Pegawai polis disyaki kumpul harta haram RM6j disiasat

UTUSAN

PUTRAJAYA 20 Sept. – Seorang lagi pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki mengumpul harta secara haram dianggarkan bernilai RM6 juta sejak beberapa tahun lalu.

Menurut sumber, pegawai berusia awal 50-an dan sudah berkhidmat lebih 20 tahun lalu itu dipercayai mengumpul kekayaan secara haram ketika bertugas di Pahang dan Johor.

Difahamkan, pegawai terbabit memiliki beberapa buah rumah dan lot tanah yang sebahagian besar terletak di Lembah Klang.

Pegawai terbabit sudah dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat BPR di sini.

Bagaimanapun, wartawan yang menunggu di ibu pejabat BPR itu pagi ini gagal menemuinya apabila dia tidak muncul seperti yang dijadualkan.

Difahamkan, ini bukan kali pertama pegawai polis itu disiasat BPR atas kesalahan berkaitan rasuah tetapi dilepaskan kerana tidak cukup bukti.

Pengisytiharan

Sebelum ini, seorang pegawai kanan polis dari Bukit Aman turut disiasat BPR berhubung kesalahan mengumpul harta secara haram. Dia disyaki mempunyai harta bernilai kira-kira RM27 juta.

Pegawai terbabit yang disiasat hari ini menyerahkan dokumen pengisytiharan hartanya kepada BPR Rabu lalu selepas diberikan tempoh selama 30 hari untuk berbuat demikian.

Julai lalu, akhbar melaporkan seorang pegawai kanan polis Bukit Aman disiasat BPR kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan gagal mengisytiharkan harta bernilai kira-kira RM27 juta.

Pegawai berusia 50-an itu turut dikatakan menjadi pengarah sebuah syarikat perladangan dan didakwa memiliki 5,000 saham dalam syarikat berkenaan yang terbabit dalam pembangunan tanah di Sabah yang mendapat bantahan daripada penduduk setempat.

Berikutan itu, pegawai kanan polis berkenaan didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan mengeluarkan arahan supaya penduduk terbabit ditangkap.

BPR menjalankan siasatan ke atas pegawai polis itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali.

0 comments: