Operasi musnah babi ditangguh

Oleh Wan Hazmir Bakar

PUTRAJAYA: Kabinet kelmarin memutuskan supaya operasi memusnahkan babi di Alor Gajah, Melaka, yang sepatutnya dilakukan hari ini ditangguhkan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mengurangkan bilangan haiwan itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Melaka juga bersetuju menangguh operasi itu bagi merundingkan jadual baru pemindahan haiwan berkenaan berikutan persetujuan penternak terbabit mematuhi syarat.

"Kabinet minta supaya isu ini diselesaikan dengan baik dan saya sudah berunding dengan Ketua Menteri Melaka semalam (kelmarin) dan kita akan berusaha mencari formula yang boleh membawa kepada pengurangan bilangan khinzir.

"Pihak terbabit juga bersetuju melaksanakan pemindahan mengikut jadual dan inilah yang akan dirundingkan dengan kerajaan negeri," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama di antara Felda dan PT Kalpataru Investama di pejabatnya di sini, semalam.

Isu ternakan babi di Paya Mengkuang, Man Lok dan Bukit Beruang timbul apabila kerajaan Melaka memutuskan untuk mengurangkan jumlah haiwan itu apabila pencemaran sungai dan udara akibat kegiatan berkenaan, selain bantahan penduduk yang tidak tahan lagi bau busuk.

Penternak terbabit yang jelas melanggar beberapa syarat pihak berkuasa tetap berdegil walaupun diberi tempoh sehingga 31 Ogos lalu untuk berbuat demikian.

Berikutan itu, kerajaan Melaka memutuskan operasi bersepadu membabitkan agensi kerajaan seperti polis, Rela, Jabatan Veterinar dan Jabatan Alam Sekitar awal bulan ini bagi menangani masalah itu.

Bagaimanapun, operasi bersepadu berkenaan terpaksa ditangguhkan apabila penternak menggunakan murid sekolah dan sangkar babi sebagai perisai pertahanan, selain melontar bom petrol.

Mengenai penangguhan aplikasi e-Kesihatan, Najib berkata, Kabinet membuat keputusan itu berikutan bantahan banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan skim terbabit dan konsep serta syarat skim itu akan diperhalusi bagi memuaskan semua pihak terbabit.

"Kabinet memikirkan kalau kita nak laksanakan sesuatu skim, ia sepatutnya dapat diterima baik semua pihak. Maka kita akan perhalusi lagi konsep ini dan syaratnya supaya kita akan dapat memberi kepuasan kepada semua pihak," katanya.

0 comments: