NUTP dedah guru sebar fahaman Aurad Muhammadiah

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan ada guru termasuk Penolong Kanan cuba menghidupkan semula fahaman Aurad Muhammadiah yang diasaskan Ashaari Muhammad. bekas pemimpin al-Arqam yang diharamkan,

NUTP mendakwa majoriti guru terbabit adalah bekas ahli al-Arqam sebelum diisytiharkan sebagai haram pada 1994 dan menggunakan profesyen perguruan bagi menghidupkan ajaran berkenaan.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata guru terbabit masih mengagungkan Ashaari sebagai pemimpin dan berpegang kepada fahaman dan amalan Aurad Muhammadiah serta berselindung di sebalik kerjaya guru bagi mengaburi mata masyarakat.


Katanya, beliau mendapat maklumat itu melalui ahlinya di Terengganu dan hasil siasatan mengesahkan memang ada guru di negeri itu yang masih berpegang kepada ajaran berkenaan.

“Walaupun setakat ini kes hanya dicatatkan di Terengganu, saya tidak menolak kemungkinan cubaan menghidupkan semula ajaran itu dilakukan di negeri lain dan kami sedang mengumpul maklumat.

“Kita akan lakukan siasatan hingga ke akar umbi bagi memastikan tiada penipuan menggunakan profesyen perguruan dan sekolah bebas daripada ajaran sesat,” katanya kepada Berita Minggu.


Beliau mendedahkan perkara itu selepas laporan media mengenai kes seorang murid Tahun Enam di Klang, Selangor disuruh ibu bapanya menyiapkan karangan berkaitan keagungan Ashaari dan menggambarkan pemimpin al-Arqam itu sebagai tuhan kedua.

Anuar berkata, beliau pernah dicabar guru berkenaan untuk membuktikan ajaran Ashaari sesat termasuk memberikan buku Ashaari-Pemimpin Ajaib di Zamannya untuk dibaca dan dinilai kandungannya.

"Individu terbabit mengirimkan buku itu kepada ahli persatuan dan meminta diserahkan kepada saya dan mencabar saya buktikan sebarang unsur penyelewengan akidah," katanya.

Beliau berkata, mungkin pergerakan al-Arqam dianggap sesetengah pihak sudah tidak membahayakan tetapi semua pihak perlu berwaspada kerana mereka secara senyap boleh memesongkan akidah golongan muda yang bakal menjadi modal insan negara.

0 comments: