Kontraktor saman Jamaludin Jarjis, TV3 tuntut RM10 juta

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Seorang kontraktor hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis serta Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bagi menuntut ganti rugi RM10 juta.

Ismail Abdullah yang juga Pengarah syarikat Teras Gandingan Sdn. Bhd. bertindak demikian kerana mendakwa menteri itu telah memfitnahnya melalui slot Buletin Utama yang disiarkan pada 28 Oktober tahun lalu.

Saman itu difailkan oleh peguamnya, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui firma guaman Tetuan M.K Othman & Co.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail mendakwa Teras Gandingan melalui satu tawaran kerja bertarikh 25 Ogos 2006 telah dilantik untuk membaik pulih dan menaik taraf Masjid Keratong 7, Rompin, Pahang dengan nilai pembayaran RM50,000.

Berikutan kelewatan tiba bahan-bahan yang ditempah dan kesuntukan masa, Unit Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Tanah dan Daerah Rompin melalui surat bertarikh 31 Oktober 2006 membenarkan masa kerja dilanjutkan dari 7 Oktober kepada 10 November tahun yang sama.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa, TV3 (defendan kedua) telah secara salah dan niat jahat membenarkan penyiaran kata-kata yang mengandungi fitnah yang dibuat oleh defendan pertama (Dr. Jamaludin) melalui slot Buletin Utama yang disiarkan pada masa puncak.

Perkataan-perkataan itu, katanya, boleh difahami bahawa beliau dan syarikatnya gagal menyiapkan projek membaikpulih dan menaik taraf masjid itu sehingga mengakibatkan ia terbengkalai dan terbiar.

Dakwanya, kata-kata itu juga membawa maksud plaintif sengaja melengah-lengahkan kerja, menyalahgunakan peruntukan kerajaan dan mengkhianati wang rakyat dalam membangunkan projek-projek luar bandar itu.

Menurut Ismail, ia sekaligus merujuk bahawa beliau adalah kontraktor yang tidak amanah dan bertindak sebagai kuasa ghaib yang menyelewengkan projek-projek kerajaan.

Sebaliknya dakwa beliau, kenyataan itu tidak benar sama sekali serta bertujuan merosakkan nama dan perniagaannya memandangkan projek itu telah disiapkan dengan sempurna mengikut jangka masa yang ditetapkan.

Memfitnah

Plaintif juga mendakwa tindakan defendan pertama dalam memfitnah plaintif disengajakan di samping keuntungan untuk defendan kedua dari hasil berita yang disensasikan memandangkan ia disiar ke seluruh negara.

Berikutan penyiaran kata-kata fitnah itu, Ismail mendakwa menanggung malu yang amat berat serta terjejas kredibiliti, karakter dan reputasi peluang perniagaan selain dihina dan diperkecilkan di kalangan masyarakat.

Menurutnya, notis yang dihantar melalui peguam bagi meminta defendan-defendan menarik balik fitnah, memohon maaf dan membayar ganti rugi juga telah diabaikan oleh kedua-duanya.

Sehubungan itu, Ismail yang juga Ketua Cawangan UMNO Kampung Sepakat, Kuala Rompin, Pahang dan Ketua Unit Peladang Daerah Rompin itu menuntut gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan sebanyak RM10 juta.

Beliau juga menuntut satu injunksi menghalang defendan-defendan atau pekerjanya menerbitkan semula perkataan-perkataan fitnah itu.

Turut dituntut ialah perintah agar defendan-defendan memohon maaf daripada plaintif dan menarik balik tuduhan yang mana ucapan maaf perlu dibuat selama tiga hari berturut-turut di slot Buletin Utama dan muka depan akhbar-akhbar utama bahasa Malaysia.

0 comments: