500 rumah di Kuala Muda berendam air

UTUSAN MALAYSIA

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 18 Sept. – Hampir 500 rumah di 13 perkampungan sekitar Sungai Muda dan pesisir pantai Kuala Muda masih ‘berendam’ dalam air sejak tiga hari lalu.

Banjir yang melanda turut menjejaskan kehidupan lebih 1,500 penduduk di Mukim Kota Kuala Muda.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kebanyakan rumah di Kampung Rantau Panjang, Kampung Alor Jawi, Kampung Bukit Lalang, Kampung Pokok Kabu, Kampung Sireh dan Kampung Seberang Terus masih lagi dinaiki air kira-kira 0.5 meter.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Luar-Seberang Terus-Alor Nibong, Omar Ahmad, 50, berkata, keadaan semakin pulih pagi ini ekoran tiada lagi hujan sejak petang semalam.

“Banjir mula surut dan sehingga petang ini, air cuma berada pada paras 0.5 meter.

“Namun begitu, air masih lagi bertakung dan rumah seolah-olah masih berendam.

“Ini menimbulkan kesulitan terutama sewaktu penduduk menyediakan juadah berbuka puasa,” katanya ketika ditemui di sini.

Omar bagaimanapun bersyukur kerana tiada penduduk yang perlu dipindahkan ke penempatan sementara.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Alor Jawi, Mariam Lebai Bakar, 75, berkata, beliau menghadapi kesulitan untuk menyediakan juadah berbuka puasa kerana air masih lagi bertakung di bahagian dapur rumah.

“Semua barang diangkat ke bahagian atas rumah sementara juadah berbuka pula dihantar oleh anak-anak yang tinggal di kawasan berdekatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kuala Muda memberitahu, setakat ini, tiada penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

“Jika tiada hujan berterusan dalam tempoh sehari dua ini, kita jangka banjir akan pulih di kawasan Kuala Muda,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 463 mangsa banjir dari Kampung Titi Teras dan Kampung Teroi Bukit, Yan, dekat sini, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir di kawasan mereka surut.

Mereka dipindahkan Sabtu dan Ahad lalu setelah rumah mereka ditenggelami air melebihi satu meter.

0 comments: