Samy puji kegagahan Krishnamoorthy

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu memuji S. Krishnamoorthy, 19 kerana menyelamatkan beberapa mangsa feri Seagull Express 2 yang terbakar di perairan berhampiran Pulau Tioman Sabtu lepas.

“Krishnamoorthy, seorang belia yang sangat gagah yang boleh menjadi contoh bagi rakyat Malaysia, terutamanya belia,” kata Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dilaporkan seorang mangsa yang terselamat itu, Ng Soon Tiong, 41 melihat Krishnamoorthy memberikan jaket keselamatan kepada penumpang lain dan membantu kanak-kanak daripada feri yang terbakar itu.

Beliau berkata, Krishnamoorthy menyelam beberapa kali untuk menarik yang lain ke tempat selamat.

Soon Tiong berkata, Krishnamoorthy menyelamatkan nyawa dua orang anak lelakinya berumur antara 7 dan 9 tahun, serta beberapa orang saudaranya.

“Ramai daripada kita yang masih hidup hari ini kerana beliau. Kita semua terhutang budi dengannya,” kata Soon Tiong.

– Bernama

0 comments: