Kes bunuh Altantuya: Perbicaraan ditangguh Isnin

Oleh Norhashimah Mohd Radzali

Abdul Razak Baginda masih belum pulih selepas pembedahan mata

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi semalam, menangguhkan sehingga Isnin ini perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu kerana tertuduh ketiga, Abdul Razak Baginda yang menjalani pembedahan mata, Isnin lalu, masih belum pulih.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menetapkan tarikh itu selepas peguam Abdul Razak, Wong Kian Kheong memaklumkan perkara itu kepada beliau melalui sepucuk surat.

Wong menyatakan Abdul Razak masih berada dirawat di Hospital Selayang dan belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan mata.

Wong kemudian memohon perbicaraan ditangguhkan sehingga Isnin ini.

Pada 17 September lalu, Wong memohon perbicaraan kes itu ditangguhkan kepada semalam, kerana anak guamnya akan menjalani pembedahan mata di Hospital Selayang.

Perbicaraan yang sudah memasuki hari ke-37 itu sepatutnya mendengar keterangan Cif Inspektor Koh Fei Chow yang memberi keterangan pada peringkat bicara dalam perbicaraan.

Prosiding bicara dalam perbicaraan yang sudah memasuki hari keenam itu dijalankan bagi menentukan sama ada keterangan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar kepada Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin yang juga saksi ke-23 dalam perbicaraan utama, ketika disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan di rumah tertuduh dibuat secara sukarela, seterusnya boleh diterima mahkamah.

Zulkarnain dalam keterangannya di mahkamah bulan lalu berkata, Sirul Azhar memaklumkan kepadanya: �Saya boleh tunjukkan barang kemas milik perempuan itu (Altantuya) yang saya simpan di rumah saya di Kota Damansara.�

Sebaik tiba di rumah itu, tertuduh memberitahu Zulkarnain: "Saya simpan barang kemas itu di dalam jaket saya." Sirul Azhar juga mengangguk ketika ditunjukkan sama ada jaket berwarna hitam itu yang dimaksudkannya.

Sirul Azhar juga berkata: "Inilah barang dia" sambil menunjukkan barang kemas yang dikeluarkan dari poket jaketnya oleh Zulkarnain.

0 comments: