Akta Perlindungan Kanak-Kanak wajar digubal – Bapa Nurin

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Bapa Nurin Jazlin, 8, Jazimin Abdul Jalil akur dengan Akta Perlindungan Kanak-Kanak yang membolehkan ibu bapa didakwa sekiranya didapati cuai menjaga anak mereka.

Namun, beliau berharap supaya pihak berkuasa menilai kes pembunuhan anaknya itu secara adil dan telus kerana pembunuhan Nurin Jazlin merupakan perbuatan jenayah, bukannya akibat kecuaian.

Menurut Jazimin, ibu bapa yang sewajarnya diambil tindakan melalui akta tersebut ialah mereka yang dengan sengaja mengabaikan anak masing-masing hingga anak mereka sanggup melakukan perbuatan jenayah seperti merompak dan merogol.

Tegasnya, ibu bapa yang kehilangan atau kematian anak gara-gara perbuatan penjenayah tidak seharusnya dipersalahkan kerana perkara yang berlaku adalah di luar jangkaan mereka.

“Setiap ibu bapa pasti berusaha memastikan keselamatan anak mereka dan tiada ibu bapa yang ingin melihat anak kecil mereka dibunuh atau dicederakan dengan sengaja.

“Tetapi, sekiranya anak mereka dibunuh orang, wajarkah ibu bapa yang dikatakan cuai sedangkan kami telah berusaha, namun takdir Allah lebih menyayanginya,” katanya sedih ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebelum ini bahawa ibu bapa kanak-kanak malang, Nurin Jazlin yang diculik dan didera secara seksual sehingga meninggal dunia boleh didakwa di mahkamah jika terdapat unsur kecuaian.

Tragedi

Menurut Mohamed Nazri, walaupun seluruh negara cukup bersimpati dan bersedih dengan tragedi itu, namun undang-undang negara perlu diutamakan.

Mengulas lanjut, Jazimin berkata, beliau tidak marah atau ambil hati dengan kenyataan menteri berkenaan kerana ia dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Kematian anak saya adalah di luar kuasa saya dan isteri tetapi kami tetap pasrah dan berharap perkara itu tidak dihadapi oleh ibu bapa lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon pihak berkuasa menumpukan kepada usaha mengesan pembunuh anaknya sehebat mungkin sebelum memberi perhatian kepada Akta Perlindungan Kanak-Kanak demi keadilan buat anaknya.

0 comments: