Tiga mangsa masih hilang

KUANTAN 15 Okt. – Pasukan mencari tiga mangsa yang masih hilang dalam tragedi kebakaran feri Seagull Express menjumpai satu jaket keselamatan berwarna oren yang mungkin dapat membantu operasi mengesan di mana lokasi sebenar mangsa-mangsa terbabit berada.

Ketua Penguatkuasa Daerah Kuantan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Tan Kok Kwee berkata, pihaknya telah pun mendapatkan pengesahan daripada syarikat feri berkenaan yang mengesahkan bahawa jaket tersebut milik mereka.

“Krew Kapal Maritim (KM) Sipadan yang melaksanakan tugas mencari di sektor c telah terjumpa satu jaket keselamatan berwarna oren dengan perkataan seahawk/ztdc tercatit di atasnya di lokasi antara Pulau Tokong Bahara dan Pulau Jahat kira-kira pukul 2.30 petang tadi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Kok Kwee, jaket itu ditemui setelah operasi mencari dan menyelamat hari ini diperluaskan kepada empat sektor berpusat dari kawasan kejadian berbanding tiga sektor semalam.

Jelas beliau, kawasan mencari mangsa-mangsa yang hilang membabitkan keluasan lapan batu nautika di mana usaha tersebut turut disertai oleh pasukan menyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Penemuan jaket itu sekurang-kurangnya memberi petunjuk baru kepada anggota saya bagi mengesan mangsa memandangkan keadaan laut yang bergelora sehingga menyukarkan pasukan menyelamat untuk melaksanakan tugas,” ujarnya.

Beliau memberitahu, usaha operasi mencari dan menyelamat yang kini masuk hari kedua telah ditingkatkan dengan penambahan kapal daripada enam buah kepada 12 buah kapal daripada empat agensi iaitu tiga buah dari APMM, lima dari polis, dua dari TLDM dan dua lagi dari pasukan Bomba dan Penyelamat.

“Antara aset yang terlibat dalam operasi ini ialah dari APMM, KM Sipadan dan Bot Pelindung 3 manakala dari Polis Marin PA24 dan PGR 26.

“Sementara itu, kapal terbang Cessna 208 dari Unit Udara Polis turut digunakan selain bot CB 90 dan juga pasukan penyelam dari TLDM,” tambahnya.

0 comments: