Penderma perlu berdarah B+

Oleh: SAFINA RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Pesakit yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari, Siti Salmah Jasni, 18, memerlukan penderma paru-paru baru dari penderma yang mempunyai darah jenis B positif.

Menurut Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ashari Yunus, pemindahan paru-paru baru hanya boleh dilaksanakan sekiranya penderma telah meninggal dunia dan paru-parunya berada dalam keadaan elok serta sesuai dengan Siti Salmah.

‘‘Untuk itu, pesakit mati otak boleh membantu dan kita berharap mana-mana waris keluarga pesakit mati otak dapat membantu gadis ini (Siti Salmah) dengan mendermakan paru-paru untuknya,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Walaupun misi mencari paru-paru yang dilancarkan Utusan Malaysia bagi membantu Siti Salmah telah masuk hari kelima, namun masih belum ada khabar gembira bagi gadis dari Kulai, Johor itu untuk mendapat paru-paru baru.

Gadis dalam senarai pesakit yang mendaftar untuk pemindahan paru-paru sejak tahun 2005 itu memerlukan organ tersebut daripada penderma kerana menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan biasa.

Sementara itu, ibu Siti Salmah, Sabariah Mustaffa, 49, berkata, keluarganya tidak akan berputus asa dalam pencarian paru-paru untuk anaknya.

Menurutnya, anaknya dikesan menghidap penyakit itu semasa berumur 15 tahun dan penyakit anaknya sudah berada pada tahap kritikal iaitu pada tahap empat.

Sabariah berharap akan ada satu keajaiban bakal menjelma untuk anaknya.

0 comments: