Lagi 152 penduduk Pendang dipindah

BERITA HARIAN

Oleh Johari Ibrahim dan Ahmad Che Doh


MANGSA BENCANA: Sebahagian penduduk di pusat pemindahan banjir Kampung Rantau Panjang, Kepala Batas, berikutan rumah mereka dinaiki air hampir satu meter, semalam.

Paras air Sungai Rambai naik kepada 2.34 meter

ALOR STAR: Seramai 152 lagi penduduk di dua kampung di daerah Pendang dipindahkan apabila kampung mereka dinaiki air lebih satu meter sejak pagi semalam, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa berpindah 163 orang.

Penduduk terbabit dari Kampung Rambai Padang dan Seberang Tanah Merah, dipindahkan pagi semalam apabila paras air Sungai Rambai meningkat daripada 2.31 meter pada jam 7 pagi kepada 2.34 meter menjelang petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Pendang berkata, semua mangsa banjir semalam daripada 34 keluarga berbanding dua keluarga yang dipindahkan kelmarin.

Beliau berkata, selain dua kampung berkenaan, kawasan lain di Pendang yang dinaiki air antara 0.5 hingga satu meter ialah Kampung Belakang Pendang, pekan Pendang, Banggol Besi, Lubuk Getah dan Batu 16.

Sementara itu, paras air Sungai Pendang tidak berubah iaitu 3.04 meter, 0.34 meter melebihi paras bahaya.

Banjir di Pendang berlaku apabila arus Sungai Pendang bertemu dengan Sungai Rambai yang menyebabkan air melimpah.

Berikutan itu, walaupun cuaca bertambah baik sejak pagi semalam, kawasan berkenaan masih dinaiki air yang dialirkan dari kawasan tadahan yang mengalami hujan sejak empat hari lalu.

Di Yan, 463 mangsa banjir dari dua kampung, Titi Teras dan Teroi Bukit, yang dipindahkan sejak Sabtu lalu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Yan berkata, bagaimanapun penduduk diarah terus berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

Keadaan banjir di Kuala Muda juga bertambah baik apabila air Sungai Muda yang melimpah memasuki 11 kampung kelmarin surut semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri ketika dihubungi berkata, Pejabat Daerah Kuala Muda tidak membuka bilik gerakan kerana keadaan tidak membimbangkan, tetapi akan terus memantau keadaan.

Di KEPALA BATAS, seramai 108 penduduk daripada 27 keluarga di Kampung Rantau Panjang, Seberang Prai Utara (SPU) dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter, malam kelmarin.

SPU adalah daerah terbaru di negeri yang dilanda banjir selepas Seberang Prai Tengah (SPT) dan Seberang Prai Selatan (SPS) sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, semua mangsa banjir di SPT dan SPS dibenarkan pulang dan pusat pemindahan di kedua-dua daerah itu sudah ditutup, semalam.

Jurucakap Pejabat Daerah SPU berkata, penduduk berkenaan dipindahkan tengah malam kelmarin ke pusat pemindahan di kampung itu apabila paras air Sungai Muda meningkat.

"Paras air sungai yang semakin meningkat menyebabkan hampir 1,000 penduduk di lapan kampung di sepanjang sungai itu berada dalam kebimbangan tetapi hanya penduduk Kampung Rantau Panjang yang dipindahkan," katanya.

Antara kampung berkenaan ialah Kampung Pinang Tunggal, Pantai Kamlon, Tanjung Rambai, Kampung Titi Merdeka, Pengkalan Bongor dan Permatang Bendahari, kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Seorang penduduk Pantai Kamlon, Aziz Talib, berkata keluarganya sudah memindahkan barang ke tempat selamat termasuk ke tingkat atas rumahnya, sebaik saja air naik tengah malam kelmarin.

"Walaupun paras air sungai semakin surut, kami masih bimbang dilanda banjir jika berlaku hujan di Baling, Kedah," katanya.

0 comments: