Jabatan Audit mahu SOP lemah dibaiki

BERITA HARIAN

Oleh Norfatimah Ahmad

Kelemahan akan disenarai elak salah urus dana awam

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara akan mengesan kelemahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu diperbaiki bagi menghasilkan laporan kewangan yang sempurna pada peringkat kementerian dan kerajaan negeri.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata penemuan dalam kajian dilaksanakan selepas selesai membentangkan Laporan Ketua Audit Negara 2006 itu akan turut mempertimbangkan beberapa perubahan pelaksanaan SOP.

"Kita akan senaraikan beberapa kelemahan dikesan, termasuk memastikan kesalahan berulang dan tindakan tidak mematuhi peraturan ditetapkan dalam kelulusan perbelanjaan dan draf penyata kewangan tidak berlaku," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Laporan audit yang dibentangkan 7 September lalu mendedahkan beberapa persoalan termasuk kelemahan beberapa kementerian dan jabatan menguruskan dana awam, termasuk pembelian 13 peralatan dan kelengkapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga kerajaan menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ia termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit berbanding harga pasaran hanya RM50 seunit.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didapati membeli 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 satu set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuma RM417 satu set.

Turut didedahkan ialah tindakan ketua setiausaha kementerian berkenaan menandatangani 11 kontrak bernilai RM7.99 juta hingga RM74.2 juta berkaitan projek IKBN bagi pihak kerajaan, tetapi tiada surat penurunan kuasa dikemukakan ketika diaudit.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad memaklumkan beberapa SOP dalam sistem tadbir urus negara dijangka diubah berikutan isu salah urus dana awam termasuk pembelian peralatan serta pengurusan projek yang dibentangkan dalam laporan audit.

Shahrir berkata, langkah itu perlu untuk memperbaiki sistem penyampaian kerajaan supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

Ambrin berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak untuk berbincang dan menjelaskan lebih terperinci beberapa isu dibangkitkan dalam laporan audit itu.

"PAC adalah antara pihak yang akan ditemui minggu depan,� katanya.

Beliau berkata, laporan audit tahun lalu lebih terperinci apabila pihaknya melaksanakan pendekatan baru dengan membezakan laporan penyata kewangan dengan aktiviti dan kajian khas jabatan atau agensi di peringkat negeri.

Mengenai Indeks Akauntabiliti terhadap semua kementerian dan kerajaan negeri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kewangan, Ambrin berkata, pelaksanaannya akan diperkenalkan untuk laporan audit tahun ini.

0 comments: