Seagull Express nafi tiada permit, jaket keselamatan

Oleh Mohd Zin Ali

Pengurusan dakwa feri ke Pulau Tioman beroperasi secara sah

MERSING: Pengurusan Seagull Express semalam menafikan dakwaan bahawa ferinya yang terbakar dan karam dalam kejadian berhampiran Pulau Tioman, Pahang Sabtu lalu, beroperasi tanpa permit dan tidak mempunyai jaket keselamatan mencukupi.

Pengarahnya, Liew Ah Hua, berkata semua feri milik syarikatnya mempunyai lesen dan permit yang sah untuk menyediakan perkhidmatan penumpang ke Pulau Tioman dan pulau peranginan lain di negeri ini.


Beliau yang mendakwa kejadian feri terbakar itu adalah kali pertama terjadi kepada syarikatnya juga menafikan ia membawa muatan berlebihan.

Katanya, pihaknya hanya membawa kira-kira 100 penumpang pada hari berkenaan walaupun kapasiti feri ialah 120 penumpang.

"Dakwaan bahawa jaket keselamatan tidak mencukupi juga tidak berasas kerana kami menempatkan 150 jaket keselamatan di ruangan atas pada kiri dan kanan kabin. Selain itu, kami juga memiliki dua bot penyelamat yang ditempatkan di belakang feri.


"Kapten feri juga sudah membuat pengumuman untuk mengarahkan semua penumpang mendapat dan memakai jaket keselamatan tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana terlalu panik apabila melihat asap tebal memasuki ruang kabin," katanya di sini, semalam.

Liew berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian feri Seagull Express yang terbakar dan tenggelam, tujuh batu nautika dari Pulau Tioman, selepas meninggalkan Mersing dengan membawa 103 penumpang, tengah hari Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, seramai empat penumpang mati, manakala tiga lagi hilang selepas feri yang dipercayai mengalami masalah enjin, terbakar dan tenggelam.

Sementara itu, kapten feri berkenaan, Wan Fahrorozi Wan Naman, berkata beliau kecewa melihat laporan akhbar yang mendakwa dirinya adalah antara beberapa orang yang terjun awal ke laut untuk menyelamatkan diri tanpa menghiraukan keselamatan penumpang.

"Sebenarnya, saya orang terakhir terjun ke laut! Saya terpaksa bergegas ke belakang kapal untuk melepaskan dua bot penyelamat ke dalam air. Bagaimanapun, api cepat marak menyebabkan saya gagal melepaskan bot penyelamat berkenaan," katanya.

Wan Fahrorozi yang berpengalaman sebagai kapten selama 12 tahun dan berkhidmat di syarikat berkenaan sejak setahun lalu berkata, beliau akan memastikan enjin dalam keadaan baik sebelum berlepas dan memeriksa enjin setiap 15 minit ketika berlepas.

Selain itu, Liew berkata, syarikatnya turut menyediakan bantuan kepada semua mangsa dan keluarga yang terbabit dalam kejadian itu seperti menyediakan bot untuk menghantar mangsa yang cedera ke hospital serta membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Ini adalah tragedi yang sesiapa pun tidak inginkan. Saya turut merasakan kesedihan yang ditanggung keluarga mangsa," katanya.

0 comments: