Lepas 11 hari di angkasa lepas: Muszaphar selamat pulang ke Bumi

MOSCOW 21 Okt. - Selepas 11 hari berada di angkasa lepas, angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat kembali ke bumi.

Ia sekali gus memahatkan satu kejayaan bermakna dalam misi angkasa lepas pertama Malaysia dan penyertaan aktif negara dalam industri angkasa lepas, satu peristiwa yang satu ketika dahulu hanya mampu dimimpikan, di luar batas imaginasi Malaysia.

Kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa beliau bersama Komander, Fyodor Yurchikhin dan Juruterbang Penerbangan, Oleg Kotov mendarat di Arkylk, Kazakhstan, kira-kira 1,500km dari sini pada kira-kira pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia), selepas 3 jam 23 minit perjalanan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Soyuz TMA-10 keluar dari ISS kira-kira pukul 3.14 petang waktu Malaysia untuk pulang ke bumi.

Kepulangan Muszaphar disambut dengan penuh rasa lega dan tepukan gemuruh petugas serta orang ramai yang berada di Pusat Kawalan Misi di sini, yang antaranya termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Pegawai-pegawai kanan Agensi Angkasa Rusia, Roscosmos, termasuk Pengarahnya, Anatoli Perminov turut hadir untuk menyaksikan pendaratan itu.

Turut hadir untuk menyaksikan detik-detik bersejarah itu ialah ibu bapa angkasawan negara itu, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad, serta abangnya Sheikh Ahmad, dan enam pelajar sekolah menengah yang berjaya dalam pelbagai kategori pertandingan kejuruteraan, sains, dan inovasi pada bulan Ogos lalu.

Sejurus selepas mendarat, satu cebisan lambang misi angkasawan Malaysia ditampal di dinding pusat kawalan teknikal Malaysia, yang menjadi gambaran simbolik kepada kejayaan Malaysia menyempurnakan misi itu.

Semasa kapsul angkasa itu berlepas dari ISS pada pukul 11.15 pagi, semua pihak mulai berdoa untuk keselamatan pendaratan Soyuz TMA-10, kerana impak terhadap kapsul itu semasa ia memasuki ruang atmosfera bumi cukup kuat apabila ia bergerak pada kelajuan 755 meter sesaat.

Bagaimanapun impak itu diminimumkan selepas payung terjun khas dibuka dari kapsul angkasa itu pada ketinggian 10 km sebelum ia mendarat di bumi.

Enam helikopter kemudiannya dikerah mencari kapsul angkasa itu.

Pengarah Program Angkasa Malaysia Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berada di tapak pendaratan untuk membawa Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke pusat perubatan sementara untuk dipulihkan dari kesan mikrograviti yang ditempuhinya sejak 11 hari berada di ruang angkasa lepas.

Angkasawan Malaysia itu kemudianya dibawa ke pengkalan udara Chakalovsky, berhampiran Gagarin Cosmonaut Training Centre, Star City, di sini, di mana satu majlis khas diadakan untuk menyambut kepulangannya oleh Najib.

Angkasawan Malaysia itu akan berada di Moscow untuk tempoh dua minggu lagi bagi tujuan kuarantin, sebelum kembali ke Malaysia.

Dr Sheikh Muszaphar berlepas dengan kapal angkasa Soyuz TMA-11 bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan Jurutera Penerbangan Yuri Malechenko dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pukul 7.21 malam waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia) pada 10 Oktober lalu.

Sepanjang 10 hari di ISS, Dr Sheikh Muszaphar membuat kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi di angkasa lepas terhadap sel dan mikrob serta uji kaji penghabluran protein untuk kegunaan industri. - Bernama

0 comments: