Kajian Platform Orbit Berpusing

MOSCOW 15 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor hari ini menjalankan penyelidikan saintifik dinamakan Twisting Orbital Platform (TOP) atau Platform Orbit Berpusing yang boleh dijadikan bahan berguna untuk pengajaran subjek Fizik kepada pelajar sekolah menengah.

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, kajian mengenai TOP di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akan dirakamkan sendiri oleh Sheikh Muszaphar untuk dipertontonkan kepada pelajar di Malaysia sekembalinya beliau dari angkasa nanti.

Menurutnya, kaedah penyelidikan tersebut dilakukan hasil kerjasama Kementerian Pelajaran. Ia mengkaji sifat putaran gasing dalam keadaan mikrograviti.

‘‘Gasing tersebut menyamai gasing yang selalu dimainkan oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Namun untuk kajian di ISS, ia diperbuat daripada aluminium.

‘‘Hasil kajian tersebut akan digunakan untuk pembelajaran pelajar di sekolah nanti,” katanya pada sidang akhbar di sini pagi ini.

Sheikh Muszaphar mengharumkan nama negara apabila menjadi angkasawan pertama Malaysia yang berjaya menerokai angkasa dan sampai ke ISS yang terletak lebih 300 kilometer dari Bumi.

Ditanya mengenai kajian makanan bercirikan Malaysia yang dihidangkan di ISS semalam, Zulkeffeli menjelaskan semua angkasawan di ISS telah merasai makanan tersebut termasuk Sheikh Muszaphar sendiri.

‘‘Sheikh Muszaphar memberitahu antara makanan yang digemari oleh angkasawan lain di ISS ialah rendang daging dan sate ayam.

‘‘Penilaian yang dilakukan oleh beliau terhadap makanan terbabit adalah sama dengan apa yang dirasainya semasa menikmati hidangan itu di Bumi,” ujarnya.

Makanan bercirikan Malaysia yang dibawa ke ISS ialah sate ayam, rendang daging, nasi himpit beriani, gegulung pisang, hirisan mangga kering, jeli halia, granola bar daripada roselle, kuih bangkit dan cip tempe.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah meminta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian mengenai makanan tempatan yang sesuai untuk dinikmati di angkasa lepas

– Utusan

0 comments: