Berbual dengan ibu bapa sebelum pulang ke bumi

Oleh: ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan berpeluang berbual dengan ibu bapanya sebelum berlepas pulang ke bumi dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) esok.

Bapanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor berkata, beliau dan isteri, Datin Zuraida Sheikh Ahmad akan berbuat demikian dari Pusat Kawalan Misi (MCC), Moscow beberapa minit sebelum Sheikh Muszaphar memasuki kapal angkasa Soyuz TMA-10 yang akan membawanya pulang ke bumi bersama dua krew Rusia.

‘‘Saya dan isteri dibenarkan bercakap sepatah dua kata kepada Sheikh Muszaphar semasa dia masih di ISS sebelum masuk ke dalam Soyuz.

‘‘Sebelum ini pun, saya diberi peluang berbual secara sidang video dengan anak saya pada hari kedua dia berada di ISS,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau dan isteri serta anak sulung mereka, Sheikh Ahmad kini berada di Moscow sejak 9 Oktober lalu bagi menyaksikan pelancaran Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan sehingga selesai misi esok.

Angkasawan pertama negara dijadual mendarat dalam lingkungan 10 kilometer di kawasan Arkylk, Kazakhstan pada pukul 6.37 petang waktu Malaysia esok dengan Soyuz TMA-10 bersama dua angkasawan Rusia, Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov.

Ditanya perasaannya mengenai proses kepulangan Sheikh Muszaphar ke bumi dari ISS, beliau tidak bimbang kerana telah diberikan penerangan terperinci oleh Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh.

‘‘Saya berserah kepada Allah dan berdoa semoga dia selamat mendarat di bumi tanpa sebarang masalah,’’ katanya.

Menurut Sheikh Mustapha, beliau hanya dibenarkan berjumpa anaknya semasa dikuarantin di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Moscow.

Beliau menambah, mereka sekeluarga dijangka pulang ke tanah air bersama Sheikh Muszaphar pada 27 Oktober ini.

0 comments: