Separuh eksperimen berjaya diselesai

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berjaya menyelesaikan separuh daripada kajian saintifik yang perlu dijalankannya sepanjang tempoh tiga hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Beliau berkata, kajian itu dapat dijalankan walaupun menghadapi pelbagai halangan termasuk peralatan ujian yang dibekalkan Agensi Angkasa Eropah (ESA) rosak dan terpaksa memperbaikinya.

‘‘Halangan lain yang dihadapi ialah kesukaran untuk bergerak dan saya juga menghadapi pengalaman tidak dapat dilupakan apabila tidur di tempat lain tetapi apabila bangun mendapati diri saya berada di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi telepersidangan selama 10 minit dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis yang berada di Pusat Penyiaran Asia (Astro), Bukit Jalil di sini malam ini.

Telepersidangan pada pukul 8.50 malam itu dapat diadakan dengan jayanya setelah percubaan pertama sesi telepersidangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam terpaksa dibatalkan berikutan cuaca buruk dan terpaksa diadakan semula esok.

Eksperimen yang perlu dijalankan oleh Sheikh Muszaphar membabitkan kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi kemungkinan mencari penawar HIV/AIDS.

Dalam pada itu, Sheikh Muszaphar memberitahu, beliau telah menghidangkan makanan Malaysia kepada semua angkasawan lain yang berminat dengan makanan tidak pedas seperti gegulung pisang dan hirisan mangga kering.

Katanya, angkasawan lain juga memuji baju batik yang dipakainya semalam yang disifatkan mereka sebagai sangat cantik.

Dalam pada itu, menceritakan pengalamannya ketika berlepas, beliau berkata, lapan minit pertama sebelum roket memasuki orbit dirasakan sebagai tempoh yang paling panjang dalam hidupnya dan selepas itu merasa lega kerana dirinya mula terapung.

Katanya, ketika pertama kali melihat bumi dari angkasa lepas jantungnya seolah berhenti berdegup dan matanya juga tidak berkelip kerana kagum dengan keagungan ciptaan Allah.

Sementara itu awal pagi ini seramai 20 orang pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Vivekananda, Jalan Vivekananda dekat Brickfields, turut berpeluang berkomunikasi dengan Sheikh Muszaphar menerusi radio amatur.

0 comments: