Mencari paru-paru untuk Siti Salmah

Oleh SOPI SAMAILE


Siti Salmah Jasni.

JOHOR BAHRU 15 Okt. – Bagi Siti Salmah Jasni, 18, tiada apa yang lebih penting dalam hidupnya sekarang selain mendapatkan paru-paru baru bagi membolehkannya menjalani kehidupan yang normal seperti remaja lain.

Gadis itu yang berada dalam senarai pesakit yang mendaftar untuk pemindahan paru-paru sejak tahun 2005 memerlukan organ itu daripada penderma kerana menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari yang tidak dapat disembuhkan.

Penyakit itu mengakibatkan tekanan darah dalam paru-parunya terlalu tinggi hingga menyebabkan badannya sering letih dan mengalami kesukaran bernafas.

Keadaan itu akan memberi kesan buruk kepada jantungnya dan boleh meragut nyawa Siti Salmah pada bila-bila masa.

Penyakit Hipertensi Pulmonari yang dihidapi Siti Salmah kini berada pada tahap empat yang memaksanya bergantung kepada tangki oksigen bagi membolehkan dia menjalani kehidupan seharian.

Dari segi perubatan, tiada ubat bagi penyakit itu selain mendapatkan paru-paru baru.

Ketika wartawan Utusan Malaysia melawatnya di Kulai baru-baru ini, Siti Salmah memberitahu, dia masih boleh meneruskan kehidupan dengan bantuan tangki oksigen, namun kesihatannya tetap terancam.

Pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai dekat sini itu telah lima tahun menunggu, namun dia masih menaruh harapan akan memperoleh penderma tidak lama lagi.

Malah kejayaan Tee Hui Yee mendapat jantung baru melalui dua pembedahan pemindahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini turut memberi harapan kepada Siti Salmah untuk menanti paru-paru daripada penderma.

Dia masih tidak mahu mengalah.

Bantuan pernafasan dari tangki oksigen tidak menghalang remaja itu daripada terus mengikuti sesi persekolahan. Pada bulan Ramadan lalu, gadis itu juga menunaikan tanggungjawabnya berpuasa.

Tetapi apabila ditanya mengenai harapan dan cita-citanya, Siti Salmah menundukkan kepala seketika. Katanya, sukar untuk dia memberikan jawapan kepada soalan itu.

“Saya tak terfikir pun mengenai cita-cita. Sebab saya tidak tahu bila saya boleh sembuh dan berupaya melakukan apa yang saya inginkan,” katanya dalam nada perlahan.

Walaupun begitu, Siti Salmah masih menyimpan harapan untuk meneruskan pelajaran ke peringkat universiti sekiranya meraih keputusan yang cemerlang pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Dia berharap akan ada individu yang akan mendermakan paru-paru untuknya dalam tempoh terdekat ini memandangkan sudah ramai rakyat Malaysia mendaftar sebagai penderma organ selepas bersimpati dengan apa yang dilalui oleh Hui Yee.

Keletihan

Sementara itu, ibunya, Sabariah Mustaffa, 49, berkata, disebabkan penyakit Hipertensi Pulmonari, anaknya sentiasa keletihan malah kadangkala tidak mampu untuk berjalan.

“Pada masa ini Siti Salmah masih bertahan memandangkan beliau dibekalkan ubat oleh IJN dan Institut Perubatan Respiratori (IPR).

“Selain itu, Siti Salmah juga menggunakan empat tangki oksigen yang berfungsi selama enam jam setiap satu bagi kegunaannya berjalan-jalan dan ketika tidur,” katanya.

Sabariah berkata, Siti Salmah yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik adalah seorang pelajar periang serta pandai dalam pelajaran.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini dia seolah-olah kehilangan semangat dan keputusan pelajarannya mulai merosot kerana dia kerap terpaksa ponteng kelas apabila diserang penyakit itu.

Bapanya, Jasni Zainal, 52, pula berharap akan ada penderma yang boleh mengakhiri penantian bagi menyembuhkan penyakit anaknya itu.

Lebih-lebih lagi beliau sekeluarga kurang berkemampuan untuk menyara perbelanjaan ulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan ubat serta rawatan untuk Siti Salmah.

“Saya bekerja sebagai pemandu lori. Walaupun perbelanjaan lain seperti ubat-ubatan dan rawatan ditanggung oleh kerajaan, namun kos untuk berulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur setiap bulan amat berat untuk ditanggung,” katanya.


0 comments: