141 budak mangsa rogol

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Seramai 141 kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan ke bawah menjadi mangsa rogol dalam tujuh bulan pertama tahun ini.

Sebanyak 16 kes yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara Januari hingga Julai itu membabitkan mangsa berusia enam tahun ke bawah, manakala 23 lagi berusia antara enam dan sembilan tahun.

Kes itu membimbangkan kerana menunjukkan pola peningkatan berbanding tempoh enam bulan sebelum itu (Julai hingga Disember 2006) yang hanya membabitkan 131 mangsa.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, 141 mangsa itu adalah antara 1,814 mangsa rogol membabitkan semua peringkat usia yang dilaporkan sepanjang Januari hingga Julai lalu.

"Kita amat bimbang dengan peningkatan kes rogol, malah kes itu antara paling tinggi direkodkan berbanding 18 indeks jenayah lain," katanya di sini.

Awal minggu ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata, PDRM sedia menerbitkan senarai pesalah seks serta bertukar maklumat mengenai fidofilia, perogol, penyeludup manusia serta penjenayah lain bersama agensi penguatkuasaan di dunia.


Beliau yang mengumumkan perkara itu ketika menghadiri Simposium Kerjasama Polis Eropah-Asia di Bangkok, Thailand berkata buat permulaan PDRM akan bertukar pangkalan data pesalah seumpamanya bersama agensi penguatkuasaan di Eropah dan Asean.

Musa juga mengakui cadangan untuk menerbitkan senarai mereka yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa seks dan perogol hanya membabitkan mereka yang sudah disabitkan di mahkamah.

Mereka yang mengganggu wanita juga akan disenaraikan supaya orang ramai lebih berwaspada kerana tahu orang seperti itu berada di persekitaran mereka.

Wan berkata, secara keseluruhan, kes jenayah rogol meningkat 452 kes atau 24.9 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Sebanyak 1,814 kes itu direkodkan di seluruh negara antara Januari hingga Julai, berbanding 1,362 kes tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, Selangor terus menjadi negeri tertinggi merekodkan bilangan jenayah itu dengan 347 kes dalam tempoh itu berbanding hanya 233 kes

0 comments: