Anak lari rumah salah ibu bapa – Musa

UTUSAN MALAYSIA

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ibu bapa patut dipersalah sepenuhnya dalam setiap kes kehilangan kanak-kanak dan remaja yang melarikan diri dari rumah.

Musa menegaskan, tugas menjaga anak-anak bukannya terletak di bahu polis tetapi merupakan tanggungjawab hakiki yang perlu dilaksanakan oleh setiap ibu bapa.

“(Tugas menjaga) anak takkan hendak diserahkan kepada jiran pula untuk menjaganya, itu sudah jelas tanggungjawab ibu bapa.

“(Ibu bapa) kena jaga betul-betul anak masing-masing dan kena tahu setiap gerak-geri, ke mana mereka pergi dan apa mereka buat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai kehilangan tiga kanak-kanak perempuan di Bukit Beruntung, Selangor, kematian menyayat hati seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian dan misteri kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang masih belum terjawab sehingga ke hari ini.

Ketua Polis Negara memberitahu, ibu bapa juga perlu tahu dengan siapa anak masing-masing berkawan termasuk latar belakang orang yang mereka dampingi.

“Jika tanggungjawab itu dapat dihayati oleh setiap ibu bapa, kes kanak-kanak hilang akan dapat dibendung,’’ katanya.

Sementara itu, Statistik Orang Hilang/Jumpa Seluruh Negara yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan sebanyak 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kes melibatkan kanak-kanak berusia sembilan tahun ke bawah, 66 kes (10-13 tahun) dan 659 kes membabitkan remaja berusia 14 hingga 17 tahun.

Statistik itu juga menunjukkan remaja perempuan Melayu paling ramai dilaporkan hilang iaitu 497 orang diikuti remaja lelaki Melayu sebanyak 119 orang.

Mengulas fenomena itu, Musa berkata, pihak polis tidak dapat memastikan sama ada ia ada kaitan dengan sindiket atau sebaliknya.

“Saya tidak mahu mengulas kehilangan mereka ini ada kaitan dengan sindiket atau ada elemen pendatang asing tanpa izin,’’ ujarnya.

0 comments: