Syor 10 Oktober Hari Angkasa Negara

KUALA LUMPUR: Angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha semakin yakin untuk menyelesaikan misi negara, selepas mendapat kepercayaan dan kerjasama penuh daripada lima krew lain di Stesen Antarabangsa Angkasa (ISS), sejak Jumaat lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata Dr Sheikh Muszaphar cepat menyesuaikan diri dan mudah berinteraksi dengan rakan di ISS, seterusnya membentuk satu kerjasama padu sesama mereka.

"Ini satu petanda baik dan beliau dapat menyesuaikan diri dengan semua krew ISS dan ini menjadi kebanggaan kita kerana pertama kali negara menghantar wakil sudah boleh berinteraksi dengan berkesan dalam suasana baru.


"Beliau juga dihormati rakan lain dan kita lihat ini daripada persefahaman dan kerjasama yang ditunjukkan mereka. Ini memudahkan beliau melaksanakan tugas mengikut jadual ditetapkan," katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sidang video khas dengan angkasawan itu yang disiarkan secara langsung selama 15 minit di saluran 588 Astro.

Dr Sheikh Muszaphar bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko dari Russia berada di ISS selama 10 hari.


Sepanjang tempoh itu, beliau mengadakan tiga uji kaji membabitkan tiga komponen penting, iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa serta pengkristalan protein sebelum pulang ke bumi 21 Oktober ini.

Mengulas lanjut perbualannya dengan angkasawan pertama negara itu, Jamaludin turut diberitahu bahawa Dr Sheikh Muszaphar juga diberi tanggungjawab untuk membaiki alat kajian milik Agensi Angkasa Eropah.

Dalam perkembangan lain, Jamaludin berkata, beliau akan mencadangkan Kabinet supaya tarikh 10 Oktober dijadikan Hari Angkasa Negara, untuk kepentingan generasi muda masa depan.

"Ini bagi membolehkan generasi muda datang dan melihat sendiri sejarah yang kita cipta menerusi video, model kapal angkasa Soyuz 15-S dan perkara berkaitan pelancarannya. Kita juga akan adakan pameran bergerak untuk menjadi tarikan kepada anak muda di luar daerah," katanya.

0 comments: