Muszaphar rakam cara solat di ISS

Angkasawan laku ibadat ikut panduan Jakim

MOSCOW: Angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha malam tadi mula merakamkan cara beliau beribadat di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) mengikut panduan pelaksanaan ibadat di angkasa lepas yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, berkata dalam rakaman video itu, Sheikh Muszaphar menunjukkan cara beliau mengambil wuduk secara bertayamum dan kemudian bersolat dalam ISS.


"Proses ini bukan mudah, tetapi beliau tetap melakukannya untuk berkongsi dengan semua rakyat," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jakim sebelum ini menerbitkan panduan mengerjakan ibadat dalam keadaan yang sukar di angkasa lepas.

ISS mengelilingi bumi 16 kali sehari yang mana ia berkehendakkan angkasawan mengerjakan 80 waktu solat sehari, tetapi sejajar dengan rukhsah (kemudahan) yang dibolehkan dalam Islam, angkasawan disaran menentukan waktu solat berdasarkan tempat berlepas iaitu Baikonur, Kazakhstan.


Mengikut panduan Jakim, antara cara yang boleh dilakukan untuk bersolat ialah mengikat tubuh pada bahagian tertentu kapal angkasa dan dalam keadaan statik itu angkasawan boleh bersolat.

Berikutan ketiadaan debu dalam ISS untuk bertayamum, angkasawan dibolehkan menepuk dinding, kerusi atau cermin dalam kapal angkasa, sementara untuk istinjak membersihkan hadas besar atau kecil dilakukan dengan menggunakan kertas tisu kering yang dibekalkan di ISS.

Selain beribadat, Dr Zulkeffeli berkata, angkasawan pertama negara juga perlu melaksanakan beberapa aktiviti sampingan lain yang juga penting. Ini termasuk, aktiviti simbolik sebagai tanda kenang-kenangan untuk diingati seluruh rakyat pada masa depan bahawa rakyat Malaysia sudah berada di ISS.

Katanya, antara yang perlu dilakukan Sheikh Muszaphar ialah mengambil video ikrar Rukun Negara yang dibacakannya di ISS. Skrol Rukun Negara itu kemudian akan dicap dengan tanda ISS, begitu juga dengan barangan simbolik lain seperti Jalur Gemilang, sampul surat dan lencana khas Program Angkasawan Negara.

"Semuanya akan dicap dengan mohor khas ISS. Semua barang kenangan berkenaan kemudian akan dipamerkan untuk tontonan umum di Planetarium Negara dan ia akan menjadi bukti bahawa kita (Malaysia) sudah ke sebuah stesen di angkasa lepas," katanya.

Jadual aktiviti angkasawan negara di ISS juga turut disibukkan lagi dengan perhubungan radio amatur dengan beberapa lokasi di Malaysia, termasuk dengan sekumpulan kakitangan dan pelajar di Planetarium Negara malam tadi.

Sheikh Muszaphar juga perlu melengkapkan beberapa soalan kaji selidik yang dibekalkan Agensi Angkasa Eropah (ESA) berhubung keadaan kesihatan beliau di ISS membabitkan komposisi tulang terutama bahagian belakang.

Sementara itu, gasing, sejenis alat permainan tradisional popular di Malaysia, semalam berputar ligat di ISS, secara simboliknya menggambarkan aspirasi rakyat yang tiada hentinya meneroka segenap kemungkinan untuk menjadi bangsa maju.

Permainan gasing di angkasa lepas adalah sebahagian daripada kajian fizik dikenali Platform Orbit Berputaran (TOP) yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran bagi mendedahkannya kepada murid sekolah rendah terutama mengenai konsep kelajuan di angkasa bebas graviti.

Kajian mengenai gasing adalah sebahagian daripada pelbagai kegiatan uji kaji yang perlu dijalankan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar sepanjang 10 hari di ISS.

0 comments: