Isu soalan UPSR bocor, Hishamuddin tak boleh cuci tangan!

Bapa Prihatin
Tue | Oct 16, 07 | 10:23:44 pm MYT

Dalam banyak isu sama ada isu Melayu, isu buli, isu disiplin, isu bendera dibakar dan sebagainya, bahasa standard yang terpancur keluar dari mulut Hishamudin ialah “kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak…”

Tetapi anehnya apabila isu soalan UPSR bocor, yang menjadi tanggungjawab kementerianya, Hishamudin boleh dengan mudah berkompromi dengan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab memelihara amanah tersebut.

Banyak isu lain yang dijawabnya dengan lantang bahawa “kita tidak akan berkompromi…” tetapi menyentuh isu besar melibatkan kredibiliti dan integriti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), dengan mudah sahaja Hishamudin mengatakan tiada kebocoran pada soalan UPSR lepas.

Tanyalah kepada sesiapa sahaja, sama ada guru, pelajar dan ibubapa, semuanya resah dan kesal dengan apa yang berlaku dan yakin bahawa soalan UPSR telah bocor dan tersebar secara meluas dan terbuka.

Apabila disebut supaya pihak yang mendakwa mengemukakan bukti, kita dapat mengagak bahawa tiada seorang pun guru sanggup ke depan mengemukakan bukti walaupun mereka tahu maklumat soalan yang mereka perolehi 100 peratus tepat seperti mana soalan sebenar UPSR.

Hishamudin sebagai menteri bertanggungjawab sepatutnya cepat bertindak menubuhkan satu jawatankuasa bertindak peringkat kementerian bagi menyiasat bagaimana soalan-soalan tersebut (untuk semua kertas subjektif, yakni bukan objektif) boleh bocor dan tersebar dengan begitu meluas, dan bukannya dengan mengambil jalan mudah, iaitu hanya meminta supaya publik mengemukakan bukti.

Tindakan serius perlu diambil dan kalau tiada kepakaran di kementerian, Hishamuddin boleh memanggil pihak polis suapaya membantu pennyiasatan. Kalau didapati ada kelemahan dan pecah amanah berlaku, tindakan tegas perlu diambil supaya perkara seumpama ini tidak akan berulang untuk tahun ke-4 (2008) dan apatah lagi tahun depan peperiksaan UPSR bagi subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dan akan menjadi kayu pengukur keberkesan program tersebut.

Kes kebocoran soalan UPSR ini sebenarnya sudah berlaku sejak Hishamuddin dilantik Menteri Pelajaran lebih tiga tahun lalu. Cuma, kebocoran tahun ini lebih menjolok mata dan disebarkan secara menyeluruh.

Kita nak tengok, selepas kerajaan telah mengorbankan kepentingan bahasa Melayu dalam pembelajaran, apakah hasilnya yang boleh dibanggakan tahun hadapan? Atau isu kebocoran ini telah termasuk dalam perancangan jangka panjang supaya KPM dapat membuktikan bahawa prestasi pelajar terus meningkat walaupun pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris!

Sebagai seorang bapa, sebagai warga yang merdeka, kita perlu membina bangsa dan negara ini dengan penuh amanah dan keikhlasan. Umpamanya, seorang guru yang mengajar kelas anaknya sendiri dan bagi memastikan anaknya dapat kedudukan terbaik dalam peperiksaan, guru tersebut bertindak memberi soalan dan jawapan setiap kali peperiksaan atau ujian.

Kalau tanya Hishamudin, apakah wajar tindakan guru tersebut, sudah pasti Hishamudin akan menjawab bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang bertindak sedemikian rupa, tetapi apabila kementerian sendiri secara tidak serius membiarkan peperiksaan UPSR ini dengan polemik kebocoran secara berterusan, maka kita boleh mengandaikan bahawa sama sahaja tindakan Kementerian Pelajaran dengan sikap guru yang diperkatakan tadi.

Bagaimana agaknya kalau berlaku kebocoran pada peperiksaan SPM dan STPM, apakah universiti luar negara mahu menerima pelajar “bocor” dari Malaysia ini untuk belajar di tempat mereka?

Mana dia suara lantang GPMS, mengapa membisu seribu bahasa dalam hal kritikal ini, tetapi hanya sibuk dengan politik dalaman dan bersaing untuk lebih dekat dengan elit kuasa?

Majlis Permuafakatan PIBG Nasional pula jangan hanya sekadar buat kenyataan akhbar sahaja; ia mesti bertindak lebih serius lagi, umpamanya seluruh kepimpinan mengadap menteri menggesa agar dibersihkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Jangan kompromi lagi dengan perkara yang menjatuhkan maruah negara. Begitu juga pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan dengan pendidikan, semua harus bersuara lebih serius kerana isu kebocoran ini memalukan negara yang sudah 50 tahun merdeka, seolah-olah kita masih tidak pandai mengurus walaupun dalam hal-hal yang begitu mudah.

Kepada Hishamudin, keris yang kamu selalu hunus itu sebenarnya tidak cukup untuk memberi kekuatan kepada kamu untuk memimpin satu kementerian yang amat penting dalam membina masa depan negara ini. Kalau isu yang besar dan mudah untuk diselesaikan ini pun kamu gagal, sebenarnya ia bermakna kamu sudah tidak layak duduk di situ.

Maaf, sekali lagi Hishamudin, sebenarnya memang kamu tidak layak menjadi Menteri Pelajaran Malaysia. - www.detikdaily.net

0 comments: