Parlimen Jepun pilih Fukuda

TOKYO 25 Sept. – Ahli Parlimen veteran, Yasuo Fukuda yang berjanji membawa kestabilan dan kesederhanaan ke dalam arena politik Jepun dipilih menjadi Perdana Menteri oleh dewan rendah Parlimen hari ini.

Fukuda memperoleh 338 undi di dewan rendah, berbanding 239 undi yang diperlukan bagi meraih keputusan majoriti.

Pesaing terdekatnya, pemimpin pembangkang Parti Demokratik Jepun, Ichiro Ozawa mendapat 117 undi.

Keputusan itu memastikan Fukuda dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri Jepun pada lewat hari ini.

Ozawa telah memenangi pengundian di dewan tertinggi Parlimen yang dikuasai oleh pembangkang tetapi keputusan dewan rendah lebih diutamakan mengikut peraturan politik Jepun.

Fukuda, 71, menjadi orang pertama mengikut jejak langkah bapanya untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Beliau telah berjanji untuk mengekalkan kedudukan Jepun sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dalam kempen memerangi keganasan, memperbaiki hubungan dengan negara-negara jiran di Asia dan menangani jurang ekonomi yang melebar di negara ini.

Sementara itu, Fukuda hari ini juga mengumumkan pelantikan Menteri Luar, Nobutuka Machimura sebagai Ketua Setiausaha Kabinet.

Akhbar Jiji Press dan agensi berita Kyodo melaporkan, tempat Machimura diisi oleh bekas Menteri Pertahanan, Masahiko Komura.

Fukuda berkata, menteri kewangan akan dipegang oleh Fukushiro Nukaga manakala jawatan menteri pertahanan diserahkan kepada Shigeru Ishiba.

Machimura yang kini mengetuai Parti Demokratik Liberal (LDP), akan menjadi Ketua Setiausaha Kabinet yang juga pembantu kanan dan jurucakap kepada Fukuda.

– AP

0 comments: