Rakyat belanja RM4b setahun beli rokok

Oleh Sazarina Shahrim

Kerajaan tampung kos tinggi rawat penyakit akibat merokok



KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM4 bilion setahun untuk membeli rokok, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon.

Beliau berkata, angka itu menunjukkan rakyat negara ini membazirkan wang mereka untuk tabiat yang tidak berfaedah itu sedangkan ia lebih baik jika digunakan untuk pembangunan negara seperti membina lebih banyak universiti dan sekolah.

“Itu baru purata jika kita ambil tiga juta perokok membeli 10 batang rokok sehari. Ini belum lagi kos terpaksa ditanggung negara umpamanya rawatan pelbagai penyakit seperti barah akibat merokok, kehilangan nyawa dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Mereka Cipta Laman Web ‘Tak Nak Merokok’ peringkat kebangsaan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menunjukkan lebih 50 peratus orang Melayu merokok dan jumlah ini adalah paling tinggi berbanding kaum lain di negara ini.

Mengenai langkah meletak label amaran bergambar atau grafik kesan negatif pada kotak rokok seperti termaktub dalam Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia, beliau berkata, draf Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau kini pada peringkat akhir dan dijangka dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata, draf itu akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Kita memang berharap dapat melaksanakannya sebelum Ogos 2008 seperti termaktub dalam FCTC. Ini kerana kita agak ketinggalan berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang sudah lama melaksanakannya,” katanya.

Pada 2005, Malaysia memperakukan FCTC yang antara lain memberi tempoh tiga tahun untuk menguatkuasakan langkah itu.

Label amaran bergambar itu antara lain akan memaparkan gambar kerosakan paru-paru, mulut, otak dan jantung bagi memberi rangsangan emosi seperti ngeri, gerun, jijik dan marah di kalangan perokok.

Ditanya mengenai pertandingan mereka cipta laman web ‘Tak Nak Merokok’ yang berlangsung sehingga 30 November ini, Lee berkata, ia akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka dan khas untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Institut Teknologi Maklumat UniKL itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat terutama remaja mengenai bahaya rokok.

“Kita juga mahu mendidik masyarakat dan remaja supaya menjauhi tabiat merokok, selain menggalakkan masyarakat ke arah persekitaran bebas tembakau,” katanya.

0 comments: