Leukemia: Pelajar perlu bantuan segera

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menderita penyakit leukemia mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung semula pengajiannya jika kos pemindahan sumsum tulang berjumlah RM128,000 gagal dikumpulkan.

Sehubungan itu, Junaina Johari, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan merayu bantuan orang ramai bagi membolehkannya menjalankan pembedahan tersebut dengan segera seterusnya menyambung semula pengajian yang tertangguh sejak Oktober 2005.

Anak kepada pesara tentera ini berkata, kesempitan hidup keluarga yang bergantung kepada pencen ayahnya berjumlah RM800 sebulan menyukarkan mereka untuk mengumpul wang bagi menjalankan pembedahan tersebut.

‘‘Ayah sudah terlalu tua untuk membuat kerja sampingan bagi mencari wang tambahan manakala ibu pula tidak bekerja kerana menghidap penyakit darah tinggi.

‘‘Saya kini terpaksa mengharapkan bantuan abang sulung kerana saya sendiri tidak boleh bekerja memandangkan sering keluar masuk hospital,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemani bapa, Johari Atan, 71; ibunya, Jamaliah Sengot, 52, dan abang, Shairul Azmanlizam Johari, 27.

Anak kedua daripada empat beradik ini memberitahu, doktor memintanya untuk menjalankan pembedahan tersebut dengan segera kerana rawatan kemoterapi yang dijalankannya sebelum ini kurang memberi kesan terhadap penyakitnya.

‘‘Saya mempunyai peluang 70 peratus untuk sembuh daripada penyakit ini sekiranya dapat menjalankan pemindahan sumsum tulang dengan segera.

‘‘Jika tidak penyakit saya mungkin akan bertambah teruk kerana kanser darah sel putih dalam badan saya tidak stabil dan sering turun serta naik,’’ ujarnya.

Junaina yang terpaksa menelan ubat hampir setiap hari sejak dua tahun lalu berkata, anggaran kos RM128,000 yang diperlukannya agak tinggi kerana penderma yang akan menderma sumsum tulang kepadanya itu merupakan rakyat Singapura.

Selain itu, katanya, kos itu juga merangkumi keseluruhan proses pembedahan yang akan dilakukan di Hospital Ampang termasuk rawatan susulan selepas pembedahan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Junaina di talian 017-4137994 atau abangnya, Shairul Azmanlizam di nombor 016-6544637.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Junaina Johari di Bank Islam Malaysia Berhad di akaun bernombor 12-074-02-011787-0.

0 comments: