Guru, ibu bapa beri reaksi berbeza

KUALA LUMPUR: Kebanyakan ibu bapa dan guru memberi reaksi pelbagai terhadap cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan persekolahan satu sesi bagi membolehkan kanak-kanak berada lebih lama di sekolah.

Tinjauan Berita Harian mendapati, ibu bapa dan guru berpendapat pelaksanaan dasar itu kelak akan mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri dan perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum dilaksanakan supaya memberi kebaikan kepada semua pihak.

Guru Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Yusri Shah Yaacob, 31, berkata beliau bersetuju dengan cadangan itu kerana ia memudahkan guru untuk menjalankan aktiviti kokurikulum apabila guru serta pelajar tidak perlu datang semula ke sekolah untuk mengikuti aktiviti berkenaan.

"Dasar sekolah satu sesi ini juga boleh membantu sekolah dua sesi yang mempunyai masalah kekurangan guru untuk menguruskan aktiviti kokurikulum kerana pembahagian tugas akan berjalan lebih lancar.

"Selain itu, dasar ini juga memberi peluang kepada guru yang sebelum ini bekerja pada sesi petang mempunyai masa terluang untuk melaksanakan urusan lain serta menghabiskan masa bersama keluarga dan anak-anak," katanya.

Sementara itu, seorang guru yang hanya mahu dikenali dengan nama Rosniza tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia menyebabkan tanggungjawab guru menjadi lebih besar selain bimbang ibu bapa akan bersikap lepas tangan dalam mendidik anak mereka.

0 comments: