20 peratus hidap tekanan jiwa

Oleh Norakmah Mat Youb

KUALA LUMPUR: Penyakit berkaitan kesihatan mental di negara ini diibaratkan sebagai bom jangka yang boleh meledak pada bila-bila masa berdasarkan kira-kira 20 peratus rakyat negara ini menghidap tekanan perasaan kronik.

Ketua Jabatan Psikologi Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, berkata daripada jumlah itu hanya 0.5 peratus mendapatkan rawatan dipercayai disebabkan pelbagai faktor termasuk tidak mahu dianggap gila dan faktor kewangan.

Beliau berkata, pesakit mental kronik ini jika tidak dirawat segera, berkemungkinan besar boleh melakukan perkara di luar dugaan termasuk mencederakan diri sendiri atau membunuh orang lain.


"Kajian yang dijalankan mendapati mereka yang sakit ini lebih rela menanggung kesakitan daripada mendapatkan rawatan. Ia sebahagian daripada bukti menunjukkan masalah tekanan sudah mula melanda rakyat negara ini dan jika tidak dibendung boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.

"Antara golongan harus diberi perhatian ialah generasi muda supaya mereka tidak mewarisi budaya hidup dalam tekanan ini. Tekanan pada peringkat kanak-kanak pula agak berbahaya kerana mereka cenderung meniru aksi ganas yang ditonton di televisyen setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu keganasan yang semakin membimbangkan dipercayai akibat tekanan dan terbaru seorang pelajar berusia 15 tahun menikam budak berusia tujuh tahun menggunakan kaca tingkap sehingga mati, dipercayai akibat tidak berpuas hati mangsa mengganggu ayam belanda peliharaannya.


Dr Mohamad Hussain berkata, tekanan perasaan yang tidak terkawal mendatangkan keganasan dan kebanyakan kes pembunuhan serta keganasan tidak membabitkan pesakit jiwa, tetapi dilakukan individu yang gagal mengawal tekanan dan emosi termasuk kanak-kanak.

"Orang yang menghadapi tekanan tidak boleh dipanggil pesakit jiwa. Stigma atau tanggapan salah itu perlu diperbetulkan. Jangan pandang serong individu yang berjumpa dengan kaunselor kerana ia sebenarnya langkah paling baik untuk merawat tekanan," katanya.

Beliau berkata, antara sebab lain keganasan semakin berleluasa ialah kerana institusi keluarga di negara ini menghadapi banyak masalah terutama di bandar.

"Keluarga hari ini berbeza dengan institusi keluarga dulu. Kebanyakan keluarga kini tinggal berjauhan daripada saudara mara terdekat menyebabkan mereka sukar untuk mendapat bantuan ketika ditimpa masalah.

"Sebenarnya, banyak faktor menyumbang kepada masalah ini. Tekanan tidak kira sama ada lelaki atau perempuan dan risikonya sama. Namun, secara umumnya perempuan lebih mudah mengalami tekanan perasaan berbanding lelaki," katanya.

Beliau menyatakan tekanan adalah suatu keadaan yang dipengaruhi gangguan mental dan emosional yang boleh mewujudkan keadaan tidak selesa atau tegang jika keadaan itu tidak mampu ditanggung tubuh badan.

"Layanan emosi dan sokongan sosial keluarga terdekat seperti ibu bapa, guru dan rakan amat perlu. Memberi perhatian dan kasih sayang kepada individu mengalami tekanan boleh memberi kekuatan emosi kepada mereka," katanya.

Beliau juga mencadangkan sebuah pusat rawatan khas yang menawarkan perkhidmatan percuma atau bayaran murah diwujudkan di setiap komuniti bagi memberi maklumat dan rawatan awal menghadapi tekanan serta masalah berkaitan mental.

Pusat rawatan itu perlu dikendalikan pakar dalam bidang berkenaan dan dibantu oleh sukarelawan.

"Pusat rawatan khas itu seperti klinik kesihatan dan pusat pemulihan psikososial yang pernah ditubuhkan pada 1998 dan 2003. Di sini orang ramai boleh mendapatkan nasihat daripada pakar kaunseling mengenai masalah dihadapi," katanya.

0 comments: