Dua pegawai Jabatan Laut digantung kerja serta merta

PUTRAJAYA 16 Okt. - Dua pegawai Jabatan Laut Semenanjung Malaysia berpengkalan di jeti Mersing, Johor, yang bertugas pada hari tragedi kebakaran feri Seagull Express berhampiran Pulau Tioman pada Sabut lepas, telah digantung kerja serta merta bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chang Kong Choy berkata, penggantungan kerja dua pegawai yang berpangkat Merinyu Kapal itu dibuat bagi membolehkan siasatan terperinci mengenai tragedi kebakaran feri terbabit dijalankan.

``Dalam masa yang sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari diarahkan untuk mengetuai satu jawatankuasa bagi menyiasat tentang kemungkinan wujud kecuaian dan kelalaian di kalangan pegawai serta anggota Jabatan Laut Semenanjung berpengkalan di jeti Mersing yang lain berhubung kejadian itu.

``Jawatankuasa tersebut akan menyerahkan hasil siasatan kepada kementerian untuk tindakan selanjutnya terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati cuai atau lalai menjalankan tugas yang diberikan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Tragedi kebakaran feri Seagull Express berhampiran perairan Pulau Tioman yang mengorbankan empat penumpang dan mengakibatkan kesemua 103 penumpang terjun ke laut menyelamatkan diri pada pukul 12.30 tengah hari Sabtu lepas.

Dalam kejadian tersebut, ramai penumpang terbabit terjun ke laut tanpa diberi jaket keselamatan sebaik sahaja enjin feri itu mengeluarkan asap tebal.

Tragedi yang berlaku kira-kira 11 kilometer dari Pulau Tioman itu mengakibatkan tiga lagi penumpang yang terjun ke laut hilang dan masih belum ditemui sehingga petang ini.

Kong Choy turut mengalu-alukan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat mana-mana pegawai atau anggota Jabatan Laut berpengkalan di jeti Mersing itu berhubung kejadian itu.

``Kementerian tidak ada halangan jika BPR berpendapat ada keperluan untuk turut sama menyiasat kejadian itu,'' katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pengusaha feri Seagull Express itu tidak memperbaharui lesen bot dan juga Sijil Penumpang yang masing-masing tamat tempoh pada 16 Mac 2006 dan 18 Mac 2005.

``Bagi lesen bot, pengusaha feri tidak pernah memohon untuk memperbaharuinya manakala bagi Sijil Penumpang yang diwajibkan bagi feri atau bot yang membawa penumpang melebihi 12 orang itu telah ditolak kerana gagal mematuhi syarat, khususnya yang berkaitan dengan keselamatan penumpang,'' katanya.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Jabatan Laut Semenanjung Malaysia, Datuk Kapten Ahmad Othman akan mengetuai satu jawatankuasa untuk menyiasat tragedi kebakaran feri Seagull Express itu.

``Jawatankuasa itu diberikan masa hingga hujung bulan ini untuk menyerahkan hasil siasatan mereka itu kepada kerajaan sebelum dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan undang-undang,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai tindakan undang-undang yang akan diambil ke atas pengusaha feri berkenaan jika didapati bersalah.

``Kita tunggu dulu hasil siasatan jawatankuasa itu siap sebelum membuat sebarang ulasan lanjut,'' katanya.-Utusan

0 comments: