 'pembantu-pembantu' beliau dari kumpulan Erdogan itulah jawatan yang dijanjikan oleh Anwar.

Keadaan itu dengan jelas menunjukkan sebenarnya yang ghairah untuk mendapat kedudukan bukannya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi adalah kumpulan Erdogan dalam parti itu yang cuba menjadikan Pas sebagai kuda tunggangan mereka bagi memperolehi kuasa politik.

Justeru, ahli-ahli Pas seharusnya berhati-hati dengan gerakan kumpulan Erdogan ini yang boleh dianggap sebagai 'makhluk perosak'. Mereka perlu memegang teguh semangat kepimpinan ulama yang mempertegaskan bahawa Presiden, Timbalan Presiden dan salah seorang daripada Naib Presiden adalah di kalangan ulama.

Mereka tidak harus termakan hasutan puak-puak Erdogan yang membentangkan pelbagai hujah bagi memastikan matlamat politik mereka tercapai.

Kita mengakui bahawa kepimpinan ulama dalam Pas ada kelemahannya tetapi bertindak menyingkirkan golongan berkenaan bukanlah satu tindakan yang bijak.

Selama ini sebelum tahun 1998, segala kelemahan kepimpinan Pas ditegur secara terbuka atau tertutup oleh ahli-ahli Pas, malah Dewan Pemuda Pas Pusat yang diketuai oleh Salahuddin Ayub sudah beberapa kali dalam muktamarnya menegur kepimpinan Pas secara terbuka.

Tujuan mereka bukannya untuk menjatuhkan kepimpinan ulama tetapi hendak memastikan segala kelemahan diperbaiki bagi membolehkan Pas menjadi bertambah kukuh dan kuat. Melalui pendekatan inilah yang memungkinkan dari semasa ke semasa Pas semakin mendapat sokongan rakyat termasuk di kalangan bukan Melayu.

Oleh itu, sebarang agenda puak Erdogan yang ternyata menjadi alat kepada pemimpin politik tertentu di luar Pas bukan sahaja perlu dihentikan malah dihapuskan sama sekali. Mereka ini harus ditolak secara total dalam pemilihan parti yang akan diadakan.

Tidak salah untuk ahli-ahli Pas memilih golongan profesional tetapi biarlah individu itu adalah mereka yang menyokong kepimpinan ulama bukannya hendak 'meruntuhkannya' dari dalam.

Mungkin bagi sesetengah penyokong Pas, mereka akan melihat kewujudan istilah Erdogan dalam Pas adalah usaha pihak-pihak tertentu untuk memecah belahkan Pas.

Tetapi dalam soal ini mereka perlu bersikap terbuka, percayalah selagi seseorang itu bernama orang Melayu dan Islam tanpa mengira apa juga pegangan politiknya, dia tidak akan tergamak melihat kepimpinan ulama dalam Pas runtuh akibat permainan politik kotor puak Erdogan.

Mereka yang mempunyai tafsiran salah berhubung peringatan ancaman kumpulan Erdogan ini harus mengkaji dengan mendalam bagaimana fenomena Anwarisme sedang melanda Pas.

Dalam pertemuan penulis dengan beberapa pemimpin dan penyokong kuat Pas, mereka mengakui pengaruh Anwar sudah 'mendarah daging' dalam Pas sejak 10 tahun lalu.

Golongan muda dalam Pas terutama di peringkat akar umbi yang baru berjinak-jinak dengan politik lebih menyanjungi Anwar berbanding Abdul Hadi atau Nik Abdul Aziz.

Justeru pertahankanlah kepimpinan ulama dan jangan biarkan puak Erdogan memporak-perandakkan Pas. Apa pun Pas tetap menjadi parti kedua selepas UMNO yang menjadi harapan orang Melayu.

Tindakan mereka yang terpengaruh dengan golongan Erdogan boleh mengakibatkan kata-kata seorang pemimpin kanan parti itu menjadi kenyataan.

Antaranya beliau memberi ingatan, "Saya bimbang ulama hanya dijadikan seperti penolak kereta buruk. Sewaktu kereta itu rosak dan tidak mampu dihidupkan enjinnya, maka ulama dipanggil untuk menolak kereta tersebut agar dapat membantu menghidupkan enjinnya.

"Malangnya, sebaik sahaja enjin kereta itu hidup dan dapat meneruskan perjalanan, kereta dan pemandunya terus meluncur laju ke hadapan tanpa menoleh kepada orang yang bantu menolak kereta tersebut, sebaliknya hanya ditinggalkan asap sahaja buat mereka - jauh sekali mahu mendengar ucapan terima kasih." - Jangan biarkan ini berlaku dalam Pas.
Polemik tukar agama anak

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my


Polemik yang melanda antara agama Islam dan agama lain bukan satu perkara baru. Setiap kali isu tersebut timbul, semua pihak dilihat mengambil langkah drastik dalam menyelesaikan pertikaian dan pergeseran yang berlaku demi menjamin kerukunan dan kelangsungan keharmonian bersama.

Menilai dan mempertimbangkan semua aspek semasak-masaknya sebelum menjurus kepada suatu keputusan akhir demi menangani isu yang timbul memang sangat dialu-alukan. Lebih-lebih lagi jika keputusan yang dibuat bakal merubah struktur asal yang menjadi nadi atau teras undang-undang serta kesucian Perlembagaan.

Sebagai contoh, Kabinet pada 23 April lalu telah menetapkan bahawa kanak-kanak bawah umur akan kekal menganut agama asal ketika ibu bapa berkahwin, sungguhpun selepas salah seorang pasangan itu bertindak menukar agama.

Itu antara intipati keputusan Kabinet yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada tarikh tersebut.

Sebenarnya dalam membuat sesuatu ketetapan lebih-lebih lagi jika melibatkan undang-undang, implikasi daripada keputusan tersebut perlu dikaji dari segenap sudut, sejak awal lagi.

Selama ini, kita menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang merupakan teras undang-undang tertinggi Malaysia.

Jika begitu interpretasinya maka ia juga mestilah dijunjung dan dijadikan rujukan atau kayu ukur oleh menteri-menteri Kabinet agar keputusan yang dibuat mereka tidak tersasar daripada landasan yang telah ditetapkan.

Membicarakan lebih lanjut topik tersebut, nasihat dan pendapat pakar undang-undang terutamanya para peguam tidak harus dipandang sepi. Ini kerana, berdasarkan pandangan dan pendapat mereka, barangkali segala kelemahan mampu diperbaiki.

Malah, mungkin boleh mengetengahkan syor baru yang lebih bernas demi kepentingan semua pihak.

Melihatkan pergeseran tersebut, Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berusaha mengupas keputusan tersebut dari aspek undang-undang.

''Saya tidak nampak keputusan yang dibuat Jemaah Menteri sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

"Malah, ia akan mencetuskan kontroversi yang lebih hebat dan pertikaian semasa dan agama masyarakat di negara ini.

''Keputusan tersebut perlu ditangguhkan dan dikaji semula dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan ahli akademik,'' kata Musa.

Beliau menambah kata, banyak implikasi ketidakadilan yang akan berlaku jika keputusan tersebut diteruskan. Sama ada berkaitan pembubaran perkahwinan, agama anak mahupun hak penjagaan anak.

Andainya kes berkaitan pertikaian ini didengar di Mahkamah Sivil maka undang-undang yang akan diterima pakai adalah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Seksyen 51 akta tersebut, menurut Musa, jika salah seorang pasangan terbabit memeluk agama Islam, hanya pasangan yang kekal dengan agama asal yang boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan. Iaitu selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam.

Ini bermakna selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut di Mahkamah Sivil bererti perkahwinan sivilnya bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta tersebut.

Sehubungan itu, pada pandangan Musa, adalah jelas berlaku ketidakadilan kepada pasangan yang telah memeluk Islam kerana langsung tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen perceraian seperti yang dihuraikan di bawah seksyen itu.

Kepada suami atau isteri yang telah memeluk Islam pula, hak mereka hanya diperuntukkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam.

Musa berkata, Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan asal bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu melainkan sehingga disahkan oleh Mahkamah (Syariah).

Namun timbul satu persoalan, adakah pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh disaman untuk hadir ke Mahkamah Syariah?

Walhal Seksyen 4 akta tersebut telah memperuntukkan bahawa ia terpakai untuk orang Islam semata-mata. Katakanlah Mahkamah Syariah memutuskan permohonan untuk membubarkan perkahwinan menurut Seksyen 46(2) akta tersebut dilakukan.

Namun, adakah ia diiktiraf sebagai perintah membubarkan perkahwinan asal dalam agama mereka yang dahulunya telah di daftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976?

Di sinilah timbul tanda tanya adakah benar keputusan Kabinet itu boleh menyelesaikan krisis tersebut?

''Pada pandangan saya, ia bukan menyelesaikan masalah, sebaliknya mengundang pelbagai persoalan dan merumitkan lagi keadaan. Saya berpendapat, bentuk penyelesaian terbaik adalah dengan meminda Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 tersebut dengan memasukkan peruntukan mana-mana pihak (sama ada yang memeluk Islam atau yang masih kekal dalam agama asal) boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan, sebaik-baik sahaja salah seorang pasangan memeluk Islam. Barulah ia adil kepada kedua-dua pihak,'' kata Musa.

Dalam perkara yang melibatkan agama anak pula, menurut Musa, keputusan Kabinet tersebut nyata sekali bertentangan dengan Perkara 12(3) dan 12(4) Perlembagaan Persekutuan serta kes Subashini melawan Saravanan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah tertinggi negara itu telah memutuskan bahawa salah seorang ibu atau bapa boleh menentukan keislaman anak tersebut.

Pada hemat Musa, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut juga telah menjawab percanggahan keputusan beberapa mahkamah bawahan seperti kes Chang Ah Mee dan Gengga Devi Chelliah yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak di bawah 18 tahun. Serta kes Nenduchelian di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang memutuskan hanya kebenaran salah seorang ibu atau bapa diperlukan.

''Secara tidak langsung keputusan kes ini seolah-olah telah mengambil roh tersirat dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya (parent or guardian),'' ujar beliau.

Bagi Musa sejajar dengan kehormatan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara, ia seharusnya dijunjung oleh semua menteri Kabinet.

Sekiranya kita menjunjung Perlembagaan tersebut sudah tentu kita mengakui hakikat keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah selari dengan kehendak Perlembagaan, katanya lagi.

''Saya tidak mahu berhujah mengenai hukum syarak dalam perkara ini kerana kalangan bukan Islam tidak mahu mengambil tahu atau memahami hukum syarak dan Islam.

''Sedar atau tidak, ia menyebabkan orang yang berniat masuk Islam akan berfikir banyak kali. Orang yang berniat memeluk Islam akan berada dalam keadaan serba salah kerana mereka seolah-olah diberi dua pilihan. Iaitu, masuk Islam tinggalkan anak-anak dalam agama asal.

"Atau kekal dalam agama asal bersama anak-anak. Tetapi saya melihat keputusan Kabinet tersebut memberi gambaran seolah-olah 'masuk Islam, tinggal anak'," tegas beliau.

Beliau menyatakan sebelum ini sentimen persaudaraan dilihat boleh menjejaskan niat seseorang untuk memeluk agama Islam (sebagai contoh hubungan dengan keluarga agama asal akan terjejas jika memeluk Islam).

Tetapi dengan keputusan terbaru ini jemaah menteri seakan-akan menimbulkan sentimen yang baru, iaitu membabitkan hubungan ayah atau ibu dengan anak.

Justeru, Musa amat berharap agar jemaah menteri mengkaji semula keputusan tersebut supaya tidak mencacat asas yang telah dibina sebelum ini.
Kukuhkan ikatan setia anggota sektor awam demi rakyat

BERI perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Itu amanat pertama Datuk Seri Najib Tun Razak kepada penjawat awam selepas dilantik menjadi Perdana Menteri.

Dan semalam mereka diingatkan lagi perihal tanggungjawab itu. Menurut Perdana Menteri, rakyat yang akan menjadi jurunilai prestasi penjawat awam.

Jika rakyat berpuas hati dengan kerajaan maka rakyat akan bersama-sama kerajaan. Jika sebaliknya, maka tidak mustahil penentangan secara terbuka termasuk melemahkan kerajaan sedia ada akan berlaku.

Riak-riak seperti itu telah pun wujud sebelum ini. Jika tidak ditangani segera dengan menggunakan pendekatan yang berkesan maka tidak mustahil keputusan akhirnya kelak ialah rakyat akan menjauhi kerajaan.

Sentimen rakyat membenci kerajaan itulah yang sedang dibendung supaya tidak menular. Riak-riak kecil mesti dikawal supaya tidak bertukar menjadi gelombang ganas.

Semestinya tugas tersebut terletak di bahu penjawat awam yang tugas seharian mereka adalah berurusan dengan rakyat.

Untuk membolehkan urusan 'luar' berjalan lancar maka perkara-perkara dalaman mesti diselesaikan terlebih dahulu.

Dalam hal ini, seperti yang diingatkan Perdana Menteri perlu ada persefahaman erat antara anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam. Perlu ada ikatan setia antara kedua-dua pihak supaya segala urusan di peringkat dalam dapat diselesaikan.

Dengan cara itu segala dasar yang disampaikan oleh barisan pemimpin kepada anggota pentadbiran seperti ketua-ketua jabatan dapat dipanjangkan kepada penjawat awam.

Dalam erti kata lain, gerak kerja yang dirancang untuk keberkesanan sektor awam dapat berjalan lancar dengan adanya aliran kerja yang diikat menerusi janji setia.

Paling penting adalah komitmen anggota pentadbiran menjaga kepentingan serta kebajikan penjawat awam.

Untuk itu sindrom mementingkan diri sendiri dan 'akulah bos' mesti dijauhi supaya kalangan penjawat awam ada rasa ingin setia kepada ketua jabatan masing-masing.

Jika anggota pentadbiran lepas laku dan tinggi lagaknya, maka timbul perasaan benci penjawat awam apatah lagi jika kebajikan mereka tidak dijaga.

Senario itu pasti memberi kesan kepada sistem penyampaian awam sekali gus menjejaskan kepentingan rakyat. Penjawat awam yang tidak dijaga kebajikannya akan memberontak dan melepaskan rasa marah kepada orang ramai.

Mereka juga akan mengabaikan tugas dengan membuat kerja-kerja sampingan untuk menambah pendapatan sehingga akhirnya piagam perkhidmatan terbiar begitu sahaja.

Maka apabila keadaan itu berlaku akan tercetuslah rasa tidak puas hati rakyat terhadap mutu perkhidmatan awam. Akan terdengar keluh kesah tentang layanan kurang memuaskan termasuk di kaunter-kaunter orang ramai.

Apabila rakyat yang menjadi penilai mutu kerja perkhidmatan awam tidak dilayan sedemikian rupa, sudah tentu markah yang diberi di bawah paras lulus.

Apabila keadaan itu berlaku mutu perkhidmatan awam akan kekal di takuk lama. Justeru peringatan Perdana Menteri supaya antara anggota pentadbiran dan penjawat awam perlu ada ikatan janji setia mesti dilaksanakan secara serius untuk mengangkat sektor awam ke tahap yang terbaik.
BISIK-BISIK

SEMALAM, seorang lagi wanita mangsa ragut meninggal dunia setelah koma sejak Ahad lepas. Akibat beg tangannya direntap, wanita yang sedang mengandung itu terjatuh, kepalanya tercedera lalu koma.


Kes Ahad lepas yang berlaku tidak sampai 100 meter dari rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, sebenarnya kes ragut kedua dialami ibu muda itu.

Dia diragut pertama kali pertengahan tahun lepas.

Kisah yang menyayat hati itu mengingatkan Awang kepada beberapa kes lagi seumpamanya. Sudah ramai yang menjadi mangsa ragut.

Selain barangan yang diragut, nyawa mereka gagal diselamatkan setelah beberapa lama menderita dan terlantar di katil hospital.


Bagi mangsa ragut yang terselamat, mereka biasanya sukar melupakan pengalaman ngeri itu.


Yang pasti, jenayah ragut sudah menjadi satu fenomena di negara kita sama ada di kampung atau di bandar. Walaupun kita berada di hadapan rumah sendiri, risiko ragut sentiasa ada!


Sudah tentu, mengharapkan polis semata-mata bagi membendung fenomena ini adalah sesuatu yang tidak wajar. Setiap daripada kita perlu mencari jalan mencegahnya.


Awang – Amat simpati.
Ahmad tuntut hak jawatan Anak Raja Bergelar


RAJA Ahmad Nasir Raja Abdullah Azizi menunjukkan keris pusaka yang didakwa warisan kesultanan Perak.


SETAKAT yang terakam oleh sejarah, kesultanan Melayu Perak bermula pada abad ke-15 iaitu apabila Sultan Muzaffar Shah I dimasyhurkan sebagai Sultan Perak yang pertama pada 1528.

Sultan Muzaffar Shah I merupakan putera kepada Sultan Mahmud Shah yang memerintah Melaka ketika itu dan diperkenan atas permintaan dua pembesar Perak iaitu Tun Saban dan Nakhoda Kassim.

Baginda ditabalkan sebagai Raja Perak yang pertama di Beting Beras Basah selepas terkandas dalam pelayaran menuju ke Perak.

Sepanjang lebih lima abad warisan kesultanan Perak itu berkembang, pelbagai peristiwa perselisihan dan perebutan takhta diperturunkan dari satu generasi ke generasi sama ada secara lisan atau bertulis.

Antaranya perselisihan antara Raja Bendahara Ismail dan Raja Muda Abdullah selepas kemangkatan Sultan Perak ke-24, Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah pada 1871.

Perselisihan juga berlaku dalam pelantikan Sultan Perak Ke-28 selepas kemangkatan Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah. Jika mengikut adat warisan, Raja Kulop Muhammad adalah abang yang seharusnya menaiki takhta.

Namun, kerana campur tangan daripada pihak British, Sultan Idris Murshidul 'adzam Syah sebaliknya dilantik sebagai Sultan Perak Ke-28.

Maka, di sinilah berpuncanya sumpahan tujuh keturunan dan tujuh giliran Sultan tidak boleh menjejakkan kaki ke istana.

Bagaimanapun, sumpahan itu telah berakhir kepada Raja Abdullah Azizi yang merupakan putera bongsu kepada Raja Uda Samsuddin hasil perkongsian hidup dengan Siti Aminah.

Ini bermakna, keturunan selepas Raja Abdullah Azizi iaitu generasi kelapan daripada Sultan Ahmadin Shah tidak lagi terikat dengan sumpah tujuh keturunan itu.

Kerana itu juga, anak sulung Raja Abdullah Azizi iaitu Raja Ahmad Nasir tampil menuntut untuk menyambung warisan kedudukan Raja Bergelar yang merupakan hak keturunannya.

Menurut Raja Ahmad Nasir, sejak 2004, beliau telah beberapa kali memperkenalkan diri kepada Sultan menerusi perutusan surat.

Malangnya tidak mendapat sebarang maklum balas.

Beliau juga telah menjelaskan kedudukan dengan memperkenalkan diri, warisan dan salasilah keturunan di pejabat Istana bagi dibolehkan memperguna semula nama raja di dalam kad pengenalannya.

Permohonan itu akhirnya diluluskan pada 19 Disember 2007 selepas ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada Ogos 2006.

Sejak mendapat kebenaran itu juga, Raja Ahmad Nasir kemudiannya memohon jawatan Anak Raja Bergelar di dalam negeri Perak.

Permohonan ketiga beliau dijawab oleh Toh Amar Seri DiRaja, Datuk Ayob Hashim yang menyatakan hanya warisan kanan Sultan memerintah ketika ini sahaja yang layak.

Dalam surat rayuan balas, Raja Ahmad Nasir telah meminta untuk ditunjukkan fakta Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang terbaru dan berkuat kuasa ketika ini.

Beliau juga telah mengusulkan fakta Undang-Undang Tubuh Negeri Perak 1948 berhubung larangan Sultan XXII (I).

Ia antara lain menyebut adalah diharamkan bagi raja yang memerintah mengubah kedudukan negeri Perak.

''Bagaimanapun, selepas saya membalas surat tersebut termasuk kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Negeri Perak, Datuk Shamsul Baharin pada 12 Disember 2008, tiada jawapan diberikan oleh pihak ibu pejabat Istana Iskandariah Kuala Kangsar," katanya.

Menurut Raja Ahmad Nasir, beliau tidak bermaksud untuk mencabar kedudukan Sultan Perak kerana tidak mahu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pihak istana mahupun rakyat kebanyakan.

Sebaliknya, beliau hanya menuntut hak dan keistimewaan termasuk jawatan Anak Raja Bergelar memandangkan telah dipilih dan diamanatkan oleh datuknya untuk menyandang kembali jawatan tersebut.

Raja Ahmad Nasir menambah, apa yang menjadikan beliau berhak terhadap jawatan itu ialah kerana sumpahan tujuh keturunan atau tujuh giliran Sultan itu sudah pun tamat.

Sementelah, datuk dan nenek beliau juga adalah waris Sultan Ahmadin manakala jawatan Raja Kecil Bongsu dan Raja Kecil besar masih kosong.

''Saya juga mempunyai fakta-fakta berdasarkan perundangan negeri Perak yang menunjukkan bahawa saya layak mengisi mana-mana jawatan tersebut," katanya.

Dalam mengukuhkan tuntutan beliau, Raja Ahmad Nasir turut menarik perhatian mengenai kedudukan Istana Iskandariah yang tiada berpenghuni tetap.

Difahamkan, waris sultan yang memerintah lagi berdaulat sahaja yang boleh bersemayam di Istana Iskandariah.

Sekiranya bukan warisan atau zuriat daripada keturunan Sultan Ahmadin ke-18, maka mereka tidak boleh bersemayam di istana tersebut.

Seandainya beradu, pada keesokan harinya dikatakan akan dialihkan daripada tempat peraduan.

Sultan yang bukan daripada keturunan Sultan Ahmadin juga tidak boleh melalui pintu hadapan kerana dikatakan akan ditimpa musibah.

Sesiapa sahaja daripada Sultan yang memerintah yang tidak mengikut adat dan bersekongkol dengan ahli Dewan Negara juga akan menerima musibah.

Ini kerana tanggungjawab Dewan Negara ialah memegang amanah, melaksanakan tugas dengan adil dan sebagai penasihat kepada Sultan.

Raja Ahmad Nasir menambah, Raja-Raja berperlembagaan seharusnya menjelaskan perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan, salah sangka dan perasaan sangsi di kalangan rakyat.

Kesungguhan berbuat demikian dengan sendirinya akan menimbulkan rasa hormat di kalangan masyarakat terhadap institusi raja-raja.

''Perlembagaan Kesultanan Melayu Negeri Perak adalah unik mengikut giliran tidak seperti negeri-negeri lain. Maka haram bagi Sultan mengubah akan kedudukan negeri," katanya.

Perkara tuntutan Anak Raja Bergelar ini tambah Raja Ahmad sudah dibawa ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ia juga sudah diajukan kepada pejabat Menteri Besar yang memberi jaminan untuk membawanya ke minit mesyuarat.