‘Sami sembunyi TNT di wat’

YANGON 18 Okt. – Rejim tentera Myanmar hari ini mendakwa mereka berjaya merampas kuantiti besar bahan letupan buatan Amerika Syarikat (AS) yang disembunyikan di sebuah wat Buddha di sini.

Akhbar New Light of Myanmar melaporkan, siasatan pihak berkuasa membawa kepada penemuan 48 blok bahan letupan TNT yang disimpan oleh seorang sami Buddha di Wat Nan Oo. Sami tersebut dikenal pasti sebagai U Kovida, 23.

Sami-sami Buddha negara ini merupakan peneraju utama kepada bantahan aman ke atas junta tentera pada Ogos dan September lalu tetapi gelombang penentangan itu berjaya dipatahkan secara kekerasan oleh pihak berkuasa.

Akhbar rasmi junta itu tidak menyatakan sama ada U Kovida ditangkap tetapi mendakwa, bahan letupan yang ditemui telah diseludup masuk dan beberapa orang suspek sedang disoal siasat.

Sementara itu Amnesty International semalam melaporkan, pihaknya menerima banyak laporan kematian, penyeksaan, kekurangan ubat-ubatan dan rawatan untuk pusat-pusat tahanan yang kini semakin sesak di seluruh negara.

“Penangkapan dan penahanan rahsia dan laporan mengenai layanan buruk yang semakin meluas serta penyeksaan menidakkan janji junta tentera yang mahu bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB),” tegas pertubuhan hak asasi manusia itu dalam kenyataannya.

Junta semalam mengaku mereka menangkap dan menyoal siasat hampir 3,000 aktivis prodemokrasi selain masih menahan lebih 500 daripadanya.

“Ramai yang diburu untuk siasatan dan ramai juga yang sudah dibebaskan,” lapor New Light of Myanmar, semalam.

Tahanan yang dibebas diarahkan menandatangani satu “akujanji” menyatakan mereka tidak lagi akan menyertai gerakan prodemokrasi.

– AP

0 comments: