Berwaspada ketika berada di Pakistan

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Rakyat Malaysia yang ingin ke Pakistan diminta lebih berhati-hati serta berwaspada selepas dua serangan berani mati yang disasarkan ke atas bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto menggegar Karachi, semalam.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ahmad Shahizan Abd. Samad berkata, walaupun keadaan di Pakistan terutama Karachi semakin tenang, rakyat Malaysia yang ingin ke negara itu diminta mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelakkan diri berada di kawasan-kawasan yang terdapat rapat umum atau perhimpunan parti politik.

‘‘Saya meminta rakyat Malaysia yang ingin ke Pakistan terutama yang mempunyai urusan perniagaan supaya menghubungi rakan kongsi mereka terlebih dahulu untuk mengetahui keadaan di negara ini.

‘‘Pada masa ini, keadaan sudah kembali tenang selepas serangan dan kawalan keselamatan juga telah dipertingkatkan. Tetapi elok kita lebih berwaspada,’’ katanya ketika dihubungi di Pakistan hari ini.

Semalam, dua serangan berani mati yang disasarkan kepada Benazir telah membunuh sekurang-kurangnya 136 orang dan menyebabkan kira-kira 300 orang cedera.

Benazir terselamat dalam serangan itu yang berlaku kira-kira 10 jam selepas beliau menjejakkan kaki ke tanah airnya setelah lapan tahun berada di dalam buangan di London.

0 comments: