al-Arqam dipercayai kembali aktif sebar propaganda

Oleh Ifwan Tun Tuah

PETALING JAYA: Kumpulan ajaran sesat al-Arqam yang diharamkan dan berselindung dengan nama perniagaan Rufaqa Corporation Sdn Bhd dipercayai kembali aktif dengan menyebarkan propaganda baru kepada ahlinya mendakwa kegiatan mereka direstui Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata pihaknya mengesan pengikut fanatik mereka menyebarkan propaganda itu menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ahlinya di seluruh negara.

"Mereka turut mempunyai bendera kuning yang melambangkan pergerakan mereka direstui Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Pengikut kumpulan ini meletakkan bendera itu dalam kenderaan masing-masing sebagai lambang kononnya perjuangan mereka untuk menjatuhkan pemerintahan ketika ini direstui baginda," katanya selepas operasi 'langgar fatwa' oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah taska yang diusahakan pengikut al-Arqam di sini, semalam.

Operasi itu turut dijalankan serentak di sebuah kedai kek di Seksyen 13 Shah Alam. Dalam operasi itu, Jais merampas gambar Ashaari Muhammad, lebih 200 buku berkaitan ajaran al-Arqam serta sejumlah VCD ceramah di kedua-dua lokasi itu.

Jais turut menahan seorang lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 40 tahun dipercayai pemilik dan pekerja kedua-dua premis itu untuk disiasat mengikut Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Abdul Rahman berkata, kedua-dua premis itu diserbu kerana menyimpan buku dan menjadi akses untuk perkembangan semula ajaran sesat mereka.

"Tambahan pula, kita bimbang kanak-kanak yang ditinggalkan di taska yang tidak mempunyai lesen itu diasuh dengan ajaran yang memesongkan akidah," katanya.

0 comments: