Kes Nurin: Nurin Jazlin masih hidup: Ayah

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Hardi Effendi Yaacob, Ifwan Tun Tuah dan Nahar Tajri


SAAT INDAH: Kenangan Jazlin (kiri) bersama rakannya.

KUALA LUMPUR: "Itu bukan anak saya, saya yakin Nurin Jazlin masih hidup," kata Jazimin Abd Jalil, walaupun hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat budak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, dekat sini Isnin lalu, adalah anaknya yang hilang sejak sebulan lalu.

"Saya kenal anak saya, rupa (mayat dalam beg) masih ada, kalau tinggal tulang, saya pun tak kenal, jadi saya minta polis jangan tutup kes... cari anak saya," katanya ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.

Jazimin, 33, berkata, beliau yakin mangsa bukan anaknya berdasarkan rambut mayat yang kerinting, bergigi besar, tidak mempunyai parut, kesan suntikan BCG dan mempunyai wajah yang tiada iras kanak-kanak Melayu.

Beliau berkata, anaknya Nurin Jazlin, 8, berambut lurus, mempunyai gigi lebih kecil dan rapat serta mempunyai parut akibat luka di pangkal pehanya.

Beliau dan isterinya, Norazian Bistaman, 35, dibawa dengan kenderaan polis dari rumah mereka di Wangsa Maju ke HKL untuk membuat pengecaman kali kedua ke atas mayat budak perempuan yang ditemui dalam beg berkenaan, selepas keputusan DNA mengesahkan ia adalah Nurin Jazlin.

Selain mereka, empat lagi anggota keluarga terdekat iaitu Nurziahanim Bistaman, 47; Mohd Naim Bistaman, 49; Jasni Abd Jalil, 44 dan Jazlan Abd Jalil, 38 turut membuat pengecaman dan semuanya menolak mayat itu sebagai Nurin Jazlin.

TINGGAL KENANGAN: Nurin Jazlin (kanan) bersama adiknya.

"Saya akui ketika kali pertama membuat pengecaman (Isnin lalu) saya berdebar-debar tetapi apabila dipanggil kali kedua hari ini (semalam) saya cuma berasa hairan.

"Saya sudah lihat (mayat), tiada persamaan. Rambut anak saya lurus tetapi rambut budak itu pendek dan kerinting, budak itu seperti rakyat Myanmar, tak ada iras muka Melayu, Cina atau India sedangkan anak saya muka Melayu," katanya.

0 comments: