Kejadian bagai adegan Titanic: Mangsa

Oleh Sariha Mohd Ali

KUANTAN: "Ia bagaikan adegan filem Titanic. Saya tidak akan lupa apa yang berlaku di depan mata dan perasaan terkilan ini akan terus ada dalam diri kerana gagal membantu ibu yang sedang terkapai-kapai meminta tolong selepas terjun dari feri Seagull Express yang terbakar.

"Saya cuba membantu ibu tetapi gagal kerana ketika itu, saya yang juga terjun dari feri, sedang berusaha menyelamatkan anak perempuan berusia tiga tahun yang saya pegang," kata ahli perniagaan, Ee Kian Yen, 39.

Dalam kejadian jam 1.30 petang Sabtu lalu, feri Seagull Express yang dalam perjalanan dari jeti Mersing ke Pulau Tioman, terbakar dan tenggelam hingga mengorbankan empat pelancong termasuk ibu Kian Yen, Hou Lee Lan, 68.


Kian Yen berkata, pengorbanan ibunya yang turut membantu menyelamatkan anak lelakinya berusia 11 tahun dengan memegang tangan cucunya supaya berpaut pada pelampung, adalah bukti kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

"Ibu sanggup menarik tangan anak lelaki saya supaya berpaut pada pelampung supaya tidak tenggelam tetapi pada masa sama, saya lihat ibu terus terkapai-kapai dan hilang.

"Saya hanya mampu melihat kejadian itu dengan linangan air mata kerana saya turut berusaha menyelamatkan nyawa anak perempuan saya yang masih kecil ini.


"Ibu memakai jaket keselamatan tetapi tercabut ketika dia terjun kerana tidak diikat akibat talinya rosak," katanya ketika ditemui di rumah kakaknya, Ee Sui Ping, 43, di Air Putih di sini, petang semalam.

Mengimbas semula kejadian itu, Kian Yen yang tinggal bersama ibunya di Bandar Sunway, Petaling Jaya, berkata mereka bersama enam keluarga mengambil pakej percutian ke Pulau Tioman sempena cuti Aidilfitri.

"Kami bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 4.30 pagi sebelum tiba di Jeti Mersing, jam 9.30 pagi.

"Feri memulakan perjalanan ke Tioman pada jam 10.55 pagi tetapi saya hairan kerana ia bergerak perlahan dan sering dipintas feri lain.

�Secara tiba-tiba, saya dengar bunyi bising dan apabila menoleh ke belakang, saya lihat asap tebal diikuti api dan ketika itu, penumpang mula panik dan terjun ke laut," katanya.

0 comments: