Tragedi Nurin Jazmin: Anak-anak kita tidak selamat walaupun untuk ke pasar malam

Harakahdaily
Fri | Sep 21, 07 | 1:03:13 pm MYT

TIADA siapapun yang akan menyalahkan pasangan Jazimin dan Norazian jika mereka enggan menerima hakikat bahawa mayat budak perempuan yang ditemui di dalam sebuah beg sukan di PJS 1 ialah anak mereka yang hilang lebih sebulan lalu.

Ketika membuat pengecaman, mereka penuh yakin bahawa mayat kanak-kanak yang ditemui itu bukan anak kesayangan mereka. Kedua-dua mereka berdoa memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana mayat budak perempuan yang dilihat - diyakini tidak menyerupai anak yang mereka pelihara dan besarkan selama ini.

Jazimin Abdul Jalil, pemandu teksi berusia 33 tahun itu enggan menerima keputusan DNA bahawa mayat kanak-kanak itu adalah anaknya.

“Saya ayah Nurin... Saya lebih mengenali anak saya dari semua orang... Dalam hati saya berkata mayat itu bukan anak saya... Jika polis suruh saya ambil mayat tersebut, saya akan terima, saya akan mandikan dan akan mengebumikannya. Tetapi saya hendak polis teruskan usaha mencari Nurin kerana saya tahu Nurin masih berada di luar sana dalam keadaan selamat,” kata Jazimin.

Itulah harapan ayah kanak-kanak malang itu. Harapan yang disandarkan kepada polis yang kini dibebani dengan peningkatan kadar jenayah yang tidak dapat ditangani.

Nurin Jazlin, 8, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilapor hilang pada tanggal 20 Ogos setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan Jazlin, pasukan khas dibentuk polis untuk mencarinya; wang ganjaran kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat meningkat daripada RM8000, RM13000 dan akhirnya RM26000; pelbagai pihak tampil memberikan bantuan, tidak kurang juga yang mempermainkan perasaan ibu bapa Jazlin, seperti tumpang gembira dengan derita yang dialami orang lain.

Bagaimanapun keyakinan ibu bapa kanak-kanak ini digoyahkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak di dalam beg sukan. Kanak-kanak perempuan yang dipercayai mati 24 jam sebelum ditemui itu didera. Manusia jenis apakah yang sanggup mendera seorang budak perempuan dengan menusukkan terung dan timun di kemaluannya sehingga menyebabkan ususnya pecah?

Pakar psikologi jenayah yakin jenayah ini dilakukan seorang manusia kurang siuman yang mengalami sindrom kecelaruan seks (sexual disorder syndrom). Polis pula tampil dengan dua teori - sama ada pelaku jenayah ini seorang pengamal ilmu hitam yang mahukan darah kanak-kanak ataupun kemunculan semula penjenayah kejam yang pernah memangsakan kanak-kanak perempuan sebelum ini.

Semuanya kini menjadi misteri. Daripada identiti mayat kanak-kanak yang ditemui hinggalah kepada profail penjenayah.

Kejadian malang yang menimpa Nurin Jazlin ini bukanlah suatu kes terpencil yang mampu kita sorokkan dengan sekeping nyiru. Nyiru itu tidak dapat menutup bangkai gajah yang sudahpun dicium baunya. Sejak kebelakangan ini kadar jenayah negara semakin meningkat. Kejadian samun, rompak, ragut, rogol, culik dan sebagainya dilaporkan setiap hari oleh media massa. Yang menjadi mangsa bukan sahaja rakyat biasa, malah bekas Ketua Polis Negara!

Di saat negara diulit projek pembinaan modal insan dan PM sekarang dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Insan, sebahagian sektor masyarakat kita diserang wabak jenayah yang amat membimbangkan. Mengapakah wujud fenomena tidak sihat ini tatkala kita mahukan warga yang berkualiti dan mampu berdaya saing hatta di peringkat global?

Pastinya yang menjadi mangsa kritikan masyarakat adalah pasukan polis kita. Setakat manakah keupayaan polis untuk memerangi jenayah jika kekurangan anggota sering menjadi alasan kepada gagalnya usaha membendung jenayah?

Dalam keadaan meruncing seperti sekarang, polis seharusnya mampu meletakkan keutamaan tugas mereka. Apakah yang lebih penting sama ada usaha membanteras jenayah ataupun memantau ceramah politik parti pembangkang?

Komitmen polis dalam membendung jenayah juga perlu dipertingkatkan seperti mana tingginya semangat mereka memburu 'para perusuh' dalam insiden rusuhan di Batu Burok.

Pendek kata, polis perlu berusaha melangsaikan tugas hakiki mereka dalam membanteras jenayah daripada sibuk mencampuri urusan politik yang tiada kena mengena langsung dengan soal keselamatan negara.

Sehingga polis dapat kembali menilai keutamaan tugas dan berpegang kepada profesionalisme perkhidmatan mereka, rakyat perlu mengambil langkah untuk menghalang jenayah daripada berlaku.

Sikap enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dielakkan. Sikap acuh tak acuh terhadap jiran dan masyarakat perlu dihindari. Tingkatkan semangat kejiranan dan ukhuwah kerana ia salah satu cara untuk membanteras jenayah.

Ketika artikel ini ditulis, Jazimin sudahpun menerima hakikat bahawa mayat yang ditemui itu ialah anaknya. Ujian DNA kedua tidak perlu dan jenazah Nurin Jazmin akan damai disemadikan di Setapak selepas solat Jumaat.

Perginya Nurin Jazmin menemui Tuhan memberi kita - polis, rakyat, masyarakat dan kerajaan - pengajaran pahit yang patut ditelan. Negara akan lebih aman dan sejahtera jika masing-masing kita mampu meletakkan keutamaan terhadap sesuatu perkara. Sehingga ini masih gagal dicapai, anak-anak kita tidak akan selamat walaupun untuk ke pasar malam.

0 comments: