Dunia akan iktiraf program angkasawan Malaysia – Faiz

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Angkasawan negara, Kapten Dr. Faiz Khaleed yakin dunia akan mengiktiraf angkasawan Malaysia menerusi kesinambungan Program Angkasawan Negara.

Menurutnya, walaupun ada pihak mempertikaikan kelayakan angkasawan negara tetapi program berkenaan akan membuka mata dunia tentang keseriusan Malaysia untuk membangunkan industri angkasa lepas tempatan dan melahirkan lebih ramai angkasawan.

‘‘Dengan meneruskan program ini, secara tidak langsung dalam konteks jangka panjang, pengiktirafan dunia terhadap angkasawan negara kita akan datang dengan sendirinya,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis memaklumkan satu majlis khas akan diadakan oleh kerajaan Rusia bagi menganugerahkan gelaran kosmonaut (angkasawan) kepada angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Selain Sheikh Muszaphar, Faiz juga akan mendapat pengiktirafan yang sama sebagai angkasawan kedua negara.

Beberapa pihak seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyenaraikan Sheikh Muszaphar sebagai peserta penerbangan kapal angkasa dalam misi selama 10 hari di ISS yang akan berakhir esok walaupun telah menjalani latihan lengkap sebagai angkasawan selama setahun bersama Roskosmos.

Faiz memberitahu, Program Angkasawan Negara juga akan membuka peluang kepada Malaysia untuk menjalin hubungan erat dengan negara-negara maju yang bergiat aktif dalam penerokaan angkasa lepas.

‘‘Ini dapat membuka peluang ekonomi kepada Malaysia, baik dalam bidang angkasa lepas atau dalam bidang sains lain,’’ ujarnya

0 comments: