Banjir: 211 penduduk dipindah ke Kompleks Rakan Muda

UTUSAN MALAYSIA



KASIH ISTERI... Roziah Man, 59, berusaha membawa suaminya, Ramli Hassan, 72, yang uzur dengan menaiki tayar jentera pembajak sebagai rakit untuk ke kawasan selamat setelah rumah mereka dinaiki air di Kampung Banggol Besi, Pendang, Kedah, semalam. – Gambar Ismail Kamadin.

PENDANG 18 Sept. – Sebanyak 211 penduduk daripada 45 keluarga di 11 buah kampung di daerah ini telah berpindah ke Kompleks Rakan Muda Tanah Merah di sini apabila rumah mereka dinaiki air sejak tiga hari lalu.

Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Pendang, Mohamad Subhi Abdullah berkata, banjir yang melanda kampung berkenaan belum menunjukkan tanda surut malah dijangka semakin naik walaupun hujan lebat tidak turun semalam.

“Mereka mula berpindah ke kompleks tersebut sejak pukul 10 pagi semalam sebagai langkah berjaga-jaga ekoran paras air sungai di daerah ini yang juga telah melepasi paras berbahaya,” katanya ketika ditemui di kompleks tersebut di sini hari ini.

Katanya, kampung terlibat ialah Kampung Belakang Pendang, Banggol Besi, Seberang Pendang, Lubuk Gajah, Alor Punti, Kampung Rambai Padang, Seberang Sungai Tanah Merah, Batu 16, Tanjung Radin, Sukamari dan Simpang Tiga Tobiar.

Menurutnya, paras air Sungai Pendang tengah hari ini mencatatkan bacaan 3.04 meter manakala paras berbahayanya adalah 2.7 meter.

Tiga sungai lain katanya, turut melepasi paras berbahaya iaitu Sungai Rambai (2.34 meter), Sungai Cegar (4.85 meter) dan Sungai Lubuk Batu (6.56 meter).

Subhi memberitahu, kampung-kampung yang terlibat dengan banjir tersebut terletak di kawasan rendah dan sering mengalami banjir terutama jika hujan lebat berterusan beberapa hari.

“Anggota keselamatan seperti Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) juga kini berada di kawasan-kawasan berisiko untuk mengambil sebarang tindakan,'' ujarnya.

Dalam pada itu Subhi berkata, kompleks berkenaan mampu menampung kira-kira 500 orang sekiranya keadaan banjir bertambah buruk dan ia turut dibantu Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBANK) dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian dan Setiausaha PBANK, Abdul Aziz Embi turut mengunjungi mangsa banjir di kompleks berkenaan.

Md. Rozai turut meminta orang ramai yang rumah mereka dinaiki air agar berpindah sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

“Sesetengah mangsa banjir mengambil sikap tunggu dan lihat apabila rumah mereka dinaiki air pada sebelah siang tetapi menjadi panik pada waktu malam terutama jika bekalan elektrik terputus.

“Walaupun operasi menyelamat boleh dijalankan tetapi ia membahayakan bot-bot terlibat yang kipasnya mungkin tersangkut pada kawat pagar atau pukat serta halangan lain,” ujarnya.

0 comments: