Kes Nurin: Keputusan DNA tepat


JADI TUMPUAN: Jazimin dikerumuni wartawan dan jurugambar selepas keluar dari bilik mayat di Hospital Kuala Lumpur.

Ketepatan ujian muktamad kecuali sampel rosak: Pengarah HKL

KUALA LUMPUR: Keputusan ujian asid deoksirinukliek (DNA) adalah tepat dan muktamad jika tiada kerosakan pada sampel, kata Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Zaininah Mohd Zain.

"Keputusan ujian DNA secara saintifik adalah konklusif," katanya ketika ditanya mengenai ketepatan ujian DNA dalam mengenal pasti identiti manusia atau mayat berdasarkan pengalamannya dalam bidang perubatan.

Semalam, polis mengumumkan hasil ujian DNA mayat budak perempuan yang ditemui dalam beg di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, sepadan dengan sampel darah ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, Jazimin Abd Jalil, 33, yang dua kali membuat pengecaman mayat budak perempuan berkenaan tidak mahu menerima keputusan DNA itu berdasarkan beberapa ciri yang berbeza termasuk rambut, gigi dan tanda parut pada paha.

Berikutan itu, polis akan membuat ujian DNA kali kedua bagi mengesahkan perkara itu.

Sebelum ini, keputusan DNA pernah diragui oleh keluarga penyanyi kumpulan Spoon atau lebih dikenali sebagai Along yang dilaporkan hilang sebelum ditemui mati dibunuh pada tahun 2000.

Dr Zaininah berkata, laporan ujian DNA biasanya mengambil masa dua atau tiga hari.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kes Nurin Jazlin dan mayat budak perempuan berkenaan kerana semuanya diserahkan kepada polis.

Mengenai kesan suntikan termasuk BCG, Dr Zaininah berkata, bukan semua suntikan meninggalkan kesan atau tanda kerana bergantung kepada individu.

Katanya, ketiadaan kesan suntikan BCG juga boleh berlaku pada kanak-kanak tempatan jika tidak hadir ke sekolah pada hari sepatutnya menerima suntikan berkenaan.

"Biasanya suntikan BCG diberikan kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun dan dilakukan di sekolah," katanya.

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan mayat budak perempuan dalam beg itu rakyat asing kerana tidak menemui kesan suntikan pada tubuhnya.

Ibu bapa Nurin Jazlin semalam turut mengesahkan anaknya ada menerima suntikan BCG.

0 comments: