Kapten terjun dulu selamatkan diri?

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Adakah kapten feri yang terbakar dan karam berhampiran perairan Pulau Tioman, Sabtu lepas adalah orang pertama terjun ke laut?. Itulah antara persoalan yang hendak dipastikan oleh polis semasa menyoal siasat lanjut kapten feri Seagull Express.

Polis berkata, nakhoda memberi keterangan mengenai insiden itu tetapi mereka ingin menyoal siasat beliau untuk mencari punca kejadian yang menyebabkan kebakaran sehingga meragut nyawa empat penumpang, empat cedera parah dan tiga hilang.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Abdullah Sani Salat berharap soal siasat berkenaan dapat menjelaskan bagaimana kebakaran itu berlaku sehingga menyebabkan kejadian tragik itu.

“Maklumat yang diperoleh daripada kapten itu penting bagi polis kerana beliau merupakan orang yang pertama tahu punca yang menyebabkan kebakaran.

“Kami juga akan berhubung dengan pengendali feri (Seagull Express and Accomodation Sdn. Bhd.) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia sebagai sebahagian siasatan kami.

“Tumpuan utama kami sekarang, bagaimanapun, adalah operasi gerakan mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari mereka yang hilang, sudah masuk hari ketiga hari ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendakwaan terhadap Seagull Express akan dilaksanakan Jabatan Laut Johor memandangkan syarikat itu berpangkalan di Mersing.

Beliau berkata, pihaknya cuma bertanggungjawab mencari mangsa berikutan tragedi itu berlaku di kawasan Rompin.

“Kita tidak bertanggungjawab dalam soal pendakwaan ke atas syarikat feri berkenaan kerana tugas itu di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Johor,” katanya.

Sementara itu, kapten feri, Wan Fahrorozi Wan Naman menafikan dakwaan penumpang bahawa beliau bersama dua krew bertindak terjun menyelamatkan diri dan tidak berusaha menyelamatkan penumpang ketika feri terbakar.

Wan Fahrorozi, 34, ketika ditemui berkata beliau bersama dua krew yang lain, Abi Mustapha, 30-an dan Mohd. Fazli Mohamad, 30-an sebaliknya cuba memadam api selepas menyedari berlaku kebakaran.

“Mana boleh kami terjun? Kami sedar tanggungjawab kami. Kalau kami tinggalkan feri, sudah tentu ramai mangsa gagal diselamatkan.

Sebenarnya, saya sendiri terus mengambil alat pemadam api selepas menyedari berlaku kebakaran. Pada masa yang sama menjerit memberi amaran kepada penumpang dan melemparkan jaket keselamatan,” katanya kepada pemberita di Jeti Mersing, di sini, hari ini.

Wan Fahrorozi berkata, beliau juga sempat menghubungi kapten Feri Jentayu yang berada dalam kedudukan 15 minit dari Seagull Express untuk mendapatkan bantuan kecemasan sebelum bertindak memecahkan cermin tingkap feri selepas menyedari asap memenuhi ruang kabin feri.

“Saya dan dua krew adalah orang terakhir meninggalkan feri sebelum diselamatkan feri Jentayu. Saya juga cuba membuka bot kecemasan (life craft). Bagaimanapun, tidak sempat kerana api sudah merebak,” katanya.

Wan Fahrorozi berkata, dia sendiri luka dan melecur di kedua-dua tapak tangan dan kejadian berkenaan merupakan pengalaman pertama dialaminya sejak menjadi kapten 15 tahun lepas.

“Kejadian ini bagaimanapun tidak melemahkan semangat saya untuk meneruskan pekerjaan ini. Cuma saya akan lebih berhati-hati di masa depan,” katanya.

Sementara itu, Kapten Feri Jentayu Express, Faizal Akhbar, 23, berkata beliau yang menerima panggilan kecemasan daripada Seagull Express terus menghubungi Pusat Kawalan di Jeti Mersing bagi meminta bantuan sebelum menyelamatkan mangsa-mangsa.

“Saya terus membuka bot kecemasan dan bot itu mampu memuatkan kira-kira 30 mangsa sebelum mereka dinaikkan ke Jentayu,” katanya.

Dalam kejadian itu, feri Seagull Express yang membawa 106 orang termasuk anak kapal, terbakar kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman, berdekatan dengan Pulau Tokong Bahara, pada pukul 12.30 tengah hari Hari Raya pertama.

Mereka yang maut ialah Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur, Hong See Tiew, 53, dan Teh Siew Lian, 52, kedua-duanya dari Klang dan Tee Moi@Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Mangsa yang cedera pula ialah Ngow Lee Ling dari Batu Pahat, Lee Zsi Winn dari Johor Baharu dan Yong Sait Yoon dari Kuala Lumpur.

Operasi mencari diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa iaitu Choong Yoong Kim, 43, Wong Soong Leng, 37, kedua-duanya dari Petaling Jaya dan seorang penyelia kilang dari Klang, Wong Hann Wen, 29, yang hilang dalam kejadian itu.

– Bernama

0 comments: